TERKINI

Proklamasi Orang Melayu : Usah Terlepas Pandang Objektif Sebenar

Foto Proklamasi Orang Melayu

Ada pihak yang tugasnya sentiasa memberi gambaran negatif kepada apa sahaja tindakan yang Tun Dr Mahathir lakukan.

Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pertama kalinya pada tahun 2003. Ditekankan, beliau meletakkan jawatan bukan kalah pilihan raya atau kalah pemilihan Presiden UMNO.

Mahupun ditumbangkan kerajaan dengan undi tidak percaya atau pun tandatangan “SD” untuk menidakkan kuasa beliau sebagai Perdana Menteri.

Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan tatkala beliau masih mendapat sokongan dua per tiga di Parlimen, keadaan negara yang ekonominya dalam keadaan baik dan stabil.

Boleh sahaja beliau kekal sebagai Perdana Menteri selagi mahu dan upaya, rasanya mungkin keadaan negara lebih baik jika Tun tidak letakkan jawatan Ketika itu.

Dalam kedaan politik yang kukuh dan negara yang stabil, dianggap tugas beliau sudah selesai dan cukup, maka di serahkan negara kepada pemimpin pengganti dan kita semua tahu sejarah seterusnya. Ini juga digambarkan secara negatif oleh sesetengah pihak.

Merujuk kepada penulisan A. Kathirasen di FMT bertarikh 9 May 2023, beliau merujuk kepada tindakan Tun Dr Mahathir semasa berbaik dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak, pada 2018 dan menjadi Perdana Menteri sekali lagi, kini Tun bersama Ustaz Hadi Awang untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim.

Penulis menambah dengan nada yang agak berbunyi menghasut, dengan mengatakan. “Ini semua hanyalah kerana dahagakan Kuasa yang mengatasi kepercayaan idealogi. Dan jangan fikir walau seminitpun mereka akan secara serius memikirkan kebajikan kita dan seluruh rakyat”.

Mari kita kembali pada realiti, rujuk Kembali kepada apa saya katakan di atas, dalam keadaan negara baik dan kedudukan politik yang stabil, Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan dengan menganggap masa sudah tiba dan tugas telah selesai.

Apabila keadaan negara dirosakkan dengan satu skandal rasuah luar biasa besarnya, Tun Dr Mahathir diminta kembali dan bersama musuh-musuh politik beliau untuk menjatuhkan satu kepimpinan yang merosak negara dan saya percaya ketika itu A. Kathirasen sendiri menyokong tindakan itu.

Kini Tun Dr Mahathir diminta oleh orang-orang Melayu untuk melakukan sesuatu agar kedudukan orang Melayu terjamin masa depannya, maka Tun Dr Mahathjir menubuhkan Sekretariat Tanahair dan melancarkan Proklamasi Orang Melayu untuk menyatukan Orang Melayu dan di sokong oleh pemimpin-pemimpin Melayu lain termasuk Ustaz Hadi Awang Presiden PAS.

Sebenarnya, kita boleh melihat resipi atau trend yang berlaku. Pertama, apa juga tindakan politik yang Tun Dr Mahathir lakukan adalah demi Bangsa Melayu, Agama dan Negara. Kedua, Tun Dr Mahathir tidak akan bertindak jika tiada permintaan dari rakyat, terutamanya orang Melayu.

Tun Dr Mahathir hanyalah manusia biasa, satu individu seperti kita juga, beliau tidak boleh berbuat apa-apa pun jika tiada sokongan dari sesiapa pun dan keizinan Tuhan yang Esa.

Masih ramai orang Melayu yang berpaling dan meminta bantuan Tun Dr Mahathir apabila masalah timbul. Sebagai seorang nasionalis Melayu lagenda dengan tenaga, kudrat dan kesihatan yang dianugerahkan tuhan, beliau tidak akan menolak permintaan-permintaan ini.

Tujuan dan tugas mereka-mereka yang seperti A Kathiresan, ialah untuk mengalihkan pandangan kita dari gambaran yang lebih besar iaitu, mempertahankan kedudukan orang Melayu di Tanah Melayu dan menstabil serta memulihkan negara, kepada satu gambaran negatif dan menuduh pemimpin-pemimpin Melayu sebagai dahagakan kuasa.

Oleh itu, usah kita terlepas pandang gambaran dan objektif yang sebenar.

SM Azman Mohd Hashim

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp