Perbezaan makhluk bernyawa ciptaan Tuhan yang tinggal di dalam rimba dan kita ialah akal dan fikiran. Di dalam rimba, yang lemah samada akan menjadi makanan yang kuat atau dihalau dari kawasan yang mempunyai sumber makanan.
Manusia juga mempunyai kecenderungan yang sama, yang kuat akan mengambil kesempatan ke atas yang lemah. Jika di zaman dahulu kala, yang lemah akan menjadi hamba kepada yang kuat.
Kerana itulah, manusia yang di kurniakan akal dan fikiran ini mencipta undang-undang. Tujuan undang-undang, diantaranya ialah untuk mengatur perlakuan manusia, memberi keadilan, melindungi mereka yang lemah dan juga memberi manusia satu perasaan hidup dalam selamat.
Kebelakangan ini, sedang kecoh berkenaan isu permohonan pengampunan diraja Datuk Seri Najib Tun Razak. Najib seorang pemimpin yang amat korup dan telah melakukan satu jenayah yang amat besar, melibatkan maruah negara dan bangsa.
Kes 1MDB melibatkan negara-negara seperti, Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong, Indonesia, Luxemberg, Seychelles, Singapura, Switherland dan UAE. Pada masa yang sama berpuluh-puluh syarikat dan individu menjadi suspek kes, yang mana 7 orang telah lari menghilangkan diri.
Najib tidak pernah memulangkan semua duit yang telah disalah guna, denda yang dikenakan sebanyak RM210 juta juga tidak dijelaskan lagi, tetapi sudah mahu memohon pengampunan, sedangkan negara perlu menjelaskan hutang 1MDB sehingga 2034.
Begitu juga dengan kes rasuah Dato’ seri Zahid Hamidi, seorang Kena Tuduh yang sedang menjalani kes dimahkamah dan di lantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Peguam Negara yang disambung perkhidmatannya untuk enam bulan lagi, setakat ini telah dua kali memberi arahan kepada penolong pendakwa raya untuk tidak membantah;
i. tuntutan untuk mendapatkan passport antarabangsa secara tetap supaya Zahid boleh bebas ke luar negara dan
ii. tidak membantah representasi untuk menggugurkan tuduhan yang dikemukakan.
Peguam negara dilantik oleh YDP Agong atas nasihat Perdana Menteri, dan sudah tentu dicadangkan oleh Menteri Undang-undang. Menteri Undang-undang dan Timbalan Perdana Menteri yang dituduh rasuah, bersama bekas perdana Menteri yang bersalah atas tuduhan rasuah dari Parti Politik yang sama, sementara Perdana Menteri sekarang berkuasa atas dokongan Parti tersebut.
Ditambah lagi, Lembaga Pengampunan di dibarisi oleh Peguam Negara, Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Perdana Menteri dan tiga lagi ahli yang akan dilantik YDP Agong.
Andai kata, kemungkinan, Lembaga Pengampunan yang sudah tentu diketuai oleh menteri paling senior, iaitu, Menteri Wilayah Persekutuan, memutuskan Najib layak diberi Pengampunan Diraja, beliau akan memaklumkan kepada Perdana Menteri yang juga dirinya sendiri, untuk menasihatkan YDP Agong tentang keputusan itu.
Pada masa yang sama, Peguam Negara tidak membantah untuk Kes rasuah Timbalan Perdana Menteri digugurkan. Maka kedua-dua Orang yang kena tuduh dan Orang yang bersalah ini akan dibebaskan.
Memetik kata-kata Presiden Badan Peguam Malaysia, Karen Cheah “Satu preseden merbahaya akan ditetapkan jika Pengampunan diraja diberikan, ia akan memperlihatkan bahawa mereka yang memegang jawatan eksekutif yang berkuasa pada masa lalu walaupun masih sedang mengahadapi tuduhan jenayah yang sama, adalah mengatasi Undang-undang”
Secara peribadi, jika ini semua menjadi kenyataan, akan menggambarkan bahawa kedaulatan undang-undang tidak lagi diendahkan, keputusan 12 orang hakim tidak dihormati. Keyakinan terhadap undang-undang akan terkikis. Maka jika Undang-undang sedia ada hanya mainan gurauan dan tiada nilai, guna sahaja undang-undang rimba.
Azman Mohd Hashim SM
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili malayadaily.com