TERKINI

Surat Terbuka untuk UMNO Tulin

Tengku M Fakhruddin (memanah) Foto fb Dr Tengku M Fakhruddin

“PAU dulu simbol maruah… hari ini jadi tanda tanya.”

Saya membesar menyaksikan Perhimpunan Agung UMNO. Biar saya bukan ahlinya, tapi sebagai anak muda Melayu-Islam, saya menghormati semangat perjuangan yang dulu mekar di PWTC.

Suara perwakilan yang mewakili suara rakyat. Presiden yang berani berkata benar. Dan ketika UMNO berdiri teguh melaungkan: “No Anwar, No DAP” itu bukan retorik. Itu prinsip.

Tapi hari ini…segala yang pernah ditegaskan, segala sempadan yang pernah dilukis, hilang dalam satu malam kuasa.

Yang dulu ditolak, kini dirangkul. Yang dulu ditentang, kini dipertahan. UMNO yang dulu menjadi benteng, kini kabur hala tuju.

Saya tahu, ramai yang kecewa. Ramai yang memilih diam, bukan kerana setuju,  tetapi kerana masih berharap. Masih sayang. Saya juga masih ingat waktu kita pernah duduk semeja.

Waktu Muafakat Nasional menggetarkan harapan umat. Waktu PAS dan UMNO bersatu kerana Islam, demi Melayu, demi negara. Ketika itu, kita percaya: jika kita ikhlas dan jujur dalam penyatuan, rakyat akan bersama.

Tapi hari ini, perikatan itu diruntuhkan, bukan oleh musuh luar, tetapi oleh kerakusan dalam. Kini prinsip digadai, maruah dikambus demi jawatan.

Namun belum terlambat. Akar umbi masih ada. Suara rakyat masih belum padam. Himpunan “Turun Anwar” bukan sekadar protes jalanan. Ia isyarat – bahawa nilai dan prinsip masih ada tempat dalam politik. Bahawa akar umbi tak akan biarkan maruah perjuangan terus digadaikan. 

Kepada sahabat-sahabat dalam UMNO Tulin, yang masih setia pada nilai, yang masih ingat semangat PAU zaman gemilang, inilah masanya.

Bangkitlah.

Bersuaralah.

Turunlah.

Kerana kalau bukan kamu yang pertahankan UMNO, siapa lagi? Dan jika semua memilih diam hari ini,

esok mungkin terlalu lewat untuk menyelamatkan apa yang pernah dibina dengan air mata dan pengorbanan. 

YB Dr Tengku M Fakhruddin – ADUN Sura, Terengganu

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp