TERKINI

Surat Terbuka kepada George Town World Heritage Incorporated

Zikrullah Ismail (penulis) – foto FB Zikrullah Ismail

Dengan penuh hormat pada GTWHI,

Saya sebagai dari rakyat dan pengundi Pulau Pinang ingin bertanya setelah merujuk pada dokumen soalan bertulis Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN ke 15, 24 Mei 2024, perkara : 5(A)(XXII)2, di dalamnya menyatakan bahawa peruntukan GTWHI diperuntukkan lebih RM 4.5 juta, dengan kos operasi/pengurusan dan pentadbiran lebih RM 3.7 juta.

Daripada rujukan di atas saya ingin mengemukakan beberapa soalan berkait polemik berkaitan promosi George Town Festival (GTF) 2024 yang hangat diperkatakan.

Soalan pertama saya, bagaimana dana yang besar itu diurus sehingga boleh terlepas pandang soal pemencilan naratif kumpulan paling majoriti di Pulau Pinang daripada promosi GTF 2024 ?

Peruntukan kerajaan negeri kepada GTWHI – Sumber Zikrullah Ismail

Apakah kumpulan pengurusan dan ahli lembaga pengarah dalam GTWHI tidak berjaya memberi halatuju bersama yang bersifat inklusif, jauh sepatutnya tidak wajar meminggirkan apa saja berkaitan naratif berkait etnik majoriti sebagai bangsa majoriti di Pulau Pinang.

Soalan kedua saya, bagaimana pemencilan naratif ini berlaku sedangkan fakta sejarah membuktikan pelbagai peristiwa penting di Pulau Pinang ini bermula dengan kumpulan etnik Melayu sebagai kumpulan yang telah wujud di Pulau Pinang sebelum Francis Light ?

Selain itu, diperkuat lagi beberapa peristiwa besar melibatkan sosio-budaya Melayu apabila George Town (dahulu dikenali sebagai Tanjong) telah menjadi sebuah pusat haji yang terpenting di Semenanjung Tanah Melayu sehingga 1970-an sekaligus mengambil alih peranan sebelum ini dimainkan oleh Aceh, Indonesia.

Di Masjid Melayu Lebuh Acheh, Tanjong pada ketika itu pusat berkumpul jemaah haji dari Province of Wellesley (kini Seberang Perai), Kedah, Perak utara, Kelantan dan Siam (Pattani, Setul dan lain-lain) sebelum berlepas dengan Kapal Haji yang berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang .

Malah pelabuhan Pulau Pinang menjadi pelabuhan persinggahan bagi kapal-kapal dari Indonesia sebelum meneruskan pelayaran ke Jeddah.

George Town atau Tanjong pada suatu masa yang berperanan sebagai pelabuhan berlepasnya jemaah haji ini, telah wujud pejabat Kawalan Haji yang ditubuhkan pada tahun 1951 yang berfungsi bagi memantapkan segala urusan pentadbiran berhubung hal ehwal haji yang diurus sendiri oleh orang Melayu.

Lebuh Acheh dan kawasan sekitarnya menjadi saksi bahawa orang Melayu secara langsung terlibat secara langsung terlibat dalam perkembangan ekonomi melalui pelbagai bentuk perniagaan berkait haji seperti wujudnya kerjaya sheikh- sheikh Haji yang begitu terkenal pada ketika itu.

Bahkan saya yakin, dalam rantaian bekalan Ekonomi Haji pada ketika itu, ia memberi limpahan ekonomi perniagaan tanpa mengira bangsa dapat menikmatinya.

Pembekal barangan atau perkhidmatan bukan semuanya mesti daripada orang Melayu, ada barangan (termasuk perkhidmatan) keperluan lain bagi menyokong rantaian bekalan memberi peluang kepada ahli perniagaan dan pengguna pelbagai bangsa pada ketika itu.

Seterusnya, saya merakamkan tahniah pada orang seni terkenal, Sabri Yunus, kerana berjaya mengangkat semula memori berkaitan pusat haji Pulau Pinang dalam filemnya Butak, kisah anak nakal yang bercita-cita menunaikan haji menjadikan latar masa dan tempat berkenaan haji di Pulau Pinang ini dirakamkan di layar perak.

Filem Butak

Alangkah baiknya, jika tokoh seni dijemput dalam GTF untuk membicarakan tentang filem ini sekaligus secara langsung akan membincangkan tentang memori berkaitan aktiviti haji dengan penceritaan seni untuk membina memori kolektif generasi baru untuk dikenang sebagai warisan.

Kisah-kisah ini adalah memori kolektif dalam mewajahkan warisan penting untuk negeri Pulau Pinang bagi orang Melayu. Urusan haji adalah urusan ibadah penting dalam sosiobudaya orang Melayu.

Aktiviti berkaitan urusan haji Lebuh Acheh dan kawasan sekitarnya bukan hanya memberi perkembangan ekonomi, bahkan memberi sumbangan kepada aspek kemasyarakatan, keagamaan dan keintelektualan daripada perkembangan tersebut.

Persoalannya, bagaimana mungkin sehingga GTWHI boleh melupakan kisah ekonomi , kemasyarakat dan kebudayaan pusat haji untuk dijadikan naratif penting dalam mewakili orang Melayu untuk dipersembahkan dalam promosi GTF 2024?

Dengan bajet jutaan ringgit yang telah tersedia bersama kesilapan besar yang telah dibuat, mungkin telah sampai masanya untuk semakan semula terhadap perbelanjaan yang telah dibuat secara lebih telus, supaya citra inklusif yang menjadi impian Pihak Berkuasa Negeri Pulau Pinang dapat direalisasikan.

Sememangnya menjadi kesalahan besar apabila citra inklusif itu meminggirkan tema penting tentang masyarakat Melayu yang merupakan kumpulan majoriti seperti yang termaktub statistik terkini di Jabatan Statistik Negara.

Jika semakan telus dan terbuka tidak mampu dibuat, maka dengan penuh rasa hormat pada GTWHI, saya merasakan pandangan YB Izhar Shah Arif Shah amat tepat untuk diangkat ke dalam sidang dewan seterusnya iaitu membubarkan GTWHI yang semakin lama menimbul keraguan dan keresahan masyarakat Pulau Pinang.

Apakah manfaatnya jutaan wang dibelanja kalau akhirnya menatijahkan impak negatif yang tak menguntungkan negeri, meresahkan rakyat dan menjejaskan keharmonian.

Sekian, Terima Kasih.


Yang Benar,
Zikrullah Ismail, Rakyat Pulau Pinang,
Bayan Baru, 18 Julai 2024

Facebook
Twitter
WhatsApp