TERKINI

Pojok Abang Hail: Kena scam

Orang panggil saya Abang Hail.

Hail bukan nama saya, Hail bermaksud; e-hailing – Hail. Maknanya, saya ni pemandu e-hailing. Tuan editor minta saya guna nama pena, biar nampak menarik katanya. Dia ajak saya tulis, ceritakan pengalaman saya sebagai pemandu e-hailing kepada pembaca malayadaily. Saya tulis cara saya je, kalau tak cantik, maafkan abang Hail ya.

Gambar hiasan – arkib

Apa khabar semua, dah tengah bulan dah ni, janganlah masam muka, Abang Hail harap kau orang semua, cun-cun belaka.

Cerita pasal tengah bulan ni, memanglah mencabar terutamanya bagi orang yang kerja makan gaji. Tapi bagi yang meniaga, tak sama.

Macam Abang ni, kira usahawan jugaklah, cuma modal abang kereta, petrol dan tol. Taklah hidup senang mana, tapi taklah melarat sampai tidur bawah jambatan. Syukur apa yang ada.

Nak jadi cerita, minggu lepas, Abang kena scam korang tau.

Yang scam abang ni budak perempuan, dia kata dia student universiti. Memang pun Abang hantar dia ke ‘U’, kat kolej. Tapi Abang tak nak cakaplah universiti mana sebab Abang pun tak pasti betul ke dia ni student U.

Ada satu petang tu, dapat order, dari Cheras ke kolej univerisiti dot dot. Abang pun pick up la budak ni.

Tempat Abang pick up dia tu, rumah flat, tengok tempat tu kira geng B40 punya penempatan. tak kisahlah, kita kayuh je.

Cuma Abang perasan suatu yang pelik, budak perempuan ni macam kendong baby. Tapi tak nampak pulak muka babynya. Mula-mula tergerak hati nak tanya, tapi Abang rasa macam menyebok hal orang pulak.

Tapi, dia perasan yang Abang macam tertanya-tanya apa yang dia kendong. Dia pun cakap kat Abang “Ni kucing bang, bukan baby“.

“Hah..” terus Abang tersengeh-sengeh.

“Itulah, saya nampak macam bawa baby, pelik gak bawa baby pi universiti”. Abang jawab.

“Tak lah, kucing ni, boleh ye bang bawa masuk dalam kereta..?” Budak ni macam memujuk bila tengok Abang tak berapa senang bawa kucing dalam kereta.

“Ni nak balik U, boleh bawa kucing ke kolej ke? Abang jawab, cuba elak dari bagi jawapan tak menyenangkan.

“Boleh je, saya memang kena jaga kucing ni” Jawab budak tu.

Abang pun kayuh je la. Malas nak bising. Tapi dalam kepala dok fikir apa lojik bawa kucing balik kolej.

Tak lama, sampai la kami di kolej budak ni.

Abang pun tanya, “Cash ke QR”.

“Abang tunggu kejap ye, saya naik atas kejap ambil wallet kat atas” Kata budak perempuan ni.

Abang pun mendongak tengok kolej dia, tinggi jugak, macam apartment.

“Ok, jangan lama sangat dik” pesan Abang.

Itulah kali terakhir Abang tengok budak ni.

Lepas 10 minit, tak muncul-muncul.

Abang pun call, tak masuk pulak.

Wasap… pun tak deliver.

Cilaka.

Abang dok perhatikan kolej ni, tempat ni apartment, ada banyak unit, takkan nak ketuk semua pintu cari budak ni. Nanti satu blok kecoh driver dok ketuk pintu. Ini tak lojik punya kerja.

Dok pusing mundar mandir, Abang nampak tepi tangga ada tulis PEJABAT KOLEJ, tak berlengah Abang pun pi pejabat kat bawah kolej ni.

Tengok ada seorang kakak tengah dok mengadap komputer.

“Salam kak, nampak tak student perempuan naik sebelah tangga ni tadi?” Abang tanya.

“Iya tuan, tak ada, saya tak perasan” Jawab kakak kerani tu.

Abang tak fikir panjang, minta kakak tu semak nombor telefon budak yang Abang call tadi.

Lama juga dia semak dalam rekod di dalam komputer. Lepas tu dia buka fail, pun tak jumpa yang match.

“Tak ada no ni dalam rekod student kami tuan” Kata akak tu.

Dari gaya dia bercakap, dia boleh teka masalah abang, dia meneka sebab ada pengalaman sebenarnya.

“Tuan ni e-hailing eh? banyak dah kes kat sini dia orang tak bayar” jelas akak tu.

Alamak, Abang kena scam nampaknya.

Termenung jap, fikir-fikir balik, tak ada jalan, malas nak tunggu lama, nak komplen kat siapa? dengan company? Entah bila la dia nak respon.

Last-last Abang blah dari situ.

Macam-macam hal budak-budak sekarang ni. Abang masa student dulu, jahat gak, tapi tak sampai tahap nak scam orang macam ni.

Ok la, selamat guys.

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp