TERKINI

Parallel Pathway: Antara kuantiti pakar, kualiti pakar dan nasib rakyat

Dayang Anita Abdul Aziz – malayadaily.com

BAHAGIAN AKHIR

Setiap bidang kepakaran mempunyai Jawatan Kuasa (JK) Bersama Kepakaran Kebangsaan. Ahli-ahlinya adalah dari setiap universiti yang menjalankan program kepakaran dan pakar-pakar bidang dari KKM juga.

Sebagai contoh, bagi Pembedahan Pediatrik, Ahli-ahlinya adalah dari Universiti Malaya, UKM dan Ketua-ketua Pembedahan Pediatrik dari KKM.

KKM mesti menggunakan pendekatan yang sama untuk kesemua pelatih dalam program parallel jika mereka serius untuk menambah bilangan pakar di negara kita. Pelatih tersebut telah diberikan biasiswa (Hadiah Latihan Persekutuan HLP) untuk melakukan latihan kepakaran.

Mereka mesti melalui program bertauliah supaya kelayakan yang mereka miliki diiktiraf kelayakannya untuk memasuki NSR.

Bukannya meminda akta supaya memudahkan program berjenama luar negara ini diterima sebagai program bertauliah tanpa proses jaminan kualiti dan memasukkan dengan mudah para doktor dari program ini ke dalam NSR.

Memudahkan laluan akan menyebabkan tiada pemantauan dari badan bebas ke atas program-program yang dijalankan.

Kita akan hanya bergantung kepada individu-individu dalam MMC untuk membuat keputusan pengiktirafan tanpa ada proses jaminan kualiti yang telus dan tidak terikat dengan undang-undang. Perbuatan ini amat bahaya kepada kualiti pakar yang dikeluarkan. Kesannya adalah kepada rakyat.

KKM mesti menilai semula program parallel; program -program tersebut wajib ditauliahkan. Bekerjasamalah dengan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang berdaftar untuk menjalankan program, bukan persatuan; atau cara yang lebih baik ialah menyokong program latihan kepakaran tempatan.

Nisbah trainer: trainee terjejas apabila kita mempunyai lebih daripada satu laluan untuk latihan kepakaran. Program latihan kepakaran universiti tempatan tertakluk kepada proses jaminan kualiti yang ketat untuk melahirkan pakar-pakar bertaraf tinggi.

Program berjenama luar negara mesti melakukan perkara yang sama. Tenaga kepakaran KKM elok
digunakan sebagai tenaga pengajar klinikal bukannya terbeban menjalankan program kepakaran; terlebih lagi jika tidak mahu melakukan proses jaminan kualiti.

Mengapa KKM dan KPT tidak bertindak atas cadangan untuk membolehkan “graduan” Kardiotorasik Parallel Pathway diserap ke dalam program tempatan seperti yang diutarakan oleh Profesor Raja Amin dari UiTM?

Kini, beberapa doktor ini telah memilih untuk meninggalkan negara ini. Mereka berbuat demikian atas kerelaan mereka sendiri. Mereka sebenarnya doktor yang masih bertugas sebagai registrar Cardiothoracic di Malaysia, bukannya menganggur.

Tanggapan orang ramai adalah mereka telah diterima sebagai pakar di UK; kononnya satu kerugian negara (brain drain); daripada mempercayai cerita ini, elok menyemak dengan GMC status sebenar mereka di sana.

Sejujurnya, pemergian mereka ini adalah satu langkah yang baik untuk pergi ke UK dan melengkapkan laluan portfolio di UK sebelum mereka diiktiraf sebagai pakar oleh GMC.

Apabila mereka kembali, jika mereka mahu kembali, MMC kemudiannya boleh mengiktiraf kelayakan mereka; kemasukan ke NSR tidak akan menjadi isu selagi mereka memenuhi segala keperluan sepertimana yang dikenakan ke atas pakar graduan tempatan.

Kita tidak boleh tergesa-gesa untuk meminda undang-undang yang terbukti berkesan. Kita mempunyai kewajipan untuk memastikan semua pakar dalam NSR telah melalui program latihan bertauliah yang betul dan telah mencapai piawaian untuk membolehkan mereka berdikari.

Mereka akan berkhidmat untuk rakyat. Rakyat adalah pemegang taruh yang sebenar. Kita wajib memastikan pakar-pakar ini benar-benar terlatih dan selamat.

KKM sepatutnya memfokuskan kepada peningkatan polisi dan prasarana kesihatan juga fokus pada masalah sumber manusia, isu-isu pegawai perubatan yang stress dan berhenti serta pelbagai isu kesihatan; bukannya melahirkan program kepakaran berjenama kelayakan luar negara yang tidak mengikut proses jaminan kualiti.

Sepuluh tahun lalu, Program Kepakaran Pembedahan Pediatrik UKM menerima pengambilan pertamanya pada 2014, tahun yang sama KKM memulakan program parallel pathway. UKM telah mematuhi semua proses jaminan Kualiti dan Kelayakan diiktiraf untuk memasuki NSR.

Kita menghasilkan graduan setiap tahun semenjak 2019. KKM sepatutnya melakukan perkara yang sama, mengikut proses jaminan kualiti, mengikut Akta, jika serius hendak menambah jumlah pakar yang berkualiti dan selamat untuk rakyat.

Minggu lepas ada sesi libat urus pemegang taruh (stakeholders). Perinciannya tidak diketahui dengan tepat. Yang pasti proses jaminan kualiti melalui akreditasi yang mengikut Akta sekarang akan berubah.

Majoriti yang hadir mempunyai kepentingan masing-masing, samada turut melibatkan diri dengan program-program parallel pathway dan/atau terang-terang telah memberi sokongan kepada pindaan sebelum sesi libat urus.

Pihak penganjur dari KKM tidak langsung mengambil pandangan dari Pakar Rujuk yang sepatutnya dan tidak langsung memberi peluang kepada pihak yang tidak bersetuju dengan pindaan untuk bersuara.

Ini bermakna proses jaminan kualiti yang sedia ada akan berubah. Tidak ramai yang betul-betul faham apa yang hendak dipinda.

Oleh kerana impak pindaan akhirnya melibatkan kualiti pakar yang akan merawat rakyat, tidak wajar perbincangan hanya sebelah pihak.

Mana ketelusan proses libat urus ini? Memanggil hanya kumpulan-kumpulan yang akan menyokong pindaan adalah sekadar wayang dan melepaskan batuk di tangga saja sebenarnya.

Jika dikaji, mereka yang beria-ia bersetuju dengan pindaan ini adalah orang yang sama menyokong perjalanan program parallel pathway yang tidak mengikut Undang-Undang semenjak 2014; termasuk ahli-ahli dalam MMC sendiri yang sepatutnya memastikan Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012) dipatuhi.

Salam hormat,
Dr. Dayang Anita Abdul Aziz DNS

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp