PUTRA dengan tegas mengecam tindakan pengibaran bendera China di Menara Condong Teluk Intan. Ini adalah perbuatan kali kedua selepas lawatan kapal tentera China di Pulau Pinang baru-baru ini. Tindakan ini seolah-olah sengaja menimbulkan provokasi dan mempromosikan bendera negara asing di tanah air kita. Ini adalah satu penghinaan terhadap kedaulatan negara dan tidak boleh diterima sama sekali.
PUTRA menuntut agar tindakan tegas diambil terhadap pihak penganjur yang terlibat dalam insiden ini. Meminta maaf sahaja tidak mencukupi untuk menebus kesalahan yang telah dilakukan. Pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan menyeluruh dan memastikan mereka yang bertanggungjawab dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.
Insiden ini juga perlu disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 (Akta 193). Akta-akta ini jelas menyatakan bahawa sebarang perhimpunan awam perlu mendapatkan permit polis dan pengibaran bendera negara asing tanpa kebenaran adalah satu kesalahan.
Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 (Akta 193), Seksyen 3 menyatakan bahawa dilarang mempamerkan lambang kebangsaan negara asing, termasuk benderanya, di tempat umum atau sekolah di Malaysia.
Hormatilah undang-undang. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung merupakan ungkapan yang mengingatkan orang ramai untuk mematuhi hukum negara yang berlaku di mana pun mereka berada.
Pentingnya menghormati hukum dan aturan yang berlaku di suatu negara, termasuk larangan mempamerkan lambang kebangsaan negara asing di tempat umum.
Pihak penganjur dengan mudah mencuci tangan dan membersihkan diri dengan mengatakan perbuatan ini di luar pengetahuannya. Jika sudah nampak di depan mata, kenapa tidak diarah menurunkan atau segera melarang pengibaran bendera negara China tersebut?
PUTRA menyeru semua pihak menghormati kedaulatan negara. Jangan “provoke” dan sengaja membiarkan insiden seperti ini berulang lagi. Pihak Polis hendaklah membuka kertas siasatan serta segera mendakwa dalang yang bertanggungjawab melakukan perkara sensitif ini. Kedaulatan dan keharmonian negara adalah tanggungjawab kita bersama.
Oleh: Shahrulufti Sharif, Ketua Penerangan Parti Putra Malaysia