TERKINI

Perdana Menteri dan Lim Guan Eng Perlu Mohon Maaf Kepada MB Kedah

Foto UPM Press

Baru-baru ini, Tuanku Sultan Kedah, Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah bertitah menyatakan pendiriannya berkaitan pertikaian sejarah Kedah dan Pulau Pinang.

Ada dua perkara penting dalam titah baginda yang perlu diambil perhatian oleh kita semua khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng.

Pertama, baginda berkata “Pada hemat beta, perkembangan ini adalah satu perkembangan yang baik. Beta berharap agar minat rakyat untuk mendalami sejarah sebenar Kedah dan Pulau Pinang tidak dinoktahkan secara melulu”.

Dari titah baginda ini, ia dengan jelas menunjukkan bahawa baginda berasa senang dengan perkembangan dan minat rakyat terhadap sejarah Kedah, dan pada masa yang sama baginda berpesan agar ia tidak ‘dinoktah’ secara ‘melulu’.

Ini bermaksud, ada pihak yang secara melulu membuat pelbagai kenyataan semberono berkaitan isu ini.

Untuk rekod, Perdana Menteri, Lim Guan Eng dan ramai pemimpin kerajaan sebelum ini telah mengecam kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan isu tersebut.

Malah, pihak berkuasa juga telah diarahkan untuk membuka kertas siasatan terhadap MB Kedah berhubung isu itu.

Pada masa yang sama, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir telah mengecam tindakan ke atas MB Kedah yang dianggap sebagai ‘keterlaluan’, sedangkan Menteri Besar hanya menyatakan fakta sejarah.

Perkara ke dua yang amat penting ialah, Tuanku turut bertitah “Adalah lebih baik sekiranya fakta-fakta ini dikaji secara ilmiah dan lebih tersusun agar dapat dijadikan rujukan serta membawa kebaikan kepada generasi akan datang.

Kenyataan ini bermakna, mana-mana pihak yang ingin mengetahui sejarah, tidak boleh dihalang kerana ia penting agar fakta sejarah ini dapat dikaji secara ilmiah supaya boleh menjadi rujukan yang membawa kepada kebaikan kepada generasi baharu.

Ini amat bertentangan dengan pendirian Perdana Menteri dan juga Lim Guan Eng yang begitu memusuhi kenyataan MB Kedah.

Perlu kita sedar bahawa sejarah tidak boleh dipadam, namun ada pihak yang sedang cuba bukan sahaja memadam, tetapi mahu menipu dengan sejarah.

Perdana Menteri dan Lim Guan Eng seharusnya memohon maaf atas kecaman mereka kepada Menteri Besar Kedah. Siasatan, boleh dihentikan agar proses penyelidikan sejarah dapat dibuat dengan telus, adil dan harmoni sesuai dengan titah baginda Sultan Kedah.

EDITOR

Facebook
Twitter
WhatsApp