TERKINI

MELAYU – Mereka yang sebenarnya

Peta Dunia Melayu – foto Berita Harian

Satu artikel bertajuk “Mengenal Orang Melayu” telah disiarkan dalam Malaysiakini pada 8 OKT 2023, ditulis oleh Ranjit Singh Malhi.

Saya menilainya sebagai sebuah artikel yang tidak membantu langsung. Artikel itu sama sekali tidak berusaha untuk memupuk pengetahuan tentang orang Melayu sebagai penduduk di wilayah sini, seperti tajuknya.

Sebaliknya, artikel itu nyatanya mempunyai satu tujuan yang amat lain yang jelas dapat dikesan apabila seorang menghalusi kandungannya, iaitu untuk meruntuhkan naratif yang difahami umum tentang identiti orang Melayu di Malaysia dan di Nusantara; satu usaha yang mirip ke arah untuk ‘mendedahkan’ kononnya orang Melayu hanyalah satu kumpulan kecil penghuni dan pendatang di Nusantara, satu cubaan untuk menunjukkan seakan-akan orang Melayu adalah satu bangsa yang kerdil dan tidak penting.

Matlamat naratif artikel itu terdedah dengan frasa-frasa yang digunakannya seperti orang Melayu adalah “pendatang Austronesian … dari Taiwan” dalam mengaitkan hipotesis asal-usul orang Melayu yang dikatakan telah “diterima oleh kebanyakan sarjana”.

Artikel itu mengambil mudah menolak “hipotesis” yang berlainan yang menegaskan bahawa orang Melayu adalah pribumi di Malaysia dan di Kepulauan Melayu, hipotesis yang dikatakannya sebagai hanya “digemari oleh segelintir penyelidik” sahaja.

Walhal, label yang diletakkan kepada hipotesis yang berlainan itu, yakni yang “digemari oleh segelintir penyelidik” sahaja, boleh sahaja digantikan dengan frasa yang lebih baik seperti “hipotesis terkini, yang telah menarik (peningkatan) perhatian”.

Jadi, pembaca tidak dapat mengelak daripada merumuskan bahawa jelas tujuan artikel itu adalah untuk menghentikan penghujahan orang Melayu bahawa mereka adalah penduduk pribumi di Nusantara, satu hakikat yang telah diterima pihak ia juga British ketika lebih 80 tahun zaman pentadbiran mereka di Tanah Melayu.

Bukan sahaja artikel itu nyata menghujah kononnya orang Melayu bukan penduduk asal di Malaysia, orang Melayu dari bahagian lain Nusantara di Malaysia dianggap ‘bukan Melayu’, dengan diistilahkan mereka sebagai “pendatang Indonesia”, walaupun penulis sedar sepenuhnya bahawa orang British pun telah pernah menggunakan istilah “Other Malaysians” (yakni, ‘Melayu-Melayu Lain’), untuk merujuk kepada kelompok-kelompok keturunan Melayu dari luar Tanah Melayu dalam statistik-statistik rasmi mereka.

Artikel itu cuba menggambarkan orang Melayu sebagai hanyalah sekumpulan kecil penduduk di Tanah Melayu dan di Pulau Sumatera. Ia memperincikan orang Melayu sebagai tergolong dalam “kumpulan Malayic”, istilah yang digunakan bagi mengenepikan “lain-lain kelompok keturunan Melayu” (“bukan Malayic”) daripada gambaran keseluruhan Melayu di kepulauan ini.

Sedangkan boleh sahaja untuk artikel itu memberikan gambaran yang sebenarnya menyeluruh dengan menyatakan “Malayic” adalah sebahagian daripada kumpulan yang lebih besar yang dikenali sebagai “Malayo-Polynesian”, yang pula merupakan sebahagian daripada kumpulan yang jauh lebih besar dikenali sebagai “Austronesian” (istilah Melayunya, “Rumpun Melayu”), istilah-istilah yang telah digunakan diperingkat antarabangsa secara meluas sejak lebih satu abad yang lalu.

Austronesian adalah satu kumpulan keluarga bahasa yang kedua terbesar (berasaskan kepada jumlah bahasa-bahasa dalam rumpun itu) di dunia (dengan yang keluarga bahasa terbesar di Afrika).

Artikel itu juga mensasarkan kritikan terhadap istilah “Alam Melayu”, dan melabel “segelintir sarjana Melayu dan aktivis sebagai pendakyah” kerana menghujah “Alam Melayu” merangkumi “lebih daripada 350 juta penduduk yang mendiami kawasan bermula dari Kepulauan Easter di Timur, sehingga Madagascar di Barat, membawa ke Taiwan di Utara, dan New Zealand di Selatan”, serta menambah “pernyataan tentang Alam Melayu sehingga sebegitu luas adalah keterlaluan dan mengelirukan”.

Tetapi, itu adalah sesungguhnya pengetahuan tentang orang Melayu dan alam mereka – satu alam yang bertalian daripada satu budaya, satu tamadun, berasal daripada satu nenek moyang.

Jika dengan menyatakan hakikat sebenar alam mereka sedemikian maka “sebilangan sarjana dan aktivis” ini dilabel pendakyah, maka kita semua adalah pendakyah belaka kerana menyatakan perkara-perkara lain. Maka, tiada di kalangan kita layak dikenali sebagai manusia suci.

Pernah suatu ketika dahulu di awal tahun-tahun 1880-an, seorang Raja Hawaii bernama Kalakaua dalam pelayaran baginda keliling dunia, bertemu Sultan Johor, Maharaja Abu Bakar ketika itu, dan Raja Hawaii itu menyatakan beliau adalah Melayu. Raja Kalakua juga bertemu Raja Siam, yang juga menyatakan baginda mempunyai kaitan dengan orang Melayu.

Dalam mengenali Melayu, kita perlu amat jelas dengan dua perkara. Pertamanya, sesiapa yang menjadikan Kepulauan Melayu negaranya, dan benar-benar ingin mengenali Melayu, perlu faham akan istilah “Rumpun Melayu”, atau “serumpun” (istilahnya di Indonesia).

Ia adalah merujuk akan kesedaran orang Melayu akan kelompok bangsanya yang satu, satu kelompok (rumpun) bangsa yang tersebar di seluruh kepulauan di Asia Tenggara (seperti tersebarnya bangsa Arab – walaupun jauh lebih lewat – menjangkaui berbelas negara).

Tidak disebut langsung akan “Rumpun Melayu” atau rujukan terhadapnya dalam artikel itu, sesuatu yang amat tidak munasabah. “Rumpun Melayu” adalah orang-orang keturunan Melayu daripada satu leluhur, walaupun tanpa mereka mengetahui perkara DNA dahulu kala, bangkit daripada satu tamadun yang sama, bertutur satu keluarga bahasa yang sama, dikenali sebagai Austronesian dalam kesarjanaan antarabangsa.

Keseluruhan rumpun itu adalah bangsanya, Bangsa Rumpun Melayu yang satu.

Memang ada juga penggunaan istilah ‘Melayu’ yang terhad maksudnya di Malaysia dan di Indonesia lantaran hayatan sejarah dan politik. Dengan kata lain, ada istilah ‘Melayu’ dalam maksud politik, dan ‘Melayu’ (atau ‘Malayan’, atau ‘Malaysian’) dalam maksud ketamadunan.

Maka, apabila istilah ‘Melayu’ itu digunakan, sebagai contoh “Kepulauan Melayu”, ia digunakan sebagai rujukan ketamadunan.

“Melayu”/“Rumpun Melayu” itu adalah gagasan pribumi, bangsa, etnik, bahasa, budaya, politi/bentuk masyarakat, dan tamadun.

Keduanya, keperluan untuk memahami tanggapan orang Melayu tentang ‘alam’, atau pun ‘Alam Melayu’. Walau pun kita menerima sekali pun akan hipotesis bahawa orang Melayu berasal dari Taiwan, ia tidak menidakkan bahawa orang Melayu adalah pribumi di kepulauan di Asia Tenggara ini, kerana Pulau Taiwan itu pun akan terkira sebenarnya sebagai sebahagian daripada Kepulauan Melayu, secara sejarahnya. Kepulauan inilah keseluruhan akan “Alam Melayu” di Asia Tenggara.

Dalam kata lain, semua pulau-pulau di Asia Tenggara ini adalah “Alam Melayu”, termasuklah Pulau Taiwan dan Pulau Hainan, jika kita menyedari bahawa orang pribumi di Pulau Hainan itu juga adalah daripada kelompok Rumpun Melayu !

Juga, orang pribumi “Alam Melayu” ini telah tersebar, dan juga tamadun mereka tertanam di seluruh pulau-pulau di Lautan Pasifik (Hawaii, Pulau Easter, New Zealand, dll.) jauh ke sebelah timur dari Asia Tenggara dari sekurang-kurangnya 3,500 tahun lalu, dan di Pulau Madagascar jauh ke sebelah barat daya dari Asia Tenggara sekurang-kurangnya dari kira-kira 1,400 tahun lalu.

“Benua” (jika istilah ini boleh digunakan) pulau-dan-laut yang amat luas ini (melebihi separuh muka glob) adalah ‘alam’ maha besar orang Melayu/“Malayans”/”Malayo Polynesians” (semua ini adalah istilah-istilah yang diguna pakai antarabangsa).

Sebagai kesimpulan, tujuan dan niat adalah penting dalam penulisan artikel. Jika tujuannya sah untuk mengetahui sesungguhnya akan orang Melayu, pertimbangan besar perlu diberikan kepada perspektif dan kesedaran orang Melayu itu sendiri sebagai satu bangsa, bukan meletakkan pandangan persendirian atau pandangan bangsa lain sebagai hujah paling utama.

Anggapan orang Melayu tentang diri mereka sendiri sebagai satu rumpun bangsa perlu difahami, dan bukan diketepikan sebagai suatu yang silap, lebih teruk lagi jika ia diabaikan langsung.

Tiada dua bangsa atau dua dunia yang serupa, dan masing-masing semestinya menerbitkan naratif yang berbeza-beza.

Alam Melayu/Austronesian adalah lain daripada Alam Eropah, dan Alam Melayu itu perlu dimengerti mengikut kefahamannya sendiri, dan konsepnya sendiri.

Apatah lagi, tidak perlu langsung orang lain melantik diri mereka sebagai pihak yang paling berwibawa bagi mendefinisi atau menentukan siapakah itu orang Melayu.

Adalah sesuatu yang sukar untuk menganggap, sebagai contoh orang Mongol di Asia Timur, sebagai orang yang berwibawa menentukan siapakah orang British, sama ada di dalam atau di luar Eropah.

Jika tujuan penulisan adalah untuk merungkai orang Melayu sebagai bangsa di Malaysia bagi tujuan menunjukkan mereka satu kelompok yang kecil, dan dengan itu mengenepikan hujah teras bahawa orang Melayu adalah penduduk pendiri negara ini, tindakan serupa boleh juga dilakukan terhadap kelompok-kelompok lain.

Sebagai contoh, orang India di Malaysia tidak boleh dikategorikan sebagai ‘bangsa’, kerana di India sendiri pun tidak ada “bangsa India”. (Dan, berikutan itu adalah satu mitos untuk menyatakan Malaysia adalah “negara berbilang bangsa”. Terdapat hanya dua bangsa sahaja di Malaysia – Rumpun Melayu, dan Orang Asli Austro-Asiatik).

Apa yang ada di Malaysia hanyalah “komuniti-komuniti India”, beberapa komuniti bukan satu, dan komuniti-komuniti ini pelbagai seperti Tamil, Telugu, Punjabi, dll.

Mereka semua bukan kelompok ‘bangsa’ yang satu kerana orang Punjabi dan Tamil misalnya adalah bersifat bertentangan sama sekali, yang satu adalah orang keturunan Indo-Aryan, manakala yang satu lagi adalah keturunan orang Dravidian, yang pertamanya (Punjabi) itu adalah orang kelompok pendatang, manakala yang kedua (Dravidian) adalah orang pribumi di India.

Dan, tiada satu pun antara komuniti-komuniti ini melebihi 5% daripada jumlah populasi negara Malaysia, atau boleh mendakwa sebagai ‘bangsa’ ketiga terbesar di Malaysia.

Untuk jujur ingin mengetahui tentang orang Melayu di Malaysia (sama ada, seorang itu warga negara bukan Melayu, atau orang asing sama sekali) seseorang itu perlu bermula dengan prinsip yang paling utama, iaitu mendakap (yakni, mengiktiraf, dan bagi warganegara, juga berintegrasi) dengan segala yang ditemui di Malaysia.

Seperti yang dilakukan oleh orang British dahulu di Tanah Melayu; mereka mendakap bahasa Melayu sebagai bahasa bumi ini, budaya Melayu sebagai budaya bumi ini, sejarah Melayu sebagai sejarah bumi ini, dan orang Melayu sebagai orang pribumi di sini.

Dengan berpandukan prinsip utama ini, orang British belajar bersungguh-sungguh unutk mengetahui tentang bahasa, budaya, adat resam dan sejarah orang Melayu, dan orang British banyak menyumbang kepada membangunkan pengetahuan tentang sejarah Melayu, sebagai contohnya.

Orang British tidak membuat kajian dalam bidang sejarah orang Melayu bagi tujuan untuk mempertikai atau menyangkal kepribumian atau identiti orang Melayu; sebaliknya bagi menyumbang ke arah mengumpulkan pengetahuan tentang orang Melayu dan bumi atau alam mereka, dan berikutan dengan itu orang British mengenali orang Melayu dengan lebih baik dan betul.

Orang British tidak memecah-belah, tetapi berusaha untuk mencari persamaan dalam kalangan kelompok-kelompok Melayu, watak, kisah-kisah Melayu dan Alam Melayu untuk menemui gambar besar makrokosmos Melayu.

Malangnya, di zaman moden ini kita mengalami satu keadaan di mana ada sarjana dan aktivis di kalangan rakyat Malaysia membuat kajian, menghasilkan kertas kerja, filemografi atau sekadar menulis, dengan satu tujuan semata-mata iaitu untuk mempertikai, menimbulkan keraguan, menyangkal, serta mencabar identiti orang Melayu, kepribumian orang Melayu, perwatakan dan budaya Rumpun Melayu, bahasa Melayu, sejarah orang Melayu dan naratif orang Melayu, di tanah ibu pertiwi orang Rumpun Melayu ini sendiri.

Arof Ishak

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp