TERKINI

Surat Terbuka Kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin

Perikatan Nasional dilihat sebagai sandaran harapan oleh sebahagian besar lapisan masyarakat, khususnya masyarakat Melayu, bagi menggantikan kerajaan sedia ada yang dianggap tidak berupaya mentadbir negara secara berkesan serta gagal menjaga kepentingan rakyat.

Sehubungan dengan itu, rakyat mengharapkan agar Perikatan Nasional kekal kukuh dan bersatu dalam memperjuangkan agenda rakyat, mempertahankan kepentingan mereka, serta berperanan sebagai sebuah pembangkang yang berwibawa dan berkesan.

Walau bagaimanapun, sejak kebelakangan ini Perikatan Nasional dilihat berada dalam keadaan yang semakin lemah berikutan pelbagai konflik dalaman yang melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Keadaan tersebut berpunca daripada kekalahan dalam beberapa siri pilihan raya, penolakan terhadap kepimpinan Presiden, serta tindakan pemecatan dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti. Perkembangan ini telah mengakibatkan kemerosotan tahap kepercayaan dan sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional.

Selain itu, Perikatan Nasional turut dilihat dipengaruhi oleh kepentingan peribadi individu tertentu, sehingga perjuangan parti tidak lagi tertumpu kepada kepentingan dan kebajikan rakyat.

Rakan-rakan parti dalam gabungan telah menunjukkan pendirian yang jelas menolak kepimpinan Presiden BERSATU sejak Muktamar Tahunan PAS (Parti Islam Se-Malaysia) 2025, khususnya apabila syarat umur calon Perdana Menteri ditetapkan tidak melebihi 70 tahun, di samping penyataan hasrat untuk menerajui kepimpinan utama Perikatan Nasional.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan krisis mutakhir di Perlis yang telah menguji prinsip setiakawan dan semangat kebersamaan dalam gagasan parti-parti komponen Perikatan Nasional. Walau bagaimanapun, amat mendukacitakan apabila Tan Sri Presiden gagal mengambil tindakan yang tegas dan membuat keputusan yang sewajarnya bagi meredakan ketegangan serta mengelakkan berlakunya perpecahan dalaman parti.

Konflik yang berlaku di Perlis seharusnya diselesaikan melalui proses musyawarah yang teratur dan berprinsip. Sehubungan itu, satu mesyuarat tergempar Perikatan Nasional wajar diadakan sebelum sebarang pelantikan Menteri Besar yang baharu dibuat.

Adalah tidak wajar untuk mempergunakan institusi Istana bagi mengabsahkan kelemahan atau kesilapan prosedur, memandangkan umum sedia maklum bahawa pencalonan nama Menteri Besar tersebut tidak pernah dibincangkan atau dirujuk dalam mana-mana mesyuarat Perikatan Nasional.

Malah, keputusan untuk menarik sokongan terhadap Menteri Besar terdahulu juga telah dibuat tanpa melalui sebarang mesyuarat rasmi Perikatan Nasional.

Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa keputusan serta pendirian parti telah ditentukan secara unilateral, tanpa perbincangan dan musyawarah bersama antara parti-parti gabungan, yang bercanggah dengan prinsip tadbir urus dan amalan kolektif dalam sebuah gabungan politik.

Semua perkara ini berpunca daripada kelemahan Tan Sri Presiden dalam mengurus dan mentadbir parti secara berkesan. Tan Sri Presiden didapati masih terikat dengan nostalgia era pentadbiran terdahulu serta beranggapan bahawa setiap keputusan dan kenyataan Tan Sri akan diterima tanpa bantahan berdasarkan jasa dan sumbangan semasa memegang jawatan sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

Anggapan tersebut adalah tidak berasas dan jelas tersasar. Sebagai seorang pemimpin parti, Tan Sri Presiden tidak wajar mengutamakan kepentingan peribadi, sebaliknya bertanggungjawab untuk menitikberatkan masa depan dan kelangsungan parti, termasuk kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum Ke-16, serta memastikan hubungan antara parti kekal stabil, harmoni, dan kukuh demi meningkatkan peluang kemenangan dalam pilihan raya.

Pelantikan jawatan dalam Parti BERSATU dan Perikatan Nasional tidak dibuat berdasarkan prinsip meritokrasi atau keupayaan individu untuk berkhidmat secara berkesan kepada parti, sebaliknya berasaskan hubungan dan sokongan peribadi terhadap Tan Sri Presiden.

Akibatnya, sebahagian pemegang jawatan utama gagal melaksanakan fungsi dan tanggungjawab mereka secara efektif bagi memastikan kejayaan parti. Tindakan mereka lebih tertumpu kepada memperkukuh kedudukan Tan Sri Presiden secara peribadi, bukannya memelihara kepentingan dan kestabilan Parti BERSATU serta Perikatan Nasional.

Lebih membimbangkan, terdapat kecenderungan untuk menyerang mana-mana pihak yang mengemukakan pandangan konstruktif demi kebaikan parti tetapi tidak sehaluan dengan kepimpinan Tan Sri, sehingga mencetuskan pertelingkahan dalaman dan perpecahan serius dalam Parti BERSATU dan Perikatan Nasional.

Sehubungan dengan itu, sebagai seorang ahli parti yang komited terhadap kepentingan dan kelangsungan parti serta keharmonian hubungan antara parti-parti gabungan dalam Perikatan Nasional, saya dengan penuh hormat berharap agar Tan Sri mempertimbangkan untuk mengundur diri daripada jawatan Pengerusi Perikatan Nasional dan Presiden BERSATU secara sukarela demi memastikan kestabilan serta masa depan parti.

Saya juga mendesak agar Ketua Penerangan BERSATU, Tun Faisal, dan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, digugurkan daripada jawatan masing-masing memandangkan kegagalan mereka melaksanakan tanggungjawab secara berkesan dalam usaha memperkukuhkan parti.

Selain itu, Jawatankuasa Perikatan Nasional wajar distruktur semula bagi memastikan pengagihan peranan dan tanggungjawab yang saksama serta adil dalam kalangan parti-parti gabungan.

Saya turut berharap agar kepimpinan baharu mengambil langkah tegas dalam menangani krisis politik yang berlaku di negeri Perlis dengan membawa isu berkaitan wakil-wakil rakyat yang terlibat dalam tindakan menjatuhkan kerajaan negeri terdahulu ke Mesyuarat Perikatan Nasional untuk pertimbangan dan keputusan lanjut, termasuk pengenaan tindakan disiplin yang sewajarnya.

Langkah ini penting bagi memelihara hubungan rentas parti serta memastikan keutuhan dan keharmonian kerjasama dalam Perikatan Nasional terus terpelihara.

MOHAMAD SHAFIQ BIN ABDUL HALIM, AHLI NO. : 00485139 (15-10-2020) CAWANGAN SESAPAN BATU, BERSATU BAHAGIAN HULU LANGAT

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp