Pelan strategik pembangunan dan halatuju ekonomi perlu diperhalusi diperingkat negeri dan bukan sahaja di peringkat persekutuan untuk mengatasi jurang yang semakin melebar diantara lima negeri terkaya berbanding dengan sembilan negeri-negeri lain yang amat membimbangkan.
Ekonomi negeri-negeri miskin kebanyakannya tertumpu kepada sektor pertanian. Sebagai contoh, Kedah adalah jelapang padi negara.
Dengan pengkhususan ekonomi terhadap pertanian adalah amat sukar untuk Kedah mencapai pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang rancak dan setaraf dengan negeri yang membangun seperti Selangor dan Pulau Pinang.
Kerajaan persekutuan perlu memberi sokongan untuk merancakkan hasil pertanian dan pada masa yang sama menyalurkan sumber dana untuk menggantikan ‘opportunity cost’ pembangunan yang Kedah terpaksa ketepikan untuk kekal sebagai pembekal utama beras negara.
Ini bermakna tidak semua negeri boleh mencapai pertumbuhan ekonomi yang sama kerana ia bergantung kepada halatuju ekonomi di setiap negeri.
Jika sasaran ekonomi di sesebuah negeri itu melalui hasil pertanian. Keluaran dan purata pendapatan isi rumah di negeri tersebut tidak mungkin sama dengan negeri lokomotif.
Halatuju ekonomi di setiap negeri perlu disemak dan dirancang dengan lebih strategik. Setiap negeri perlu dipandu melalui pengkhususan pembangunan industri-industri yang tertentu untuk mencapai pertumbuhan yang disasarkan, samada pertanian, industri elektronik, automotif, perkilangan, tekstil dan lain-lain bergantung kepada sumber-sumber yang ada di negeri berikut.
Tetapi untuk memastikan sesebuah industri yang di perkenalkan itu berjaya, negeri tersebut perlu menyediakan infrastruktur yang lengkap.
Kerajaan persekutuan perlu mengambil tanggungjawab untuk melengkapkan segera infrastruktur negeri-negeri miskin ini supaya ia mendapat manfaat dan mencapai pertumbuhan ekonomi sepertimana negeri-negeri lokomotif.
Negeri-negeri miskin akan kekal menjadi miskin kerana negeri-negeri miskin ini tidak diberi manfaat infrastruktur ekonomi.
Di lima negeri-negeri kaya ini, berbagai infrastuktur dan hab-hab perdagangan dibina dan didukung manakala negeri-negeri miskin berhadapan dengan berbagai kekangan dan rintangan.
Negeri-negeri miskin tidak mempunyai infrastuktur yang lengkap untuk pembangunan seperti lapangan terbang antarabangsa dan pelabuhan modern bertaraf dunia untuk menarik pelabur-pelabur asing.
Malah di Kelantan, lebuh raya juga tidak menghubungkan bandar -bandar besar dengan ibukota Kelantan, Kota Bharu.
Selain dari infrastruktur, dasar-dasar dan khususnya halatuju ekonomi negara juga amatlah penting. Halatuju ekonomi negara samada untuk terus fokus kepada negara perindustrian atau perkhidmatan perlu jelas dengan sokongan padu dari kerajaan melalui insentif-insentif yang mampu menjadi pemangkin kepada halatuju industri tersebut.
Berbagai faktor perlu diperhalusi tetapi yang nyata halatuju, infrastuktur ekonomi dan dasar-dasar yang lebih mesra industri di negeri-negeri miskin perlu di semak dan dirancang dengan lebih strategik.
Armin Baniaz Pahamin – Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com