TERKINI

MOU Peruntukan Pembangkang, Hanya Untuk Kepentingan Politik Anwar, Bukan Rakyat

Gambar hiasan

Baru-baru ini media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengagihkan 28,000 ekor ayam segar kepada penduduk di 28 kariah masjid sekitar Parlimen Permatang Pauh di Bukit Mertajam menerusi dua fasa iaitu pada Jumaat lepas dan hari ini.

Memetik laporan tersebut, Pegawai Khas Anwar di Pulau Pinang Zainal Abidin Saad berkata kesemua ayam seberat 56 tan itu, yang diagihkan secara percuma, adalah sumbangan Perdana Menteri secara peribadi kepada orang ramai meliputi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Permatang Pauh iaitu Permatang Pasir, Penanti dan Seberang Jaya.

Secara umumnya, kita sebagai rakyat menghargai sumbangan atau bantuan oleh Perdana Menteri kepada rakyat, lebih-lebih lagi ketika musim perayaan.

Namun begitu, di satu keadaan lain, berita ini menjengkelkan kerana ia hadir tatkala wakil-wakil rakyat pembangkang tidak ada peruntukan untuk membantu rakyat dikawasan-kawasan mereka.

Dalam satu kenyataan Disember 2023, Anwar berkata konsep MADANI yang diperkenal oleh Kerajaan Perpaduan adalah inklusif serta meliputi kepentingan pelbagai kaum, agama dan wilayah di negara ini.

Sekiranya dikatakan konsep ‘Madani’ ini inklusif, mengapa sehingga kini, pelbagai syarat dan tekanan ditimpakan ke atas wakil rakyat pembangkang untuk mendapatkan hak rakyat dikawasan mereka?

Adakah konsep inklusif madani ini sebahagian dari retorika-raya reformasi beliau?

Mengapa urusan peruntukan rakyat, dijadikan ‘tebusan’ untuk urusan politiking antara parti?

Ini ketidakadilan yang sangat menjolok mata, dan kita hairan mengapa hal ini dibiarkan oleh semua wakil-wakil rakyat kerajaan yang sedar akan cakap ‘ketimbang’ Anwar Ibrahim?

Sekiranya kita semak syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan kepada pembangkang dalam isu peruntukan ini, ia nyata sekali tidak ada kaitan dengan keperluan rakyat. Syarat-syarat itu lebih tertumpu kepada agenda politik, bukan berasaskan integriti penyaluran peruntukan kepada rakyat.

Kerana itu pembangkang melihat syarat untuk mendapat peruntukan ini, semata-mata digunakan untuk tujuan politik Anwar Ibrahim, bukan rakyat.

Demokrasi yang kita amal dalam sistem politik hari ini pada akhirnya untuk kebaikan semua rakyat, tidak kira mereka mengundi siapa. Maka semua pihak harus menghormati semangat ini.

Oleh : Mueza – Seorang pengamat politik

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp