“Pengambilalihan IJM Corporation Berhad (IJM) akan meletakkan aset-aset infrastruktur kritikal yang digunakan rakyat setiap hari di bawah kawalan seorang bilionair, dengan hanya 10% daripada nilai transaksi dibayar secara tunai.”
Isu pengambilalihan IJM oleh Sunway Berhad (Sunway) ini perlu dibantah dan ditentang keras kerana ia bukan urusan niaga korporat yang lurus dan mudah, seperti turun naik harga saham di pasaran.
Ia bukan isu spekulasi pasaran atau penentuan keuntungan semata-mata, sebaliknya melibatkan persoalan struktur pemilikan, pengagihan risiko dan kepentingan ekonomi jangka panjang negara.
IJM bukan sebuah syarikat biasa. Ia memiliki dan mengendalikan aset-aset infrastruktur kritikal negara yang digunakan rakyat setiap hari, termasuk lebuh raya bertol utama di Lembah Klang dan Negeri Sembilan, pelabuhan laut dalam seperti Kuantan Port serta konsesi infrastruktur jangka panjang di dalam dan luar negara.
Aset-aset ini menentukan mobiliti harian rakyat, kos logistik negara, kelancaran rantaian bekalan industri dan keselamatan ekonomi nasional.
Berapa lama rakyat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, berapa mahal barang sampai ke pengguna, dan siapa yang mengawal pintu masuk perdagangan negara, semuanya berkait langsung dengan aset-aset ini.
Justeru, sebarang perubahan pemilikan dan kawalan terhadap aset strategik ini membawa implikasi yang jauh melangkaui kepentingan pemegang saham.
Pengambilalihan IJM menyentuh persoalan asas, iaitu siapa yang akan menguasai aset strategik negara, siapa yang dipindahkan untuk menanggung risiko sebenar transaksi, dan siapa yang akhirnya kehilangan pegangan serta kuasa ekonomi secara senyap.
Jika pengambilalihan ini berjaya, lebuh raya dan pelabuhan yang digunakan rakyat setiap hari akan berada di bawah kawalan seorang bilionair sektor swasta yang tergolong dalam kelompok sepuluh terkaya di Malaysia.
Tan Sri Dato’ Seri Dr. Jeffrey Cheah dan keluarganya merupakan pemegang saham majoriti Sunway Berhad melalui entiti kawalan, dengan pegangan melebihi 54% saham.
Pegangan ini memberikan beliau dan keluarga pengaruh yang sangat besar terhadap hala tuju strategik, keputusan korporat dan kawalan keseluruhan kumpulan Sunway.
Isu sebenar di sini ialah penumpuan kuasa ekonomi dan pemilikan strategik ke atas infrastruktur negara yang sepatutnya dinilai melalui lensa kepentingan awam, bukan keuntungan korporat semata-mata.
Dalam konteks ini, isu ekuiti Bumiputera tidak boleh dipinggirkan. Pegangan Bumiputera dalam IJM wujud melalui dana-dana awam dan institusi berkaitan kerajaan yang memegang amanah jutaan pencarum.
Ekuiti Bumiputera bukan sekadar angka pemilikan saham, tetapi kedudukan strategik, leverage ekonomi dan pengaruh dalam keputusan jangka panjang.
Hakikat yang perlu difahami ialah ekuiti Bumiputera boleh terhakis tanpa satu saham pun dijual, apabila kedudukan strategik itu ditukar menjadi pegangan pasif dalam syarikat Sunway, sebuah syarikat yang lebih besar dan lebih cair.
Daripada mempunyai pengaruh langsung dalam sebuah syarikat infrastruktur strategik, pegangan tersebut berisiko berubah menjadi pegangan kecil dalam sebuah konglomerat besar dengan keutamaan perniagaan yang berbeza, sekali gus menyebabkan pegangan Bumiputera kehilangan kuasa ekonomi dan pengaruh strategik yang sebenar.
Inilah penghakisan senyap yang sah dari sudut teknikal, tetapi pincang dari sudut dasar ekonomi dan keadilan sosial.
Struktur transaksi itu sendiri juga menimbulkan persoalan keadilan.
Apabila 90% bayaran dibuat dalam bentuk saham dan bukan tunai, risiko pasaran sebenar dipindahkan kepada pemegang saham IJM, termasuk dana-dana yang mewakili kepentingan Bumiputera.
Ini bukan jual beli biasa, tetapi pertukaran risiko yang dipindahkan kepada pihak yang paling lemah dari segi kuasa tawar-menawar.
Pemegang saham melabur dalam IJM berdasarkan mandat dan profil risiko IJM, bukan untuk dipaksa menjadi pemegang saham dalam kumpulan lain tanpa persetujuan strategik yang jelas.
Penggabungan entiti besar seperti ini turut berpotensi meningkatkan penumpuan pasaran dalam tender, subkontrak, pembekalan bahan, logistik dan perkhidmatan profesional.
Kesan langsungnya ialah kuasa tawar-menawar kontraktor G1 hingga G4 dan vendor kecil (yang majoritinya terdiri daripada Bumiputera) menjadi lemah apabila mereka terpaksa berhadapan dengan terma pembayaran yang lebih ketat, margin keuntungan yang semakin tertekan dan akses peluang yang semakin terhad.
Konsolidasi kuasa ekonomi akan memusatkan kuasa tawar-menawar, menekan vendor tempatan dan melemahkan ekosistem perniagaan di peringkat akar umbi.
Apabila yang kuat menjadi semakin kuat, yang kecil pula semakin terhimpit.
Risiko integrasi operasi juga tidak boleh dipandang ringan.
Pengambilalihan berskala besar lazimnya disertai kos tersembunyi seperti kelewatan projek, lebihan kos dan perubahan keutamaan pelaksanaan.
Apabila projek awam terganggu, pihak yang akhirnya menanggung kesan dan kos ialah rakyat dan pembayar cukai.
Dalam kerangka tadbir urus Malaysia, aset konsesi awam bukan hak mutlak korporat.
Perubahan kawalan ke atas aset-aset ini lazimnya memerlukan kelulusan kerajaan kerana kerajaan mempunyai mandat untuk melindungi kepentingan awam, dana rakyat dan infrastruktur kritikal negara.
Oleh itu, kerajaan perlu campur tangan secara tegas untuk menghentikan pengambilalihan aset strategik negara oleh seorang taikun sektor swasta.
Ini bukan campur tangan politik, tetapi tanggungjawab tadbir urus. Pasaran bebas tidak bermaksud pasaran tanpa tanggungjawab sosial.
Atas sebab-sebab ini, transaksi ini tidak wajar sekadar ditangguhkan atau dibaiki secara kosmetik.
Masalahnya terletak pada struktur asas transaksi itu sendiri.
Tanpa ujian kepentingan awam yang menyeluruh, tanpa perlindungan jelas terhadap ekuiti Bumiputera dan pemegang saham minoriti, serta tanpa penilaian serius terhadap impak persaingan dan risiko integrasi, transaksi ini akan mewujudkan preseden berbahaya.
Jika transaksi seperti ini dibenarkan, mesejnya jelas bahawa ekuiti Bumiputera boleh terhakis secara sah, senyap dan tanpa pertanggungjawaban.
Isu ini bukan soal menolak pelaburan atau pasaran bebas. Ia adalah soal mempertahankan kedaulatan ekonomi negara.
Jika kita gagal mempertahankan pegangan strategik hari ini, generasi akan datang mungkin hanya mewarisi angka dalam laporan kewangan, tetapi kehilangan kuasa sebenar dalam menentukan arah ekonomi negara.
Dr Armin Baniaz Pahamin, Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia