Saya amat tidak memahami dengan kenyataan Anwar Ibrahim yang mengingatkan kaum Melayu Islam agar tidak terlalu selesa dan angkuh sehingga meminggirkan kelompok lain di negara kita.
Bila masa kaum Melayu Islam terlalu selesa dan angkuh terhadap kaum-kaum lain?
Orang-orang Melayu Islam adalah bangsa yang cukup baik, toleran, ikhlas, berbudaya halus dan menghormati perlembagaan persekutuan secara amat kental.
Selepas negara merdeka pada tahun 1957 dan hampir sejuta kaum-kaum pendatang diberikan kerakyatan negara apakah pada waktu itu kaum Melayu Islam protes serta menganjurkan kacau-bilau di tanahair kita?
Bila puluhan ribu ekar tanah diberikan pada kaum-kaum pendatang pada waktu itu apakah Melayu Islam menganjurkan tentangan?
Dari dulu sehingga kini bila kaum-kaum pendatang menuntut sekolah-sekolah berteraskan bahasa ibunda mereka maka ujudlah konsep sekolah vernakular sehingga kini.
Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Malaysia kali pertama dahulu mencadangkan agar kita ujudkan sekolah Wawasan di mana semua premis sekolah-sekolah vernakular akan ditempatkan dalam satu perkarangan dengan sekolah-sekolah kebangsaan untuk tunjuan assimilasi intergrasi nasional ke arah menggalakkan murid-murid dari pelbagai kaum bergaul sesama mereka.
Niat murni ini ditentang oleh persatuan-persatuan pendidikan dari kaum-kaum lain dan akhirnya perancangan ini tidak dilaksanakan.
Pernahkah kita melihat kaum Melayu Islam turun ke jalanan untuk menganjurkan protes dan sebagainya?
Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan oleh Allahyarham Tun Razak Hussein berniat untuk kaum Melayu dan Bumiputera menguasai kekayaan ekonomi negara sejumlah 30% saja.
Pada tahun 1990an pegangan ekuiti Melayu Bumiputera dalam ‘kek’ ekonomi negara hanyalah sekadar 24% tetapi kini tinggal lebih kurang 17% saja.
Pernahkah Anwar Ibrahim melihat kaum Melayu Bumiputera mengamuk apabila matlamat ini tidak tercapai?
Tanah rezab melayu di negara kita kini tinggal hanya 11% apakah kaum Melayu Islam pernah membawa ‘senjata’ untuk merampas semula hak asal-usul mereka itu?
Di sebelah pulau negeri Pulau Pinang kini tanah orang-orang Melayu hanya tinggal 2% pernahkah Anwar Ibrahim melihat Melayu Pulau Pinang dari negeri asal beliau mengamuk untuk merampas semula tanah-tanah mereka yang tergadai kepada kaum-kaum lain?
Sesungguhnya, amalan-amalan kekerasan tidak pernah ujud dalam hati sanubari kaum Melayu Islam.
Kaum Melayu Islam di negara kita amat toleran dan tertib kerana kita berpegang kuat pada ajaran agama Islam yang tulen berteraskan Al Quran serta As Sunnah.
Atas dasar aqidah agama Islam inilah perjuangan saya amat konsisten untuk melawan dengan ‘golongan yang Nabi tidak mengaku umat’ dari menjadi ‘khalifah utama’ kita bagi memimpin ummah.
Gerakan Proklamasi Orang Melayu yang dianjurkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan satu daya usaha ke arah untuk mentransformasikan sikap kaum Melayu Islam demi bagi memperkasakan semula kedudukan mereka dalam segenap sektor di bumi Malaysia ini.
Kita mengadakan kempen kesedaran untuk orang-orang Melayu Islam untuk membangkitkan semula semangat mereka agar terus menguasai kuasa politik dan ekonomi demi menjaminkan survival masa depan anak cucu kita.
Kita tetap menghormati perlembagaan persekutuan dan sama sekali tidak akan kompromi dengan mana-mana pihak yang cuba untuk menyentuh sensitiviti mengenai kaum, Raja-Raja Melayu serta agama bagi menganjurkan kacau-bilau di antara kaum-kaum.
‘Kontrak Sosial’ yang dimeterai oleh tokoh-tokoh pemimpin kita terdahulu tetap dihormati.
Tetapi apa yang pelik kerajaan ‘Madani’ pada hari ini yang ujud dari demonstrasi jalanan yang selalu menganjurkan perhimpunan berteraskan kacau-bilau hampir setiap minggu pada hujung tahun 1990an kini melarang kaum Melayu Islam untuk berhimpun secara tertib dan tertutup dengan jumlah jemputan terhad bagi membincangkan mengenai masa depan anak cucu kita sepertimana yang termaktub secara sah dalam fasal 153 perlembagaan persekutuan.
Ini membuktikan secara jelas kepada keseluruhan kaum Melayu Islam dan rakyat Malaysia bahawa Anwar Ibrahim adalah ‘kaki kelentong’ nombor satu negara.
Satu ketika dahulu himpunan dan demonstrasi ‘Reformasi’ Anwar Ibrahim menganjurkan kacau bilau hampir setiap minggu sehinggakan kenderaan PDRM pun pernah ‘diterbalikkan.’
Kini, Anwar Ibrahim sekaku tokoh pemimpin yang berasal dari ‘demonstrasi jalanan’ melarang keras Proklamasi Orang Melayu dari menganjurkan perjumpaan-perjumpaan secara tertutup untuk bermuzakkarah sesama ahli-ahli bagi mencari satu formula yang sistematik, berterusan mahupun menyeluruh ke arah memperkasakan semula kedudukan kaum Melayu Islam sepertimana yang diizinkan oleh perlembagaan persekutuan.
Reaksi dan tindak balas Anwar Ibrahim pada hari ini terhadap Proklamasi Orang Melayu melambangkan beliau adalah salah seorang dari bangsa ‘Melayu Mudah Lupa.’
Secara jujur dan ikhlas Anwar Ibrahim jangan lupa sejarah ‘samseng jalanan’ beliau pada suatu masa dahulu dan kini Perdana Menteri dari kerajaan ‘Madani’ harus muhasabah dirinya terlebih dahulu.
Khaiuddin Abu Hassan
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili malayadaily.com