Negaraku
Tanah tumpahnya darahku,
Rakyat hidup bersatu dan maju,
Rahmat bahagia Tuhan kurniakan,
Raja kita selamat bertakhta,
Rahmat bahagia Tuhan kurniakan,
Raja kita selamat bertakhta.
Baru-baru ini, saya berpeluang menghadiri sebuah Konvensyen Antarabangsa yang dihadiri oleh tokoh-tokoh terkenal dari pelbagai bidang sebagai jemputan untuk menyampaikan pembentangan. Upacara perasmian konvensyen tersebut dilakukan oleh seorang Menteri kerana melibatkan kerjasama dengan sebuah Kementerian.
Seperti kebiasaan, para hadirin diminta berdiri pada permulaan acara untuk menyanyikan lagu kebangsaan. Setelah selesai, pengacara meminta para hadirin untuk terus berdiri bagi bacaan ikrar Rukun Negara.
Saya agak terkejut dan sedikit keliru – mengapa bacaan ikrar Rukun Negara diperlukan dalam majlis yang melibatkan peserta antarabangsa? Sudah lama saya tidak menghadiri acara rasmi Kementerian, dan setahu saya, bacaan ikrar Rukun Negara biasanya diadakan di sekolah atau majlis yang bersifat domestik tanpa penglibatan antarabangsa.
Rupa-rupanya, sejak Februari 2024, semua upacara rasmi kerajaan diwajibkan untuk membaca ikrar penuh Rukun Negara beserta mukadimahnya. Lagu Negaraku sahaja kini dianggap tidak mencukupi.
Datuk Aaron Ago Dagang menyatakan bahawa “Pelaksanaan ini bertujuan menghakis kebencian dan rasisme dengan menggalakkan pemahaman serta penghayatan terhadap kepelbagaian budaya dan kepercayaan di Malaysia.”
Namun, persoalan timbul – adakah lagu Negaraku itu sendiri tidak cukup untuk menyatukan rakyat dan menghakis rasisme serta kebencian, sedangkan liriknya berbunyi “rakyat hidup bersatu dan maju”?
Dahulu, kita hanya perlu membaca lima prinsip Rukun Negara. Kini, perlu dibaca mukadimahnya juga, adakah kerana adanya ungkapan “menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaan yang kaya dan pelbagai corak.” Adakah frasa “Menjamin satu cara liberal” yang sebenarnya hendak diketengahkan di sini?
Saya tidak menolak kepentingan ikrar Rukun Negara. Prinsip-prinsip ini penting untuk penyatuan dan perpaduan rakyat. Namun, jika Rukun Negara dijadikan alat untuk mengangkat agenda tertentu, perkara ini wajar difikirkan dan diteliti.
Apa yang kita fahami ialah ada pihak yang memperjuangkan sekularisme dan liberalisme, yang pada mereka lirik Negaraku ini tidak sesuai dengan apa yang mereka perjuangkan. Terutama pada frasa “Rahmat bahagia Tuhan kurniakan, Raja kita selamat bertakhta.”
Dari perspektif fahaman sekularisme, mereka cenderung memisahkan agama daripada pemerintahan negara dan mengurangkan peranan Raja-Raja Melayu. Ini juga termasuk menuntut layanan sama rata dengan menolak kedudukan istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai orang Melayu, saya sukar menerima idea sekularisme ini. Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi, dan memberikan kedudukan istimewa kepada orang Melayu.
Azman Mohd Hashim SM
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com