TERKINI

Suara politik Kerajaan Perpaduan kini telah tergelincir

Mansor Mohd Noor (gambar kecil) – malayadaily.com

Isu-isu Lapuk Bawah Tempurung

Perbahasan tentang isu sekolah vernakular, kantin di sekolah di bulan Ramadhan, makanan halal seperti Bak Kut Teh, Islam dan berkaitan dengannya sering dibangkitkan.

Dapat diperhatikan isu-isu ini dibangkit semasa pilihan raya dan dalam kempen pilihan raya. Oleh sebab itu data kajian dari 1990 hingga 2020 menunjukkan setiap ahli-ahli politik buka mulut mereka suhu hubungan etnik pasti panas berlaku.

Namun begitu, kewarasan dimiliki rakyat kepelbagaian etnik, mereka kembali tenang, damai dan bersepadu.

Semasa Kerajaan Pakatan Harapan, isu-isu ini dimain oleh kepimpinan Kerajaan dan media sosial melalui Statut Rom, ICERD, sekolah vernakular, Raja dan agama. Ia berakhir dengan perhimpunan rakyat dan berakhir dengan kejatuhan Kerajaan Pakatan.

Aras Permainan Baru Memanaskan Hubungan Etnik

Kerajaan Perpaduan telah mengangkat isu-isu ini ke aras permainan baru untuk memanaskan hubungan etnik di negara ini di mana ia dibahaskan di dalam Dewan Rakyat.

Dalam dunia digital kontemporari apa berlaku bukan sahaja di Dewan Rakyat tetapi di dalam ceramah dan pembukaan majlis apa pun, ia akan ditular di pelbagai pelantar media sosial.

Jelas rakyat jelata yang sudah sepadu dan harmoni dengan berkongsi nilai budaya kehidupan bersama ditakut-takutkan dengan tuntutan etnik yang pasti membakar jambatan perpaduan yang selama ini kental dan utuh.

Pejuang Bahasa Pendaulat Bangsa

Desakan siasatan ke atas Prof Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, seorang pejuang bahasa Melayu dan juga pendaulat bangsa adalah keterlaluan. Keberanian seorang intelektul Malaysia ini, walaupun pedih, perlu didokong atas dasar kebebasan akademik demi mengukuhkan pembinaan bangsa sepunya Malaysia.

Sebenarnya, suara-suara pejuang bahasa Melayu dan pendaulat bangsa sedang tersentak dengan tindakan membelakang ilmu sebagai hujah.

Bangsa Terbina Lompang Diurus

Data kajian yang saya sendiri lakukan menunjukkan isu-isu dibangkit itu sudah diterima, dikongsi dan diraikan oleh rakyat dalam kerangka besar bangsa sepunya Malaysia. Malahan data 2002-2018 menunjukkan pola etos bangsa adalah terbina dalam kalangan pelbagai kumpulan etnik di Malaysia.

Namun begitu, jika dikaji secara perbandingan antara etnik, respondon Cina menunjukkan sekitar 30 peratus rendah berbanding dengan etnik-etnik lain terutama tentang dimensi komitmen, ketaatan, identiti dan perkongsian sejarah kebangsaan.

Dapatan kajian etos bangsa ini menunjukkan isu-isu dibahas di atas perlu dikaji dalam kerangka lebih besar dan bukan dengan mengangkat satu-satu isu sahaja.

Berdasar analisis, ahli-ahli politik sebagai pengubal dasar awam perlu ke meja rundingan untuk mereka memahami dan melaksanakan tuntutan bangsa ‘bumi dipijak, langit dijunjung’.

Keselarasan kefahaman tentang naratif negara bangsa Malaysia akan memudahkan isu kepelbagaian bahasa, budaya, agama dan sejarah didialog dan diuruskan secara adil, baik dan keterangkuman dalam membina muafakat kebangsaan.

Langkah ke depan

Satu ‘Summit’ Pendidikan Kebangsaan perlu dijalankan untuk mengkaji kembali dan mengukuhkan sistem pendidikan sedia ada, yang celaru, yang menyebabkan anak-anak didik bangsa hanyut mengikut kepentingan ideologi politik masing-masing.

Keterikatan kolektif sebagai satu komunitarian dan bangsa sepunya yang berintegrasi berpasakkan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Undang-Undang Tubuh Negeri adalah visi dan misi kita bersama.

Kita perlu belajar dari pada apa sedang berlaku dalam realiti sosial kepelbagaian masyarakat di negara ini.

Suara-suara politik dalam Kerajaan Perpaduan kini telah tergelincir dari arus kebangsaan yang menjamin kesatupaduan, kestabilan dan kemakmuran bersama.

-tamat-

Prof Dr Mansor Mohd Noor, Profesor Kehormat dalam bidang Hubungan Etnik; Pembangunan dan Sosiologi Politik.

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp