TERKINI

Perlu Ada Gerakan Tolak Zahid – Penasihat Editorial Bebasnews

Zaini Hassan (kiri), Idris Jusoh (tengah), Ahmad Zahid Hamidi (kanan) – malayadaily.com

“UMNO kalah teruk di PRN semalam. UMNO kalah 100% di Terengganu. Zahid Hamidi perlu letak jawatan”

Itu adalah ciapan mantan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Idris Jusoh sebaik sahaja keputusan penuh PRN15 diperoleh malam tadi (13 Ogos 2023).

UMNO kalah teruk. Sebaliknya Melayu bersatu memberi undi kepada parti teras mereka sekarang iaitu PN. Itu adalah hakikat. Rakyat Malaysia telah berpecah kepada fraksi Melayu mewakili PN melalui Pas dan Cina mewakili PH melalui DAP.

Ciapan di facebook Idris itu juga mendesak secara terbuka supaya Presiden UMNO, Zahid Hamidi berundur.

Jika selama ini kita kenal Idris sebagai watak yang tidak mahu ke hadapan dalam kritikan kepada UMNO, kini beliau sudah terbuka. Beliau sudah bersuara.

Kini beliau sudah bersama-sama para pemimpin UMNO lain mendesak Zahid supaya berundur. Di dalam whatsapp hampir rata-rata mengatakan UMNO dan Zahid sudah tidak relevan lagi mewakili orang Melayu.

Sebaliknya jika mahu relevan, maka orang di dalamnya wajib berundur. Persoalannya adakah Zahid akan berundur? Beliau masih mempunyai pertuduhan dipanggil membela diri bertaraf “prima facie” dalam mahkamah?

Adakah Anwar Ibrahim juga sanggup melepaskan Zahid kerana masing-masing di antara mereka menggosok belakang satu sama lain. Survival antara mereka bergantung kepada antara satu sama lain.

Mesej pendek Idris itu cukup bermakna. Gerakan untuk menjatuhkan Zahid harus bermula dari dalam parti itu sendiri. Jika mahu merayu Zahid berundur, itu tidak akan berlaku.

Zahid perlu ditolak oleh para pemimpinnya sendiri, itu pun jika mereka sayangkan parti itu, yang kononnya keramat, tetapi sudah ke penghujung nyawa. – Bebasnews

Zaini Hassan : PEMEGANG anugerah prestij Kewartawanan Kajai 2005 Institut Akhbar Malaysia (MPI); Wartawan Terbaik Negara 2008 Persatuan Wartawan Melayu Malaysia (PWM); Best Journalist of the Year 2009 National Press Club (NPC); Tokoh Wartawan Politik 2011. Bekas Penolong Ketua Pengarang Utusan; bekas kolumnis Cuit Utusan Malaysia (2008-2017) yang kontroversial. Kini Penasihat Editorial BebasNews.my

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp