TERKINI

DAP tak setia kepada negara, kata Presiden PAS

Abdul Hadi Awang – foto facebook Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 23 Jan 2024 – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan parti DAP tidak setia kepada negara kerana memperjuangkan aliran politik ‘Malaysian Malaysia’ yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook, Abdul Hadi berkata undang-undang syariah hanya dikenakan terhadap penganut Islam sahaja, sebaliknya DAP cuba mencampuri urusan agama Islam.

“Hal ini ditegaskan lagi oleh sikap mereka menentang pelaksanaan Islam bagi penganut Islam sahaja yang tidak ada kaitan dengan bukan Islam adalah melampaui batas kesetiaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara yang nyata dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa undang-undang syariat dikenakan terhadap penganut Islam sahaja, namun DAP melahirkan penentangan terbuka apabila membawa perubahan kembali kepada Islam yang sebenar bagi penganut Islam dan berani mahu menjadi penasihat kepada perkara Islam secara berlagak seperti penjajah dahulu. Ujar Abdul Hadi.

Abdul Hadi juga berkata bahawa konsep ‘Malaysian Malaysia’ bertujuan melumpuhkan dan menghapuskan hak keistimewaan Melayu Islam dan bumiputera.

“DAP juga membawa konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang bertujuan melumpuhkan dan menghapuskan hak istimewa Melayu Islam dan bumiputera.

“Begitu juga dalam hal mendaulatkan bahasa kebangsaan, DAP tetap menggunakan bahasa kaum atau bahasa penjajah dalam semua penggunaan rasmi pentadbiran, politik, ekonomi, dan perjuangannya, sehingga berbeza dengan negara dunia lain yang mempertahankan bahasa kebangsaan masing-masing yang digunakan sepenuhnya dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Menurutnya, tindakan DAP menyebabkan bahasa kebangsaan tenggelam tidak kelihatan dalam seluruh penggunaan dan amalan mereka.

“Bahkan ada dalam kalangan mereka yang tidak mampu berbahasa kebangsaan.

“Bahasa Melayu ialah antara bahasa rumpun terbesar dunia dan pernah menjadi bahasa ilmu pada zaman sebelum kedatangan penjajah.

“Huruf dan istilahnya lebih kaya daripada penjajah, tetapi dipinggirkan. Katanya.

Pada masa yang sama, Presiden PAS ini turut menyatakan bahawa DAP tidak menghormati kedudukan Raja Berperlembagaan apabila tidak menghormati kurnia pingat oleh raja-raja dengan menetapkan peraturannya sendiri.

“Walaupun pada akhir-akhir ini menunjukkan sikap lebih bermuka-muka kerana tetap mempertahankan prinsip dan konsep perjuangan mereka yang tidak menghormati raja-raja.

“DAP bersikap tidak setia kepada negara apabila menyanggah arus Perlembagaan Persekutuan yang menghayati perubahan ke arah kemerdekaan yang sebenar.

“DAP mengekalkan saki-baki warisan penjajah yang bercanggah dengan agama dan bangsa serta budaya bangsa mereka sendiri, bukan sahaja semangat patriotik bernegara yang sebenarnya merdeka. Katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp