TERKINI

Lim Kit Siang Dan Rukun Negara

Gambar hiasan – malayadaily.com

Tan Sri Lim Kit Siang begitu cepat menginginkan mukadimah Rukun Negara yang mengandungi perkataan “liberal” diperkenalkan di semua peringkat termasuk sekolah, walaupun erti kata “liberal” pada tahun 1970, tatkala mukadimah itu dikarang, adalah amat berbeza daripada maksudnya yang kini ditunggang oleh pihak-pihak yang memperjuangkan pelbagai gejala sosial atas dasar kebebasan.

Perkataan “liberal” yang pada satu masa ditafsir sebagai “keterbukaan” kini telah diguna pakai pihak barat sehingga membawa konotasi kebebasan untuk mengamalkan pertukaran jantina dan juga hubungan sejenis. Sebagai contoh, gerakan “pelangi” yang memperjuangkan LGBTQ juga merujuk kepada kelompok mereka sebagai “liberal”.

Dengan penyalahertian itu, perkataan “liberal” kini sudah bercanggah dengan Rukun Negara yang pertama, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, memandangkan tiada mana-mana agama yang diamalkan penduduk Malaysia yang menghalalkan pertukaran jantina dan hubungan sejenis, apatah lagi “agama Islam sebagai Agama BAGI Persekutuan” seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Makanya, yang sewajarnya dilakukan adalah untuk memastikan pengertian yang sesuai dan bertepatan dengan maksud digunakan untuk mengukuhkan pemahaman penjiwaan identiti negara ini terus dipertahankan. Lim Kit Siang, bagaimanapun gagal memahami pengertian tersebut dan sebaliknya cuba membawa kepada kefahamannya yang tersendiri.

Walau apa sekalipun motif dan niat Lim Kit Siang untuk tidak berpuas hati dengan amalan lafaz Rukun Negara yang merumuskan prinsip-prinsip identiti negara, yang secara dasarnya juga diilhamkan daripada konsep 5 Rukun Islam, ia hanya membuktikan ketidakmampuan Lim Kit Siang mahupun DAP untuk memelihara identiti negara.

Secara hakikatnya, kedudukan kerajaan “madani” yang bertunjangkan DAP sebagai blok terbesar punca kuasa kerajaan ini tidak mampu melaksanakan prinsip perpaduan seperti yang terdapat dalam pengertian Rukun Negara itu. Anwar Ibrahim yang juga semakin hilang kepercayaan rakyat kerana gagal melaksanakan reformasinya yang sekian lama dilaungkan juga hanya meningkatkan ketidak puasan hati rakyat. Inilah antara sebab-sebab kerajaan ini tidak mampu meraih sokongan majoriti super Melayu, yang merupakan hampir 70% penduduk di Malaysia.

Jika diteliti keputusan pilihan raya umum ke-15, PH yang bertunjangkan DAP ini terus menerus tidak mendapat sokongan pengundi Melayu. Hanya 11 peratus Melayu yang mengundi PH, sehingga menyebabkan mereka tidak mampu mendapat majoriti mudah tanpa bersekongkol dengan Dato’ Seri Zahid Hamidi yang terdesak untuk menyelamatkan dirinya daripada lebih 47 pertuduhan di mahkamah yang telah terbukti “prima facie” kes.

Manakala jika dirujuk prestasi PH pada pilihan raya negeri yang terkini di “Malay Belt” iaitu negeri-negeri majoriti besar Melayu seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan, 27 daripada 33 calon PH telah kehilangan deposit walaupun meletakkan calon-calon Melayu mewakili PKR dan Amanah sekalipun.

Selain itu, walaupun dengan gabungan PH-UMNO, mereka hanya mampu meraih 5 daripada 113 kerusi yang dipertandingkan, bersamaan hanya 4.4 peratus daripada keseluruhan kerusi DUN di negeri-negeri berkenaan. Manakala jika dilihat daripada 48 kerusi yang dimenangi DAP pula di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, kesemuanya merupakan kerusi pengundi majoriti bukan Melayu kecuali satu di DUN Sungai Pelek, Selangor.

Begitulah sambutan rakyat Melayu terhadap kerajaan “madani” yang ditunjangi DAP ini, yang dipimpin oleh Perdana Menteri yang sehingga kini tidak mampu mengotakan sebarang janji untuk reformasi yang bermakna, malah semakin membawa kebatilan yang mengelirukan demi terus memegang tampuk kuasa tanya sokongan sebahagian besar rakyat.

Defisit kepercayaan terhadap kerajaan kakistokrasi ini telah membawa pelbagai kesukaran kepada rakyat.

Dato’ Sri Ir. Mohd. Zin bin Mohamed
Proklamasi Orang Melayu Selangor

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp