TERKINI

Pertahan hak Melayu ikut perlembagaan

Azman Mohd Hashim (penulis) – malayadaily.com

Sepanjang yang kita ketahui, bermula dari waktu kita mendapatkan kemerdekaan, bukan Melayu sentiasa menuntut pelbagai perkara.

Contohnya, mereka menuntut untuk mendapatkan kerakyatan dengan cara mudah, seperti tidak perlu mengambil ujian bahasa kebangsaan. Mereka juga menuntut mahu mengekalkan bahasa ibunda, budaya, dan pendidikan vernakular.

Semua tuntutan yang mereka buat tidak dianggap membahayakan negara. Malah sehingga ke hari ini, tuntutan-tuntutan ini berterusan dan diperjuangkan.

Mereka juga menuntut hak sama rata dengan penduduk bumiputera dan pribumi negara ini. Kerajaan dan bangsa Melayu amat bertoleransi dalam isu-isu tuntutan tersebut dan melayan tuntutan-tuntutan mereka.

Oleh itu, hari ini kita mempunyai rakyat Malaysia yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan. Malah, negara juga mempunyai sekolah-sekolah yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, dan sistem pembelajaran juga tidak selari dengan sistem pendidikan kebangsaan.

Sedangkan tuntutan-tuntutan yang mereka buat adalah di luar Perlembagaan Persekutuan.

Hari ini, kumpulan yang menuntut semua itu sedang berada di dalam kerajaan yang memerintah, di mana objektif perjuangan mereka ialah untuk merubah Perlembagaan Persekutuan seperti yang tercatat di dalam perlembagaan parti mereka.

Orang Melayu perlu sedar bahawa kita juga perlu membuat tuntutan supaya kedudukan istimewa orang Melayu dipertahankan, Bahasa Kebangsaan dihormati dan diperkasakan, serta agama Islam dipelihara kesuciannya.

Ini kerana kita dapat merasakan dari hari ke hari, perkara-perkara yang menjadi hak orang Melayu dan pribumi diusik-usik. Contohnya, cubaan membuka UiTM kepada bukan bumiputera dan terkini isu matrikulasi.

Orang Melayu perlu bersatu dan mempertahankan hak kita kerana ini bukan isu 3R. Ini adalah isu mempertahankan apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tidak mungkin bukan Melayu boleh membuat pelbagai tuntutan yang sekiranya dilakukan di negara-negara jiran kita, tidak dapat dibayangkan apa yang akan terjadi kepada mereka.

Sedangkan orang Melayu pula tidak dibenarkan memperkatakan apa-apa isu berkaitan dengan perpaduan orang Melayu dan berjuang mempertahankan hak kedudukan istimewa orang Melayu kerana ia menyentuh isu 3R.

Kita tidak memusuhi mana-mana kaum dalam Malaysia kerana keharmonian amat penting demi kemakmuran dan kemajuan negara.

Namun, orang Melayu, terutamanya anak-anak muda, perlu bersatu dalam perpaduan untuk menuntut agar hak orang Melayu dipertahankan.

Azman Mohd Hashim – SM

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp