TERKINI

Sejarah dan Perpaduan Nasional di Malaysia

Gambar hiasan

Satu berita dalam Malaysiakini pada 24 Feb. 2025 melaporkan YB Khoo Poay Tiong, ahli parlimen PH di Melaka telah mencadangkan di parlimen supaya “sejarah semua kaum” di Malaysia diajar di sekolah rendah sebagai, katanya “langkah membantu perpaduan dari usia muda”.

Beliau memberi contoh sambutan ke-50 hubungan diplomatik China-Malaysia adalah mengenai satu sejarah yang panjang, dan perihal ini tidak disebut dalam buku sejarah sekolah rendah di sekolah. Katanya hubungan ini telah bermula dengan Laksamana Cheng Ho datang ke Melaka di awal tahun 1400-an.

Laporan ini menimbulkan soalan besar, apakah maksud dan tujuan “sejarah semua kaum”? Apakah maksud dan tujuannya untuk menafikan teras Melayu dalam naratif sejarah Malaysia, walhal sejarah bumi di sini memang sejarah Orang Melayu (Rumpun Melayu) sepenuhnya semenjak zaman silam, sebelum kedatangan Inggeris, Belanda dan Portugis, dan kedatangan orang lain dari bumi China dan bumi India. Fakta sejarah ini tidak boleh diperkotak-katikkan.

Dan lagi, memang Cheng Ho datang ke Melaka dahulu, tetapi ketika itu tidak ada negara bernama ‘Malaysia’. Yang telah ada ketika itu ialah Alam Melayu, di mana Melaka adalah salah satu negeri yang terdiri di Alam Melayu.

Datangnya Cheng Ho ke Melaka, (juga ke Champa, Majapahit, dan Palembang) adalah satu hubungan ‘China’ dengan Alam Melayu, bukan hubungan China dengan Malaysia. Istilah ‘China’ sebagai nama suatu negara juga tiada ketika itu.

Di zaman silam, apa yang dianggap ‘China’ itu adalah pelbagai empayar pelbagai bangsa (termasuk yang sedikit pun tidak serupa bangsa Cina/Han). Istilah negara ‘China’ muncul cuma awal abad ke-20.

Apakah cadangan “sejarah semua kaum” ini juga bertujuan menafikan adanya satu Alam Melayu, dengan cara menunjukkan ‘Alam Melayu’ itu kononnya adalah dimiliki juga oleh pelbagai bangsa yang telah sampai ke sini dahulu kala, dan yang ada juga bermastautin tetap di sini.

Walhal, dalam penulisan Cina zaman silam, alam orang Melayu itu jelas dianggap alam asing bagi orang Cina, yang disebut dalam tulisan Cina zaman silam sebagai alam ‘orang tidak bertamadun laut selatan’ (‘barbarians of the south sea’).

Serta juga, apakah cadangan “sejarah semua kaum” ini bertujuan menunjukkan bukan orang Melayu sahaja yang relevan di Malaysia, tetapi juga kaum-kaum lain (Cina dan India) setara relevan, maka itu Malaysia tidak boleh dinamai sebagai negara Melayu; tetapi ‘negara pelbagai bangsa’.

Apakah kita tidak peka bahawa yang ‘pelbagai’ itu ialah bangsa dan kaum dalam kalangan penduduk di Malaysia sekarang ini; bukannya bumi di sini. Bumi di sini ialah bumi Melayu daripada asas geografinya, asas sejarahnya, dan asas bangsa aslinya di sini, iaitu keluarga Rumpun Melayu (‘barbarians of the south sea’).

Berada di bumi Melayu ringkasnya, identiti Malaysia sekarang adalah “Negara Melayu (Rumpun Melayu) dengan penduduk pelbagai etnik” (“A Malay country with a multi-ethnic population”).

Manakala, mengaitkan pengetahuan “sejarah semua kaum” dengan boleh “membantu perpaduan” di Malaysia pula adalah suatu hujah yang bukan sahaja remeh, tetapi amat meleset.

Tidak pernah timbul ‘mesti ada sejarah semua kaum’ (Jawa, Bugis, Minangkabau, Aceh, Iban, Kadazan, Orang Ulu, dll.) dalam sejarah peradaban kita di bumi di sini; semua suku-suku bangsa di sini di terima wujud dan telah sedia terintegrasi hasil kesedaran semulajadi di Alam Melayu ini, dan berasimilasi di mana sesuai, tanpa diganggu sebarang sebarang teori akademik seperti ‘multiculturalism’, dsb.

Perkara yang besar dan tepat mengenai perpaduan sebenarnya ialah apa dia asas perpaduan dalam sesebuah negara. Asas perpaduan, di mana-mana negara, ialah integrasi, dan asimilasi di mana patut, akan penduduk khususnya yang mendatang, dengan penduduk asli yang telah sedia ada.

Integrasi/asimilasi sebegini adalah norma peradaban (civilisational norm), seperti disebut oleh orang Melayu “masuk kandang kambing membebek, masuk kerbau menguak”. Di mana norma ini dilanggar ia bermakna berlaku konflik, dan satu niat untuk ‘menjajah’, ‘menakluk’ atau mendominasi penduduk asli bumi atau negara yang berkenaan, kerana penduduk pribumi pula yang dikehendaki akur dengan kehendak teori yang dihujahkan oleh kaum-kaum yang mendatang – satu kesongsangan nyata.

Di Malaysia kini integrasi tidak lagi berlaku akibat norma peradaban itu tidak dituruti. Integrasi norma peradaban menghendaki kaum-kaum yang mendatang menerima bangsa, budaya dan bahasa Melayu sebagai identiti nasional di Malaysia kerana ia identiti asli di bumi di sini.

Jika, kita ingin merujuk ke zaman Cheng Ho sekalipun, kaum-kaum asing (Cina, India) yang memilih untuk menetap terus di Melaka, berasimilasi terus (melebihi integrasi) dengan orang dan budaya Melayu (cuma mereka, kebanyakannya, kekalkan agama mereka) kerana mengenali alam di sini alam asing.

Masalah tiadanya perpaduan di Malaysia sekarang ialah kepribumian Bangsa Melayu (Rumpun Melayu) di bumi ini dipertikaikan oleh kaum-kaum lain, lanjut keutamaan budaya dan sensitivities, dan bahasa Melayu ditentang; sebaliknya, multiculturalism yang mahu diketengahkan oleh kaum-kaum lain, yakni kesamarataan semua budaya, bahasa dan bangsa, walhal sejarah asal usul masing-masing bangsa dan kaum di Malaysia adalah nyata sangat bertentangan.

Malah, isi Perlembagaan negara Malaysia jelas menyatakan keMelayuan (atau keRumpunan Melayu) negara ini walau pun dalam rangka Perlembagaan moden. Manakala, selari dengan nilai peradaban Melayu, “kepentingan sah” kaum-kaum lain dijanjikan, disamping “kedudukan istimewa” orang Melayu dan pribumi dinyatakan.

Sejarah yang dipelajari di sekolah-sekolah di negara ini (termasuk di sekolah-sekolah vernakular) perlu menghuraikan dengan lebih mendalam akan hakikat dan pengetahuan tentang geografi, sejarah, dan orang pribumi di Alam Melayu ini, di mana telah terbinanya peradaban Melayu dan kerajaan-kerajaan Melayu – yang berterusan – maknanya, ada satu Alam Melayu yang nyata di sini semenjak munculnya ketamadunan di sini. Ini asas kenegaraan kita.

Ia satu hakikat ketamadunan manusia di sini. Pepatah peradaban Melayu khusus menyatakan “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”. Tidak mungkin salah bagi mana-mana tamadun mempertahankan kedudukan dirinya di alamnya sendiri. Ini bukan perkauman.

Oleh : Arof Ishak, Ahli Lembaga Peradaban Melayu (ADAB), Penulis buku ‘Tamadun Alam Melayu’

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp