TERKINI

Sekolah di Amerika dan Eropah tak beri kebebasan dana syarikat arak?

Gambar hiasan – malayadaily.com

Isu derma syarikat arak kepada sekolah menjadi topik hangat yang dibincangkan oleh masyarakat hari ini. Pertembungan pendapat mengenainya terus dibincangkan, namun semua pandangan ini berlatarbelakangkan pendirian politik masing-masing.

Di sini, malayadaily cuba mengupas isu ini dari perspektif yang lebih umum tanpa dilatari oleh mana-mana pendirian politik.

Berdasarkan pandangan awam merentasi kaum dan agama, dermaan wang yang diterima oleh sekolah dari syarikat arak akan memberikan mesej yang salah mengenai penggunaan alkohol.

Malah, sekolah sebagai institusi pendidikan yang menerima dana dari syarikat arak akan membawa persepsi bahawa sekolah telah meluluskan penggunaan alkohol sebagai sesuatu yang baik dalam masyarakat.

Jika keadaan ini berlaku, ia boleh mendorong pelajar untuk mencuba alkohol pada usia yang lebih muda, yang mana ia boleh membawa kepada masalah kesihatan dan sosial di masa depan.

Sekolah adalah wadah pendidikan bagi perkembangan moral insan dan intelek pelajar. Mengaitkan aktiviti sekolah dengan syarikat arak, dilihat sebagai bertentangan dengan misi pendidikan itu sendiri.

Isu ini bukanlah terhad kepada isu agama atau bangsa semata-mata, sebaliknya ia adalah isu yang berkaitan etika dan nilai moral manusia.

Banyak negara mempunyai peraturan dan polisi yang mengawal penerimaan sumbangan syarikat alkohol kepada institusi pendidikan. Bukan hanya terhad kepada negara Islam atau masyarakat Islam sahaja.

Di negara-negara lain, meskipun tidak haram secara hukum, tetapi penerimaan sumbangan dari syarikat arak kepada institusi pendidikan adalah dikawal ketat.

Di Amerika kebanyakkan sekolah mempunyai polisi dalaman yang menghadkan penerimaan sumbangan dari syarikat arak untuk melindungi pelajar dan menjaga etika dalam sistem pendidikan mereka.

Di California, Kod Pendidikan dan dasar sekolah daerah telah menguatkuasakan dasar yang melarang penerimaan derma daripada syarikat alkohol untuk memastikan pematuhan dengan matlamat kesihatan awam dan standard komuniti.

Di New York City, kebanyakkan sekolah di daerah mempunyai dasar yang menyekat atau melarang derma daripada syarikat alkohol untuk mengelak daripada menggalakkan penggunaan alkohol dalam kalangan pelajar.

Di Massachusetts dan Oregon, banyak sekolah mempunyai dasar yang tidak menggalakkan atau melarang menerima derma daripada syarikat alkohol untuk melindungi pelajar daripada pendedahan kepada pemasaran alkohol.

Negara-negara eropah juga telah mengetatkan kawalan alkohol dan pemberian sumbangannya.

Norway, Sweden dan Iceland juga mempunyai peraturan ketat mengenai pengiklanan dan penajaan alkohol. Undang-undang ini bertujuan melindungi golongan bawah umur dan memastikan alkohol tidak dipromosikan dalam persekitaran yang melibatkan kanak-kanak dan remaja, termasuk sekolah.

Negara perancis pula mempunyai Loi Evin atau Evin Law dimana, undang-undang ini diwujudkan untuk mengawal pengiklanan dan penajaan alkohol di sekolah-sekolah di negara tersebut.

Ireland pula mempunyai peraturan ketat mengenai pengiklanan dan penajaan alkohol khususnya kepada institusi pendidikan. The Public Health (Alcohol) Act 2018 melarang pengiklanan alkohol dalam beberapa jenis media dan lokasi, termasuk di kawasan sekitar sekolah.

Semua peraturan dan kawalan ini menunjukkan bahawa penerimaan sumbangan derma dari syarikat arak oleh sekolah, adalah sangat dikawal, malah dalam keadaan tertentu, ia dilarang sama sekali.

Negara-negara maju ini telah menetapkan peraturan yang ketat untuk memastikan perlindungan pelajar dan menjaga persekitaran pendidikan yang bebas dari pengaruh negatif alkohol.

Oleh yang demikian, penerimaan sumbangan derma dari syarikat alkohol terutamanya di sekolah-sekolah di Malaysia, seharusnya dielakkan. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp