TERKINI

Testament Politik ARMADA – Bah 4

Hilman Idham – malayadaily.com

ARMADA SEBAGAI GERAKAN KEPEMUDAAN

Pergerakan Armada BERSATU Malaysia harus kembali memaknai peranan besar perjuangan anak muda. Armada adalah masa depan BERSATU. Kedinamikan Armada adalah kelestarian BERSATU. Kegagahan Armada adalah kemegahan BERSATU.

Kita tidak boleh leka dan membuang masa. Armada harus segera bangkit, bekerja dan diperkasakan bukan sahaja untuk menang, akan tetapi untuk mengisi kemenangan akan datang.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita khususnya seluruh perwakilan Armada untuk menghadam sekaligus menjadikan dokumen Idealisme Perjuangan BERSATU sebagai ‘a living document’ yakni satu dokumen ideologi yang mempunyai ruh serta semangatnya sendiri. Armada wajib menekuni, menghayati serta menyerap tekad dan iltizam perjuangan tersebut ke sanubari. Tanpa idealisme yang digilap, semangat perjuangan kita akan luntur tanpa pegangan dan pedoman.

Usaha perkaderan yang berterusan amat penting untuk menjamin keutuhan BERSATU. Sebagai kilang kepimpinan, Armada perlu lebih inklusif, kreatif dan inovatif bagi menggembleng sokongan anak muda yang semakin bertambah. Saya yakin, setiap bakat dan potensi baru harus digarap sesuai dengan posisi dan peluang yang tersedia. Mengadaptasi peredaran zaman dan trend semasa, pelaksanaan program dan acara yang pelbagai mesti digerakkan secara berterusan agar dapat menarik lebih ramai generasi muda menyertai BERSATU.

Ikhtiar pelatihan dan pemberdayaan ahli mesti segera dijana secara konsisten demi menjamin keutuhan BERSATU. Setiap ahli perlu dilengkapi dengan citra perjuangan BERSATU sebelum terjun ke lapangan rakyat. Pemahaman yang tinggi terhadap erti perjuangan BERSATU akan melahirkan kader-kader yang setia dan cekal berjuang demi kepentingan parti. Tidak ada mana-mana individu atau ahli yang lebih besar kepentingannya berbanding kepentingan parti.

Disiplin organisasi mesti segera diterapkan supaya pergerakan Armada lebih seragam, tersusun dan efektif. Struktur yang mantap perlu diselaraskan supaya kekuatan di setiap peringkat; negeri, bahagian dan cawangan mempunyai misi dan hala tuju yang jelas. Kita mahu membangunkan ketumbukan Armada umpama ‘bunyanul marsus’ iaitu bangunan yang tersusun kukuh dan bergerak umpama ‘jasadil wahid’ iaitu jasad yang satu.

Program latihan silang bahagian, negeri bahkan silang negara melalui parti-parti politik antarabangsa perlu segera dilaksanakan bagi membina jaringan sosial dan politik yang lebih komprehensif dan menyeluruh. Armada perlu fasih untuk membicarakan isu-isu politik melangkaui batas sempadan.

Kita harus menjadi air yang memberi kekuatan kepada pohon supaya perjuangan BERSATU dapat segera mengakar dan membumi dalam kelompok masyarakat. Cawangan-cawangan Armada harus tumbuh di bandar, di desa, di kampus, di FELDA, di rumah-rumah panjang, dan seluruh ceruk yang menjadi penempatan masyarakat Melayu dan Bumiputera. Tidak boleh walau seinci tanah air ini sunyi daripada gerakan Armada.

Budaya politik unggul yang sarat dengan nilai-nilai murni harus menjadi teras kepada pergerakan ini. Kita boleh saksikan bagaimana generasi muda hari ini muak dan menolak ‘gutter politics’; atau politik longkang, yang busuk dengan fitnah, adu domba serta intrik demi kepentingan peribadi. Golongan kembiri politik tidak ada tempat dalam perjuangan Armada yang progresif dan dinamik.

Semangat kerja secara berpasukan harus dipasak sebagai budaya Armada agar masing-masing dapat memainkan peranan dan tugas memperkukuh wadah BERSATU. Perancangan dan atur gerak yang kemas, tertib dan berkesan mesti menjadi sebahagian daripada disiplin kita. Tanpa ruh berpasukan, Armada akan mandul sebagai sebuah gerakan massa.

Sebagai aktor politik yang bertanggungjawab, komunikasi politik mesti dibuka seluas-luasnya, bukan sahaja di kalangan pimpinan, tetapi juga antara pimpinan dengan ahli akar umbi, atau antara ahli dengan ahli, bahkan dengan semua sayap pemuda kawan dan lawan, mana-mana front pemuda serta organisasi masyarakat sivil. Pendirian organisasi, fikrah serta isu-isu yang sealiran boleh diperjuangkan secara bersama. Armada harus muncul sebagai penyambung lidah dan jurubicara rakyat.

Penyediaan platform secara berkala sama ada melalui perhimpunan, konvensyen atau rapat anggota silang cawangan, bahagian dan negeri mesti digerakkan supaya kita lebih saling mengenali dan akrab sebagai sebuah keluarga besar perjuangan BERSATU. Sesungguhnya, di situ akan lahir semangat dan nilai setiakawan yang ikhlas, jujur dan sejati

-Bersambung

Hilman Idham, Petaling Jaya – 4 Oktober 2024
Hilman merupakan calon Ketua Armada Bersatu, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri, Gombak Setia

Facebook
Twitter
WhatsApp