TERKINI

Nyahkan Ilmu Kolonial Dalam Kehidupan Bangsa Malaysia

Rakyat Malaysia perlu memiliki bukan sahaja minda analitikal dan kritikal, tetapi terpenting juga memiliki hati nurani yang baik yang mengutamakan keharmonian dan perpaduan nasional semasa membicara, berdebat dan mengurus isu-isu kritikal hubungan etnik dalam masyarakat kepelbagaian di Malaysia.

Pengkategorian dan pentafsiran dalam format dikotomi dan bipolar berkenaan isu-isu kritikal dan debat tentang hubungan etnik pasti berbau konservatif dan ekstrimisme.

Ini berlaku apabila kita melihat setiap isu dan perkara dalam kerangka hitam-putih, kalah-menang, musuh-kawan dan a zero-sum game.

Dalam suasana pandang negatif ini, integrasi nasional, solidariti dan stabiliti politik sebagai matlamat membina bangsa Malaysia sulit untuk mendarahdagingkan dan mewarnai tingkah laku dalam mencapai kehidupan kedamaian bersama.

Kenyataan politik, perbincangan dan penjelasan diberi tentang isu-isu kritikal dan perdebatan berkaitan hubungan etnik dan bangsa Malaysia sering tergelincir dari landasan.

Mereka terperangkap dengan pandangan kerana mereka gagal memahami mereka sendiri, bangsa mereka sendiri dan teruk lagi penjelasan diberikan tidak berakar umbi dalam masyarakat kepelbagaian tersulam dalam peradaban Alam Melayu, diwarnai lapisan sejarah kepelbagaian peradaban dan warisan kebudayaan kepelbagaian yang kaya di bawah payung sistem sosio-politik Kesultanan Melayu.

Isu ketidaksudahan tentang kedudukan sekolah vernakular jenis kebangsaan Cina dan Tamil, tulis jawi dan 40 hadith Imam Nawawi di sekolah, nama Allah dicetak di atas stoking dan selipar, mengecil-ngecilkan Nabi Muhammad SAW, kedudukan Sultan-Sultan Melayu, menggazetkan bah kut teh sebagai warisan kebangsaan, cadangan untuk menjadikan kampung-kampung baru Cina sebagai warisan UNESCO, tuduhan multikulturalisme tergugat, perspektif budaya relativisme di mana budaya kumpulan etnik lain dipandang rendah, malas dan tidak produktif.

Menstereotaip kumpulan-kumpulan lain, hingga persepsi negatif terhadap kerajaan, dasar awam berkaitan pendidikan nasional, kebudayaan kebangsaan, kemiskinan dan ketidakseimbangan sosial, di antara lain, dilihat dari lensa agenda politik etnik dan bukan demi solidariti dan integrasi nasional dalam masyarakat kepelbagaian Malaysia.

Rakyat Malaysia perlu belajar dari negara bangsa dan peradaban cemerlang seperti Afrika Selatan, Jerman, China, di antara lain, yang pernah berhadapan dengan kepelbagaian cabaran dari luar dan dalam negara untuk berdiri tegak dan bebas untuk mentakrif dan mentransformasi governan dan pembangunan negara untuk terus berada di landasan maju dan modenisasi tapi tidak memperakui dan menolak akar umbi nasional yang akan akhirnya mentakrif diri mereka, komuniti mereka dan bangsa mereka sepunya.

Penjajah-penjajah yang menjajah negara ini, terutamanya Inggeris, tidak menjadikan nasional integrasi, nasional solidariti dan stabiliti politik negara keutamaan agenda mereka tetapi hanya untuk mengaut dan merampas kekayaan sumber-sumber di sini untuk mengisi tabung kebendaharaan negara mereka sahaja.

Ideologi ras dengan supremasi orang putih dijadikan teras untuk membina stratifikasi sosial di Tanah Melayu berdasar dimensi warna kulit dan kelas sosial untuk mentadbir negara ini dengan mengunakan dasar perintah and pecah yang masih hidup diamalkan hingga ke hari ini.

Stratifikasi sosial dibentuk ini meletakkan orang Inggeris dan Eropah di tangga tertinggi darjat sosial diikuti Cina, India dan Melayu.

Namun begitu, dari sudut stratifikasi politik Melayu diletak selepas bangsa Inggeris yang telah mentadbir negara ini melalui perjanjian ditanda tangani dengan menerima sistem budaya-politik kesultanan Melayu sebagai pemilik dan kewatanan negara bangsa Tanah Melayu ini.

Tindakan pentadbiran Inggeris mengkategorikan Melayu, Cina dan Tamil berdasar ras adalah asas kepada banci penduduk dijalankan, masyarakat majmuk terbentuk, terbina semangat dan pergerakan nasionalisme negara-negara lain di Tanah Melayu.

Pertubuhan partiparti politik dalam menuju kemerdekaan berdasar kumpulan, kepentingan dan agenda etnik, hatta pembangunan ekonomi dan libat urus tadbir urus negara dinilai dalam a zero-sum game.

Ini dapat diperhatikan walaupun dengan kemerdekaan dan tanda tamatnya penjajahan Inggeris, negara ini diisi oleh kepimpinan politik dan ekonomi yang meneruskan budaya dan amalan dasar pemerintahan perintah-pecah untuk memastikan kedudukan dan kuasa status quo mereka kekal dan dikukuhkan tanpa menggira rakyat di negara ini yang miskin, terabai sosial dan dipinggirkan.

Permainan politik oleh elit Malaysia ini telah memastikan setiap individu dan kumpulan-kumpulan etnik kekal terpisah, terasing dan terputus tanpa nilai mengikat mereka bersama.

Tetapi batas etnik yang memisahkan mereka telah perlahan-lahan dilunturkan dan menipis oleh pengaruh pembangunan ekonomi, perantauan dalaman dan perubahan teknologi ke digital selepas Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan yang telah mencetus perubahan sosial dan transformasi sosial dalam masyarakat kepelbagaian Malaysia.

Negara ini yang dahulunya pertanian sara hidup berubah menjadi pertanian komersial, ekonomi sara diri ke ekonomi mata wang dan kemunduran desa ke perbandaran.

Perubahan struktural sosial dan institusi ini telah memberi kesan yang besar ke atas masyarakat setelah mereka keluar dari perangkap kemiskinan ke kelas menengah, merantau dari desa ke pusat-pusat industri dan bandar di mana peluang pekerjaan wujud dan nilai tradisi dan konservatif diganti dengan nilai kosmopolitan dan sejagat dalam masyarakat kerencaman sosial.

Kajian-kajian telah menunjukkan batas etnik dalam kalangan kumpulan-kumpulan etnik di Malaysia wujud tetapi bukan sebagai pengaruh utama tetapi sekunder dengan berlakunya hubungan rentas ikatan sosial dan hubungan kumpulan melangaku kepentingan etnik dan agama.

Penerimaan, perkongsian dan meraikan kepelbagaian bahasa, budaya dan agama di antara kita diperhatikan berlaku dalam realiti kehidupan sosial masyarakat seperti terbukti suasana di restoran dan pusat membeli-belah dikunjungi, kawasan rehat dan sukan dihadiri, di kampus-kampus universiti mereka belajar, tempat berkerja mereka membanting tulang dan kawasan perumahan menjadi suasana riang ala karnival untuk terlibat sama dalam majlis perkahwinan di atas jalan di depan rumah-rumah mereka.

Oleh itu, kajian-kajian juga menunjukkan kesepaduan sosial dan etos bangsa sebagai bangsa Malaysia telah terbina dan kukuh dalam kalangan penduduk Malaysia dan ini sangat berbeza dari suara-suara ahli-ahli politik yang berbau busuk dengan kepentingan etnik mereka.

Elit politik dan ekonomi perlu disekolahkan kembali tentang sejarah Malaysia dan mengkaji masyarakat kepelbagaian etnik di negara ini.

Elit ini perlu menyahkan kefahaman dan amalan kolonial tentang ras, masyarakat majmuk dan multikulturalisme sebagai asas dalam memahami sejarah moden dan warisan kebudayaan demi memperkukuhkan negara bangsa Malaysia.

Menyahkan ilmu kolonial dalam memahami ras dan menyahkan juga perspektif eurosentik dalam memahami kehidupan kita dan bangsa kita dengan diganti oleh ilmu dan kefahaman berakar umbi ilmu lokal akan membuka jalan keluar untuk mengukuh kesatupaduan dan kestabilan politik dalam kalangan rakyat kepelbagaian di Malaysia.

Kesatupaduan dan kestabilan politik diperlukan untuk mengangkat integrasi dan solidariti nasional berlaku demi mencapai kemakmuran dan bangsa Malaysia sepunya.

Prof Dr Mansor Mohd Noor, Institut Kajian Etnik (KITA)

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp