TERKINI

Pendidikan dan Kemiskinan : Kitaran Ganas Yang Berterusan

Azman Hashim – malayadaily.com

Merujuk kepada satu artikel yang disiarkan di ruangan berita Malayadaily.com bertarikh 10 Jun 2023, dengan tajuk “Negara di jangka hilang 70 peratus tenaga kerja mahir jika lepasan SPM tidak sambung pengajian”.

Dilapurkan sekiranya keadaan ini berterusan negara akan hilang tujuh puluh peratus pekerja berkemahiran apabila lepasan SPM tidak mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Ini akan membantutkan usaha negara yang hendak menuju menjadi negara maju.

Ada laporan yang menyatakan lebih 458 ribu penuntut tidak melanjutkan pelajaran selepas SPM semenjak 2020 sehingga 2022. Untuk tahun 2022 sahaja 48.7% atau lebih 180 ribu pelajar tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Jika trend ini berterusan, tahun ini dianggarkan lebih 160 ribu pelajar akan memilih tidak menyambung pelajaran selepas mendapat keputusan SPM.

Ini agak membimbangkan, kerana tenaga kerja mahir di Malaysia adalah di sekitar 25%, sementara untuk menjadi negara maju, mungkin kita memerlukan sekurang-kurangnya 50% tenaga berkemahiran.

Sekarang terdapat masalah tidak sepadan antara cita-cita untuk memajukan negara dengan tenaga kerja berkemahiran yang sedia ada dengan kemajuan teknologi tinggi yang hendak dibangunkan. Dengan kata lain ianya tidak seimbang.

Diantara sebab yang menyumbang kepada penuntut-penuntut ini tidak mahu menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi ialah masalah sara hidup dan pembiayaan untuk belajar di peringkat tinggi yang mahal, tidak kurang juga yang tidak berkeyakinan akan mendapat kerja selepas tamat pengajian.

Oleh itu ramai yang terus masuk ke dunia pekerjaan atau pun berniaga, agar terus boleh mendapat sumber kewangan dan cuba memajukan diri dengan menimba pengalaman.

Kita dapat melihat, ianya kembali kepada masalah ekonomi rakyat, isu sara hidup yang tinggi. Harga barangan yang melambung, kerajaanlah yang sepatutnya mengkaji dan mencari solusi serta mengeluarkan polisi yang boleh menyelesaikan permasalahan ini.

Mari kita melihat isu ini dari sudut yang berlainan. Dari laporan tadi, masuk tahun 2023 ini bermakna sejumlah lebih 458 ribu penuntut-penuntut yang tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Berapa ramaikah anak Melayu bumiputera di dalam kumpulan ini? Tidak mustahil lebih dari separuh ialah Melayu Bumiputera.

Berapa ramaikah dari mereka akan berjaya dalam perniagaan atau berjaya mendapat pekerjaan yang menjamin? Apabila mereka mula berkahwin dan berkeluarga gaji mereka boleh mencecah RM6000 ke atas.

Mereka inilah yang akan hidup dalam keadaan sederhana dan kekal di dalam kategori B40, mereka ini jugalah yang akan menjadi golongan miskin bandar.

Didalam komuniti Cina, anak-anak mereka yang tidak boleh atau tidak mahu menyambung pelajaran ke peringkat universiti, kebanyakannya akan di serapkan ke dunia perniagaan dan dilatih agar satu hari nanti menjadi pemilik perniagaan sendiri, kerana mereka mempunyai modal atau pun bantuan modal dari keluarga dan komuniti mereka.

Secara peribadi saya telah melihat beberapa rakan yang berkerja di kedai-kedai atau pun syarikat milik keluarga atau rakan kepada keluarga dan pada masa yang sama berlatih selok-belok perniagaan tersebut dan kini mereka adalah pemilik perniagaan.

Sekarang salah seorang rakan saya juga memberhentikan anaknya dari sekolah apabila melihat anaknya tiada kecendurangan dalam akedemik dan mula bekerja disyarikatnya.

Bukan sebagai anak boss seperti yang kita lihat dalam drama Melayu di TV, tetapi sebagai kuli. Kelebihan ini tiada didalam komuniti orang Melayu dan bumiputera.

Ini adalah isu pengurusan kerajaan yang sepatutnya lebih cekap dalam menguruskan negara, memperbaiki sistem pendidikan, menguruskan ekonomi agar rakyat dapat hidup makmur.

Supaya rakyat boleh mendapat pelajaran yang sempurna agar boleh membina kehidupan yang lebih baik.

Bukan menyebabkan mereka menyambung kitaran ganas “vicious cycle” yang menjadikan mereka berada didalam kemiskinan yang berterusan.

Azman Mohd Hashim : Semangat Melayu

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp