Pada awal 1990-an Majlis Perubatan Malaysia (Malaysian Medical Council MMC) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah kepimpinan Ketua Pengarahnya Tan Sri Abu Bakar Suleiman, telah memulakan banyak aktiviti untuk menetapkan piawaian dan membangunkan prosedur akreditasi untuk program dalam bidang Perubatan, Kejururawatan, Pergigian dan Farmasi.
Pembangunan piawaian di KKM ini jauh lebih awal dari usaha Kementerian Pendidikan menubuhkan Lembaga Akreditasi Negara pada tahun 1996 bagi memastikan program yang ditawarkan oleh institusi sektor swasta terjamin kualitinya.
Mengetahui minat saya dalam bidang pendidikan perubatan, beliau menggesa saya untuk membangunkan sistem akreditasi untuk bidang perubatan dan kesihatan.
Atas usaha beliau, saya beroleh tajaan Fellowship Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menimba ilmu berkaitan sistem akreditasi dan melawat beberapa institusi di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.
Seminar dan bengkel telah diadakan dengan bantuan Dr. Nancy Gary yang ketika itu menjawat Presiden Suruhanjaya Pendidikan untuk Graduan Perubatan Luar Negara (Educational Commission for Foreign Medical Graduates, ECFMG).
Tan Sri Abu Bakar berjaya mendapatkan wakil universiti, KKM dan persatuan kepakaran perubatan untuk berganding bahu membangunkan piawaian dan prosedur akreditasi berpandukan sistem akreditasi Amerika. Sistem akreditasi yang dibangunkan diuji melalui lawatan ke empat buah institusi latihan dan laporan yang terhasil diserahkan kepada Majlis dan Lembaga berkaitan.
Mengiktiraf kepakaran beliau Tan Sri Abu Bakar di jemput oleh Persekutuan Dunia bagi Pendidikan Perubatan (World Federation for Medical Education; WFME) bagi menganggotai jawatankuasa menetapkan piawaian program pendidikan peringkat sarjana muda, pascasiswazah dan pendidikan perubatan berterusan (continuing medical education, CME).
Tan Sri Abu Bakar juga memudahkan hasil dapatan tesis MD saya digunakan untuk membantu membangunkan sistem kredit CME untuk pemperbaharuan Sijil Amalan Tahunan (APC) dan bagi memulakan Pembelajaran Terbuka (open learning) dalam bidang Perubatan Keluarga sebagai usaha sama antara Universiti Kebangsaan Malaysia, KKM dan Kolej Pengamal Perubatan Am (College of General Practitioners) yang kini dikenali sebagai Akademi Pakar Perubatan Keluarga (Academy of Family Physicians).
Pengalaman bersama MMC dan KKM ini mempengaruhi saya secara mendalam ketika membangunkan Rang Undang-undang (RUU) Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada awal tahun 2004 bersama Dato’ Jagjit Singh dari Bahagian Penggubalan Jabatan Peguam Negara, yang sebelum itu pernah berkhidmat sebagai Penasihat Undang-undang KKM.
Boleh dikatakan bahawa prosedur dan piawaian yang digunakan oleh MQA beracuan sistem akreditasi yang dibangunkan dan digunakan oleh MMC sebelum ini. Malah, Akta MQA telah dibangunkan untuk memastikan badan profesional seperti MMC mempunyai kuasa mutlak dalam memilih panel akreditasi dan membuat keputusan muktamad meluluskan program dan memberi status akreditasi.
MQA adalah sekretariat untuk mengendalikan logistik dan memastikan peraturan dan etika akreditasi dipatuhi.
Sistem akreditasi MQA berfungsi dengan baik sejak 2007. Namun, apabila Akta Perubatan (Pindaan) 2012 dikuatkuasakan pada Julai 2017, MMC tidak dapat mendaftarkan para doktor lulusan program “parallel pathway” ke dalam Daftar Pakar Kebangsaan (National Specialist Register NSR).
Sebenarnya terdapat banyak penyelesaian kepada masalah undang-undang ini. Kerajaan memilih untuk tergesa-gesa meminda Akta Perubatan melalui RUU Perubatan (Pindaan) 2024 (“Pindaan 2024”).
Nampaknya perkataan “akreditasi” adalah masalah kerana ia telah hilang dalam Pindaan 2024. Ini amat mengecewakan kerana DNA MMC berada dalam sistem akreditasi negara.
MMC sepatutnya berbangga telah mempelopori sistem akreditasinegara. Justru, amat penting ditekankan bahawa sebarang pindaan kepada Akta Perubatan 1971 mesti memastikan akreditasi adalah teras dalam mengawal selia profesion melalui daftar (Daftar Pengamal Perubatan dan Daftar Pakar Kebangsaan NSR) yang memastikan semua doktor telah melalui program pendidikan dan latihan yang bersesuaian, mematuhi piawaian tingkahlaku profesional yang diiktiraf dalam merawat setiap pesakit.
Kita boleh belajar daripada sistem di negara lain. Contohnya di Australia, LembagaPerubatan Australia (The Medical Board of Australia) bertanggungjawab untuk mengawal selia pengamal perubatan di Australia melalui 6 jenis pendaftaran.
Ia secara khusus menyatakan bahawa akreditasi program pengajian dan pemberi pendidikan adalah cara mutlak memastikan pengamal perubatan Australia terlatih, berkelayakan dan selamat untuk merawat pesakit. Keselamatan orang awam diberikan keutamaan.
Tanggungjawab mengakreditasi pemberi pendidikan dan program pengajian perubatan di Australia diberikan kepada Australian Medical Council AMC, sebuah Syarikat berhad mengikut jaminan yang bukan untuk keuntungan. AMC menilai pemberi pendidikan dan program pengajian berdasarkan piawaian akreditasi yang diluluskan dan diterbitkan di laman web Lembaga Perubatan Australia.
Pemberi pendidikan adalah sekolah-sekolah perubatan dan kolej pakar seperti Australian College of Dermatologists, Royal Australasian College of Surgeons dan sebagainya.
AMC menyediakan laporan akreditasi kepada Lembaga Perubatan Australia yang kemudiannya boleh melulus, atau tidak meluluskan, program pengajian yang telah diakredit sebagai program yang menyediakan kelayakan yang diiktiraf untuk tujuan pendaftaran sebagai doktor am atau pakar. Lembaga juga boleh memberi kelulusan bersyarat.
AMC juga menjalankan Peperiksaan MCQ CAT AMC bagi tiga laluan melibatkan graduan perubatan antarabangsa yang ingin bekerja di Australia.
Di Amerika Syarikat, pendaftaran pengamal perubatan adalah proses pemberian lesen yang dilakukan oleh setiap Lembaga Perubatan Negeri dan Interstate Medical Licensure Compact, satu gabungan berteraskan perjanjian undang-undang yang menawarkan laluan baharu yang memudahkan pelesenan doktor berkelayakan yang ingin bekerja di beberapa negeri, terutamanya dengan perkembangan teleperubatan.
Lesen yang dikeluarkan oleh Lembaga Perubatan Negeri adalah untuk amalan perubatan am. Pakar perubatan di Amerika Syarikat tidak dilesenkan berdasarkan kepakaran atau bidang fokus mereka.
Pensijilan dalam kepakaran perubatan, seperti yang dilakukan oleh mana-mana Lembaga Kepakaran dalam American Board of Medical Specialties ABMS tidak diperlukan untuk mendapatkan lesen perubatan.
Walau bagaimanapun, pertimbangan dari aspek praktikal, contohnya privileging dan kredentialing oleh hospital – mendorong kebanyakan doktor untuk mendapatkan pensijilan kepakaran. Kebanyakan pakar perubatan di Amerika Syarikat memegang pensijilan kepakaran melalui ABMS.
Untuk dilesenkan sepenuhnya, seorang doktor mesti memenuhi kelayakan yang telah ditetapkan termasuk pengijazahan dari sekolah perubatan yang diakreditasi oleh Liaison Committee on Medical Education (LCME), menamatkan sekurangkurangnya 1-3 tahun latihan pascasiswazah atau residensi yang diakreditasi oleh Accreditation Council for Graduate Medical Education (ACGME), dan lulus peperiksaan pelesenan perubatan kebangsaan (United States Medical Licensing Examination, USMLE) yang diambil sebelum perlesenan bagi menguji pengetahuan mereka tentang pengurusan kesihatan dan penyakit, kemahiran klinikal dan komunikasi serta penjagaan pesakit yang berkesan.
Pelajar di sekolah perubatan A.S. secara rutin mengambil dua peperiksaan pelesenan sebelum tamat pengajian dari sekolah perubatan. Peperiksaan ketiga biasanya diambil semasa latihan residensi.
Graduan perubatan antarabangsa perlu mendapat sijil daripada ECFMG terlebih dahulu yang merangkumi pengesahan ijazah yang diperolehi dan lulus USMLE peringkat 1 dan 2 sebelum diberi kebenaran mengikuti program residensi yang diiktiraf ACGME dan memenuhi kepeluan pelesenan.
Di United Kingdom (UK), Majlis Perubatan Am (General Medical Council, GMC) menyelenggara daftar rasmi pengamal perubatan di UK untuk “melindungi, mempromosi dan mengekalkan keselamatan kesihatan orang ramai”.
GMC mengawal selia dan menetapkan piawaian untuk sekolah perubatan dan program pasca siswazah (sejak 2010) di UK melalui proses jaminan kualiti untuk memastikan piawaian dan hasil yang diperlukan tercapai. Jaminan kualiti meliputi semua dasar, piawaian, sistem dan proses untuk mengekal dan meningkatkan kualiti latihan dan pendidikan.
GMC menjalinkan jaringan dengan badan,badan kawal selia sekolah perubatan dan universiti di negara lain, yang membawa kepada beberapa kelayakan diiktiraf bersama (mutual agreement).
GMC juga bertanggungjawab untuk sistem pelesenan dan pengesahan semula untuk semua doktor yang mengamal di UK, berasingan daripada sistem pendaftaran. GMC ialah badan yang berdaftar sebagai badan amal tanpa untung sejak 2001 dan keahliannya termasuk orang awam bukan dari profesion perubatan.
GMC tertakluk kepada Akta Perubatan 1983 dan mempunyai kewajipan perundangan untuk bekerjasama dengan Council for Healthcare Regulatory Excellence (GHRE).
Pindaan 2024 nampaknya menumpukan semua kuasa mengiktiraf pemberi pendidikan dan program serta mengiktiraf kelayakan kepada MMC tanpa kawalanselia perundangan seperti yang diamalkan GMC. Sistem jaminan kualiti dalam proses pengiktirafan ini tidak nyata.
Oleh kerana keahlian MMC tidak seperti komposisi GMC, rakyat akan lebih selesa dan yakin jika proses jaminan kualiti dibebaskan daripada MMC yang membuat keputusan meluluskan pemberi latihan dan program latihan.
Ini adalah kerana MMC dianggotai oleh doktor yang mewakili pemberi pendidikan seperti ahli dari universiti, Kementerian Kesihatan dan persatuan profesional.
Peraturan boleh dibuat di bawah Akta Perubatan untuk melantik dan mengamanahkan MQA untuk menjalankan fungsi ini, sama seperti model Australia.
Peruntukan untuk MQA bekerjasama dengan semua badan profesional termasuk badan perubatan dan kesihatan dalam meluluskan program dan pemberi pendidikanserta memberi akreditasi muktamad terdapat dalam Akta MQA.
Peraturan juga boleh dibuat untuk mendaftar graduan perubatan antarabangsa dengan mengambil contoh sistem Australia yang mewujudkan laluan dan peperiksaan atau sistem ECFMG Amerika.
Orang ramai akan juga selesa dan yakin jika jadual baharu (Schedule 4, 5) yang diperkenalkan dalam Pindaan 2024 hanya mengandungi kelayakan yang telah berada dalam senarai pentadbiran yang diluluskan oleh MMC dan semua kelayakan baharu hanya dimasukkan selepas peraturan yang dicadangkan digubal.
Jika Jadual 4 dan 5 mengandungi kelayakan yang belum melalui proses jaminan kualiti, saya dengan rendah diri menggesa Kerajaan mengkaji semula Pindaan 24 dengan tujuan mengeluarkan Jadual yang tidak langsung perlu kerana MMC boleh menyimpan senarai kelayakan secara pentadbiran yang boleh dikemaskini dari masa ke semasa.
Orang ramai menyanjung tinggi profesion perubatan. Orang ramai juga memahami keperluan untuk negara mempunyai lebih ramai pakar.
Apa yang rakyat minta ialah Daftar pengamal perubatan dan pakar yang utuh dan dibuat secara objektif, adil dan telus yang boleh menimbulkan keyakinan bahawa semua pengamal perubatan adalah terlatih, berkelayakan dan selamat untuk merawat semua pesakit terutama Rakyat Malaysia
Prof Emerita Tan Sri Dato Seri Dr. Sharifah Hapsah
Mantan Naib Canselor UKM, Presiden NCWO dan Penggubal Akta Agensi Kelayakan Malaysia (Akta MQA).
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com