TERKINI

Trump, Gaza dan Palestin

Hishamudin Rais (kanan) – malayadaily.com

Semenjak Israel diwujudkan, Tel Aviv adalah ibu negara Israel. Semua pejabat duta negara-negara yang mengiktiraf Israel berpusat di Tel Aviv walau pun Israel sendiri sentiasa ‘mengklim’ Juruselam atau Baitulmaqdis sebagai ibu negara.

Kota Baitulmaqadis ini terletak di Tebing Barat. Pada tahun 1967 wilayah Tebing Barat ini ditakluki oleh Israel. Kota Baitulmaqadis terpecah dua – Timur dan Barat.

Baitulmaqdis Timur ialah istilah yang digunakan untuk menandakan bahagian Baitulmaqdis yang berada di bawah pendudukan Israel selepas perang 1967. Baitulmaqdis Barat yang berada di bawah kawalan Israel sejak perang 1948. Ada Garisan Hijau memisahkan Baitulmaqdis Timur dan Barat.

Juruselam atau Baitulmuqadis adalah kota suci untuk agama Yahudi, Kristian dan Islam. Di kota ini ada bangunan dan banyak tapak-tapak penting lagi suci dalam ajaran sejarah agama-agama ini. Contohnya termasuk Gereja Holy Sepulchre, Dome of the Rock , Masjid Al-Aqsa dan Tembok Barat.

Semua Presiden Amerika menyokong kewujudan Israel. Jika ada Senator atau ahli Dewan Kongres yang berani mengkritik Israel pasti sosok ini akan dikalahkan untuk menang kali ke dua.

Tetapi Trump ketika menjadi Presiden kali pertama telah menunjukkan sikap pro Israel yang jelas lagi terbuka. Trump seorang Zionis tidak berselindung.

Pada 6 Disember 2017, Presiden Trump secara rasmi mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan menyatakan bahawa kedutaan Amerika akan dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Pada 2025 Trump menjadi Presiden sekali lagi. Lihat sahaja ahli kabinet yang dilantik. Marco Rubio – Setiausaha Negara, Pete Hegseth – Setiausaha Pertahanan, Mike Waltz – Penasihat Keselamatan Negara, Elise Stefanik wakil ke PBB dan Mike Huckbee Duta ke Israel – kesemua mereka ini adalah Zionis Totok.

Presiden Trump juga di kelilingi oleh penasihat Zionis seperti Elon Musk.

Dunia mengakui Israel ini wujud kerana ada Amerika. Selagi Amerika menyokong, membantu Israel dari segi dana, senjata dan diplomasi maka Zionis Israel akan wujud.

Pembunuhan beramai-ramai – genosid – di Gaza dan di Jenin tidak akan berlaku tanpa lampu hijau dari Amerika.

Pada 9 Februari 2025 Portal SAN telah mengutip kata-kata Netanyahu dari stesen Fox News : Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menggelar Presiden Donald Trump sebagai “sahabat terbaik yang pernah Israel miliki di Rumah Putih” semasa di wawancara.

Pada 21 Februari 2025 Profesor Jeffrey Sachs dari Universiti Columbia dan juga seorang ahli ekonomi dan penganalisis dasar awam Amerika telah berucap di Parlimen Eropah. Sosok ini pernah menjadi penasihat kepada Gorbachev, penasihat kepada bekas Setiausaha PBB Ban Ki-Moon dan Kofi Annan.

Hari ini Profesor Sachs masih lagi menjadi penasihat Matlamat Pembangunan Mampan kepada Setiausaha Agong PBB Antanio Guterres. Hakikatnya sosok ini orang dalam dan bukan kecik anak.

Di Parlimen Eropah Profesor Sachs telah memberikan sejarah panjang lebar tentang geo-politik Eropah bersangkutan dengan Ukraine dan Rusia.

Mengenai Timur Tengah Profesor Sachs yakin bahawa Netanyahu adalah sosok yang bertanggung jawab mencetuskan Perang Iraq, Syria dan Libya. Malah mengikut pandangan Profesor Sachs pada ketika ini Netanyahu sedang memasang jerat untuk memerangkap Amerika agar menyerang Iran.

Profesor dari Columbia Universiti ini telah memberi ingatan lebih tepat lagi amaran kepada kita semua jika apa yang dilakukan oleh Netanyahu ini berterusan maka kemungkinan Perang Dunia Ke Tiga akan meledak.

Ketika tulisan ini digarap gencatan senjata fasa pertama di Gaza telah selesai. Fasa ke dua kini tertangguh. Zionis Israel dan Netanyahu telah menimbulkan pelbagai kerenah untuk memulakan kembali serangan.

Netanyahu menuduh Hamas telah menggelapkan bahan bantuan untuk di jual kembali. Lipat ganda untung dari penjualan ini akan menjadi dana Hamas.

Pada ketika ini penduduk Gaza telah pulang kembali ke wilayah tempat rumah mereka yang kini telah hancur musnah. Mereka diberi khemah dan bantuan makanan dan ubatan. Ini bukan satu kerja amal dan memberi bantuan yang mudah. Lebih dari 2 juta sosok yang memerlukan bantuan.

Ketika inilah Zionis Israel mula melarang kemasukan barang bantuan. Lori-lori yang membawa bahan bantuan ini masih tersadai di Mesir.

Malah media Zionis Israel telah memaparkan gambar Mak Cik Palestin dan anak-anak kecil yang gemuk. Gambar ini sebagai bahan bukti bahawa tidak ada kelaparan dan kebuluran di Gaza.

Berita ada kebuluran di Gaza hanyalah tohmah dan fitnah.

Ketika Netanyahu – pemimpin dunia pertama melawat Rumah Putih – stesen Al-Jazeera telah melaporkan : Trump telah mencadangkan bahawa Amerika berhasrat untuk “mengambil alih” Gaza. Penduduk akan dihantar ke negara lain dan sebagai ganti akan didirikan Gaza Riviera.

Negara seperti Mesir dan Jordan telah disebut sebagai negara yang akan menerima 2 juta lebih warga Gaza. Nama Indonesia juga di sebut. Wilayah Gaza ini akan dibersihkan dan dikosongkan dari warga Palestin. Sebagai ganti Gaza akan di jadikan pantai peranginan.

Ini dalam kepala Trump sebagai seorang ahli perniagaan pemaju untuk berniaga dan menjual hartanah.

Bila kenyataan Trump ini didengar para pemimpin Arab menjadi gelabah. Liga Arab bermesyuarat. Sebulat sekata semua pemimpin Arab menolak rancangan pembangunan semula Trump ini.

Liga Arab mencadangkan Gaza dibangunkan semula oleh warga Palestin. Pemimpin Arab akan menyediakan 53 Bilion dolar untuk membangunkan semua Gaza.

Presiden Sisi dari Mesir, Raja Abdullah dari Jordan dan Muhamad Bin Salman dari Saudi ini sedar bahawa mereka terus dapat berkuasa kerana ada sokongan dari Amerika.

Pemimpin-pemimpin Arab ini bukan berkuasa kerana undian dan pilihan sokongan rakyat. Jordan dan Saudi negara feudal. Manakala Sisi dari Mesir naik takhta melalui rampasan kuasa.

Jangan kita lupa bila saja Trump menjadi Presiden dia telah bertitah untuk membatalkan semua bantuan senjata dan dana kepada pelbagai negara kecuali Mesir dan Israel.

Pada ketika ini Trump sedang berhadapan dengan Ukraine. Trump mahu Perang Ukraine dihentikan dengan secepat mungkin. Demi perniagaan dan Make America Great Again Presiden Amerika ini mahu hubungan dengan Rusia dipulihkan.

Pada hemat saya bila sahaja Perang Ukraine ini tamat maka mata dan kepala Trump akan menuju Palestin. Niat dan cita-cita Trump untuk memindahkan semua warga Gaza ini akan menjadi agenda utama sekali lagi.

Apa yang sedang cuba dilakukan oleh Pemimpin Arab itu adalah niat baik. Tetapi hakikatnya pemimpin Arab ini adalah boneka Amerika. Selain dari menghebohkan 53 bilion dolar untuk Gaza pemimpin Arab ini mahu dua perkara dijalankan sama.

Pertama Gaza di tadbir oleh Penguasa Palestin a.k.a Mahmud Abbas dan PLO. Kedua Hamas memulangkan semua senjata dan menamatkan perjuangan bersenjata. Sebenarnya permintaan Liga Arab ini adalah projek asal Zionis.

Zionis Israel telah berjaya memandulkan PLO dan Al-Fatah yang kini bukan sahaja meninggalkan perjuangan bersenjata malah menjadi tali barut Mossad. Kaki tangan Al-Fatah kini ada yang menjadi mata-mata yang di bayar oleh Israel.

Kerenah Netanyahu melarang kemasukan bantuan adalah juga sebahagian dari strategi Israel untuk memerangkap Trump. Strategi ini dilihat berjaya.

Bila fasa dua gencatan senjata ini tertangguh Presiden Trump telah mengeluarkan apa yang disebutnya sebagai “amaran terakhir” kepada Hamas untuk membebaskan tebusan yang ditahan di Gaza.

“Saya menghantar kepada Israel segala yang diperlukan untuk menyelesaikan tugas itu, tidak seorang pun ahli Hamas akan selamat jika anda tidak melakukan seperti yang saya katakan,” kata Trump dalam catatan panjang di platform Truth Socialnya.

Ini ucapan merdu untuk telinga Netanyahu. Mengikut analisa Profesor Jeffrey Sachs semua ini menghala kepada rancangan Netanyahu yang mahu menjerut leher Amerika agar memerangi Iran.

Lihat sahaja kejayaan Netanyahu. Mesir telah dimandulkan. Iraq satu ketika dulu memiliki bala tentera yang kuat yang boleh menggantikan Mesir kini musnah. Libya di bawah Gadaffi kini menjadi negara gagal. Syria satu-satunya negara Arab yang teguh berjuang sebagai benteng belakang Palestin kini hancur.

Satu ketika dahulu semua gerakan pembebasan Palestin membuka pejabat di Damascus. Presiden Hafiz dan kemudian Bashar Al-Assad telah membenarkan semua kumpulan gerila Palestin beroperasi dari Syria. Kini Syria masuk dalam poket Israel.

Trump akan menjadi Maharaja selama empat tahun. Dari dua bulan yang kita baru lalui ini saya yakin projek Netanyahu untuk terus menjerut Amerika untuk memerangi Iran sedang berjalan.

Semuanya bergantung dengan apa yang akan terjadi di Ukraine. Jika Perang Ukraine tamat ini petanda baik. Amerika kini berbaik sangka dengan Rusia. Dasar luar Amerika berubah. Segala sekatan ke atas Rusia lupus.

Persoalannya apakah langkah Rusia – apa tindakan Rusia jika Netanyahu berjaya menjerut Amerika untuk memerangi Iran. Apakah Trump akan berfikir sebagai pemaju hartanah atau Trump akan di kepung oleh para Zionis Totok yang kini berada dalam kabinetnya. Amin. END

Oleh : Hishamudin Rais

Tulisan ini juga disiarkan di malayasiakini.com

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp