TERKINI

Testament Politik ARMADA – Bah 2

Hilman Idham – malayadaily.com

BERSATU UNTUK MALAYSIA

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) lahir daripada perjuangan melawan rasuah dan salahguna kuasa. Perjuangan BERSATU adalah berlandaskan nilai integriti sebagai moral value yang menjadi tunjang buat setiap ahli dan individu yang menyertainya. Oleh itu, perjuangan BERSATU adalah ‘moral crusade’ demi membawa cahaya baru untuk rakyat dalam melaksanakan perubahan.

Konvensyen BERSATU dengan tema ‘Mendukung Idealisme, Memperkasa Kesatuan, Membina Kekuatan’ pada Julai yang lalu telah menggariskan falsafah dan prinsip perjuangan BERSATU sebagai sebuah parti nasionalis Melayu. Teras perjuangan yang dicerakinkan; inklusif, sederhana, demokratik, integriti serta prihatin adalah identiti dan jati diri BERSATU yang menjanjikan sebuah politik baru, politics of hope and
aspirations.

Sebagai wadah politik abad ke-21, BERSATU cukup berani untuk melakukan anjakan politik daripada semata-mata memburu kekuasaan kepada ikhtiar untuk mencapai tadbir urus negara yang cemerlang. Keyakinan ini terbit daripada kesedaran bahawa pembangunan negara dan masyarakat haruslah dipacu selaras perkembangan pemikiran, pengetahuan dan teknologi.

Perihal ini menuntut BERSATU untuk tampil dengan agenda baharu yang lebih segar. Sementara kita terus berjuang untuk meningkatkan pegangan orang Melayu dan Bumiputera dalam ekonomi negara serta membina keharmonian sosial dan ekonomi, kita juga harus berwacana tentang isu-isu struktural pendidikan, ikhtiar pemberdayaan generasi muda, pemerkasaan status sosio-ekonomi rakyat, alam sekitar serta perkembangan dan kemajuan teknologi moden.

Hal ini akan menggalang kekuatan BERSATU untuk menjuarai isu-isu rakyat. Pada masa yang sama, BERSATU hari ini berada pada kedudukan yang paling strategik sebagai ‘the vital centre’ dalam usaha penyatuan partiparti bukan Kerajaan. Kita bahkan mempunyai keupayaan untuk melakukan penjajaran baharu dalam politik negara sekaligus menampilkan citra unggul sebagai kerajaan masa hadapan.

Mungkin ada di kalangan kita yang pesimis terhadap pandangan ini. Namun, seperti ungkapan Nelson Mandela, “It always seems impossible until it’s done.”

Sebagai wadah perjuangan utama orang Melayu, BERSATU harus segera menyusun langkah untuk menggarap dukungan rakyat berbilang kaum. Kita yakin, menerusi tapak sokongan yang lebih meluas, BERSATU akan dapat mengembalikan kegemilangan kuasa politik orang Melayu, mempertahankan hak dan keistimewaan Melayu sekaligus melindungi institusi Raja-Raja Melayu.

Di atas robohan Kota Melaka,
Kita bangunkan jiwa merdeka,
Bersatu padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka.

-Bersambung

Hilman Idham, Petaling Jaya – 4 Oktober 2024
Hilman merupakan calon Ketua Armada Bersatu, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri, Gombak Setia

Facebook
Twitter
WhatsApp