TERKINI

Raikan Hari Malaysia dengan menghayati semangat Perlembagaan Persekutuan

Azman Mohd Hashim (kiri), penulis – malayadaily.com

Dalam meraikan Hari Malaysia, penting untuk kita menelusuri dan memahami sejarah agar tidak terlepas pandang maksud yang tersirat. Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan daripada penjajah British pada 31 Ogos 1957.

Sejak itu, Persekutuan Tanah Melayu menjadi sebuah negara berdaulat dengan Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui oleh semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum—Cina, India, Melayu, dan lain-lain.

Berdasarkan asal-usul dan sejarahnya, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan Kedudukan Istimewa kepada orang Melayu serta mengiktiraf Islam sebagai Agama Persekutuan. Ketika Sabah, Sarawak, dan Singapura menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada September 1963, ketiga-tiga wilayah tersebut menyertai sebuah negara yang sudah merdeka.

Penyertaan mereka tidak mengubah status Persekutuan Tanah Melayu kecuali memperluas wilayah dan geografinya.

Walaupun nama Persekutuan Tanah Melayu telah berubah kepada Malaysia, dari segi linguistik, “Malaysia” tetap membawa maksud “Tanah orang Melayu” atau Land of the Malays.

Penyertaan Sabah, Sarawak, dan Singapura (yang kemudiannya keluar dari Malaysia) tidak merubah jati diri dan identiti negara ini sebagai Tanah Melayu yang menjadikan Islam sebagai agama persekutuan.

Namun, semakin hari, kita menyaksikan semakin banyak tindakan yang memperlekehkan Perlembagaan Persekutuan. Terdapat usaha-usaha halus mahupun terang-terangan untuk menafikan Kedudukan Istimewa orang Melayu serta mencabar kesucian Agama Islam.

Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin hak kesamarataan untuk semua rakyat tanpa mengira bangsa di sisi undang-undang, seperti yang termaktub dalam undang-undang tertinggi negara ini.

Oleh itu, sesiapa yang mempersoalkan Kedudukan Istimewa orang Melayu dan peranan Agama Islam sebagai agama Persekutuan sedang melanggar semangat Perlembagaan.

Tindakan ini bukan sahaja menunjukkan ketidakpatuhan terhadap undang-undang negara, tetapi juga mencerminkan sifat perkauman.

Tidak kira status—sama ada seorang menteri, rakyat biasa, atau sesiapa sahaja yang hidup di Tanah Melayu yang dinamakan Malaysia—semua perlu memahami dan menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Apa gunanya menjadi rakyat Malaysia jika tidak sanggup menerima ketetapan yang telah digariskan dalam undang-undang tertinggi negara ini?

Azman Mohd Hashim SM

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp