TERKINI

Pasca Konvensyen Melayu 153

Konvensyen 153 pada 13 Disember 2025 telah berlalu. Tahniah diucapkan kepada Negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyampaikan ucapan perasmian dengan penuh ketekunan, menyeru orang Melayu supaya bersatu demi masa depan bangsa sebelum terlambat.

Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Tan Sri Profesor Emeritus Dr. Ibrahim Abu Shah pula telah menyampaikan ucapan yang bernas, sarat dengan fakta akademik dan politik, serta menjelaskan makna sebenar Fasal 153, Perlembagaan, undang-undang dan cabaran yang dihadapi orang Melayu.

Banyak episod perjuangan Melayu kini hanya tinggal nostalgia dengan laungan Hidup Melayu, sedangkan kampung dan tanah hampir tergadai.

Konvensyen, kongres, seminar, meja bulat dan simposium mengenai Melayu dan Fasal 153 bukanlah sesuatu yang baharu. Ia telah dianjurkan sejak berdekad-dekad lalu. Tajuk berubah, logo bertukar dan penganjur silih berganti, namun nasib orang Melayu masih pi mai pi mai tang tu. Yang berubah hanyalah poster, dan yang bertambah hanyalah emosi sementara. Natijahnya hampir tiada.

Orang Melayu tidak pernah kekurangan idea. Orang Melayu berkelulusan tinggi juga semakin ramai. Namun, yang benar-benar kurang ialah keberanian untuk membayar harga perjuangan bangsa. Kita terlalu selesa bercakap tentang hak tanpa sanggup menanggung risiko.

Kita terlalu ghairah berforum tentang ketuanan tanpa bersedia berdepan tekanan. Akhirnya, perjuangan bertukar menjadi acara, dan acara pula menjadi ritual kosong. Inilah realitinya.

Hari ini, isu Melayu kembali dilaungkan dengan suara yang kuat. Namun jangan kita menipu diri sendiri. Ia bukan kerana hala tuju baharu telah ditemui, tetapi kerana kuasa telah terlepas. Ketika berkuasa, orang Melayu disuruh bersabar, berdiplomasi dan jangan bising.

Apabila kuasa hilang, barulah Melayu disuruh bangkit, bersatu dan berjuang. Ini bukan kebangkitan, tetapi panik. Skrip ini diulang setiap kali sejarah berputar.

Hakikat yang pahit tetapi perlu diterima ialah perjuangan orang Melayu telah lama memasuki alam perjuangan tanpa noktah. Hampir 70 tahun merdeka, persoalan asas bangsa masih tergantung. Tanah semakin mengecil, ekonomi semakin terpinggir, dan kuasa tawar-menawar semakin lemah. Namun, pentas pidato semakin besar.

Sejarah mengajar satu perkara yang ramai tidak suka dengar: ketika berkuasa, kuasa tidak digunakan sepenuhnya untuk memartabatkan Melayu. Sebaliknya, ramai mengejar kemewahan diri, menyalahgunakan kuasa, terlibat dengan rasuah dan mempamerkan nilai moral yang memalukan.

Bangsa tidak diselamatkan oleh pidato, tetapi oleh kepimpinan yang bersih, berintegriti, amanah, berani dan tegas—kepimpinan yang sanggup berkorban demi bangsa, bukan kepimpinan yang pandai menjerit selepas hilang kuasa.

Saya menulis ini bukan sebagai pemerhati luar. Saya menulis sebagai seseorang yang telah lama berada di medan perjuangan. Saya mula mengharungi perjuangan kepentingan bangsa ketika menjadi pemimpin pelajar ITM bermula pada tahun 1972 sehingga kini. Ketika itu, perjuangan bukan bermusim dan bukan alat politik.

Tuntutan kami jelas, iaitu pengiktirafan Diploma ITM setaraf ijazah dan penaiktarafan ITM menjadi universiti, dengan slogan Bumiputra Bertindak, berbaju-T dan bertapak kaki sebagai langkah perjuangan anak pribumi di bumi sendiri.

Perjuangan itu tidak dibayar dengan pujian atau liputan media. Pada 22 April 1974, ratusan cedera, lebih seribu ditangkap, kampus ditawan dan ITM ditutup selama sebulan. Itulah harga perjuangan sebenar.

Air mata mengalir akibat gas pemedih mata sepanjang perjalanan dari Shah Alam menuju Parlimen di Kuala Lumpur. Hanya sekitar 600 orang sahaja yang berjaya sampai ke hadapan Parlimen daripada 6,000 pelajar ITM yang berjalan kaki bermula selepas Isyak dari kampus Shah Alam dan Jalan Othman, Petaling Jaya, dengan risiko kehilangan kebebasan. Banyak kerosakan berlaku, dan sejarah ini bukan untuk nostalgia.

Akhirnya ITM menjadi UiTM pada tahun 1999 selepas 25 tahun berjuang. Kini, hampir satu juta alumni UiTM telah dilahirkan, dan UiTM menjadi universiti maya terbesar di Malaysia.

Al-Fatihah kepada Allahyarham Tun Arshad Ayub, Bapa ITM, yang merupakan contoh pejuang bangsa sebenar dan cerminan kepada mereka yang hari ini gemar bercakap tentang perjuangan, tetapi bermain selamat dan takut mengambil risiko kerana jati diri telah rosak akibat mengejar pangkat dan kemewahan.

Ringkas cerita, kesinambungan perjuangan bangsa diteruskan tanpa noktah dengan pelbagai liku. Atas kesedaran itulah PERKASA ditubuhkan pada tahun 2008 sebagai wadah tekanan untuk memastikan isu Melayu dan Bumiputra kekal di tengah agenda nasional.

Hampir satu dekad, pelbagai konvensyen, kongres dan meja bulat dianjurkan, dan beratus resolusi diluluskan. Namun, daripada pengalaman itu, saya belajar satu kebenaran yang kejam: resolusi tanpa kuasa politik hanyalah fail arkib. Ia dibaca, dipuji, kemudian disimpan, kecuali jika dipaksa menjadi dasar.

Ketika berkuasa dan Taming Sari berada di tangan, ia tidak digunakan sepenuhnya untuk memperkasakan Melayu. Negara membangun, tetapi pribumi merintih di bumi sendiri, dan kini negara pula kehilangan kedaulatan kepada Amerika.

PERKASA juga selama tiga tahun berturut-turut meluluskan resolusi mendesak kerajaan mewujudkan Dana RM10 bilion setahun selama lima tahun bagi membiayai pemilikan harta oleh orang Melayu dan Bumiputra, termasuk rumah kedai di bandar dan desa, unit pejabat serta kediaman pelbagai peringkat seperti kondominium dan pangsapuri mewah dengan pembiayaan 100 peratus, di mana harta itu sendiri menjadi cagaran.

Nilai harta tidak susut seperti kereta. Namun, dasar pinjaman 100 peratus untuk membeli kereta dibenarkan, walaupun nilainya jatuh setiap tahun sehingga ramai akhirnya diisytiharkan muflis. Ini adalah logik songsang yang saya suarakan berulang kali sebelum ini.

Di Dewan Rakyat dan melalui Ucapan Dasar Presiden PERKASA, saya secara konsisten mendesak supaya Agenda Ekonomi Negara dalam setiap Rancangan Pembangunan Malaysia dan Belanjawan Tahunan menjadikan Agenda Bumiputra sebagai Dasar Induk, selaras dengan Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan. Ini bukan cerita dongeng. Ia boleh disemak melalui Hansard Dewan Rakyat dan buku ucapan dasar Presiden PERKASA.

Bersuara ketika mempunyai sedikit kedudukan, dan ketika ditekan, suara tetap sama dan konsisten. Antara cadangan demi kelangsungan bangsa ialah memastikan Tanah Rizab Melayu dikembalikan kepada paras 50% seperti wasiat Raja-Raja Melayu dan yang termaktub dalam Perlembagaan.

Bahasa Kebangsaan mesti dimartabatkan melalui dasar pendidikan satu aliran bahasa tanpa tolak ansur demi integriti nasional. Biasiswa, lesen dan kuota merupakan hak Melayu dan Bumiputra di bawah Fasal 153.

Rakyat bukan Islam dan bukan Melayu menikmati pelbagai lesen judi, minuman keras, pusat hiburan dan lain-lain yang jumlah putaran perniagaannya mencecah bilion ringgit setiap bulan. Islam ialah agama Persekutuan, namun kegiatan yang haram di sisi hukum syarak dibenarkan.

Umat Islam dan Bumiputra pula hanya bergantung kepada peruntukan terhad, walaupun pelbagai subsidi dicurahkan ibarat air di daun keladi. Setakat MARA, Baitulmal dan lain-lain hanyalah ibarat tahi telinga.

Namun, atas dasar kesamarataan, pinjaman TEKUN, Amanah Ikhtiar dan lain-lain diberikan kepada semua kaum atas alasan membasmi kemiskinan. Dalam bidang lain pula, kesamarataan itu tidak wujud untuk Melayu dan Bumiputra.

Melayu ketinggalan ekonomi begitu lama akibat penjajahan, merempat di bumi sendiri, dan diharap menguasai 30% ekonomi melalui DEB dalam tempoh 30 tahun selepas ketinggalan beratus tahun di bawah penjajah. Panjang ceritanya untuk dikupas dan dibahaskan.

Apabila UMNO mula lumpuh dalam memperjuangkan agenda Melayu, dan slogan “menang sorak kampung tergadai” menjadi realiti, maka lahirlah PUTRA daripada tulang rusuk PERKASA. PUTRA bukan projek suka-suka dan bukan hobi politik.

Ia lahir sebagai langkah terakhir untuk menyambung nafas perjuangan bangsa yang semakin layu, walaupun terpaksa berkayuh dengan lidi ketika saluran lama semakin pudar dan kehilangan jati diri patriotisme.

Hari ini, setelah kuasa hilang dan terbentuknya kerajaan baharu yang membawa konsep liberal, pluralisme dan penyertaan DAP, barulah ada yang menjerit kononnya Melayu semakin kehilangan bumi sendiri. Siapakah yang menjerit?

Mereka yang menikmati kuasa sebelum ini. Hari ini juga terdapat parti Melayu yang bersekongkol dengan parti yang membawa matlamat bercanggah dengan Fasal 153. Mereka bersumpah Wallahi Wabillahi, namun melanggar sumpah dan berdusta kepada Allah demi menyelamatkan diri di atas pusara bangsa.

Saya tidak berniat menjadi hero harimau kertas. Namun izinkan saya mengangkat bakul sendiri. Saya mempunyai kredibiliti sejarah untuk bercakap tentang Fasal 153. Saya tidak mengangkat keris kayu di pentas, dan tidak bermain simbol tanpa isi.

Semangat saya sebagai pejuang bangsa sebenar ialah Mat Kilau, Tok Janggut, Dato’ Bahaman, Allahyarham Dato’ Onn Jaafar dan ramai lagi yang berjuang tanpa perlu konvensyen, kongres atau seminar. Al-Fatihah untuk mereka.

Sejarah tidak boleh ditipu dengan sepanduk, slogan atau tepukan. Ia akan menulis dengan jujur siapa yang benar-benar berjuang, siapa yang sanggup membayar harga, dan siapa yang sekadar pandai berlakon di pentas konvensyen.

Perjuangan bangsa tidak pernah kekurangan pentas. Yang sentiasa kurang ialah orang yang sanggup berdiri walaupun pentas runtuh. Di situlah garis pemisah antara pejuang dan pelakon.

Konvensyen boleh diulang, dan slogan boleh ditukar. Namun, jika selepas ini orang Melayu masih disuruh bersabar, masih disuruh berlapik dan masih disuruh menunggu, maka jangan salahkan sejarah jika ia menulis bahawa generasi ini bukan gagal berjuang, tetapi takut untuk melawan.

Bukan sekadar Perdana Menteri mesti orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, malah persempadanan kawasan pilihan raya setiap lapan tahun sekali juga mesti dibuat berdasarkan jumlah penduduk mengikut kaum.

Melayu dan Bumiputra merupakan 70% rakyat Malaysia, maka sepanjang masa kerusi milik Melayu dan Bumiputra hendaklah kekal 70% mengikut kaum, tanpa mengambil kira jumlah pengundi setiap kawasan.

Walaupun kawasan bandar mempunyai jumlah pengundi yang padat dan besar, kawasan luar bandar pula luas dan lebih sukar diurus kerana prasarana yang terbatas serta cabaran alam sekitar. Perkara ini wajib dikemas kini dalam Perlembagaan selaras dengan Fasal 153.

Bersatu Dan Berjuanglah Melayu Sebelum Bumi Melayu Menjadi Gaza

Salam Perjuangan,

Oleh: Dato’ Ibrahim Ali, Presiden Parti PUTRA

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp