TERKINI

Untuk Masa Depan Melayu, Pelajarilah Sejarah Melayu Masa Lalu

Sejarah Negara : fotredu1.blogspot.com

Kita sering di paparkan dengan kisah-kisah sejarah yang menceritakan tentang kehebatan Bangsa Eropah, dengan empayar kerajaan mereka yang hebat, begitu juga dengan kehebatan empayar Monggol, Dynasty kerajaan Cina purba dan India.

Bukan sahaja kisah-kisah sejarah yang hebat ini di paparkan melalui tulisan dan bacaan, Malah modal yang besar digunakan untuk menghasilkan filem-filem yang menarik dan menyeronokkan untuk ditonton, filem-filem yang menceritakan kehebatan bangsa mereka dengan satu paparan visual yang amat mengujakan. Kita juga akan terhibur untuk menonton filem-filem seperti ini.

Tetapi secara separa sedar, sebenarnya kita secara tak langsung mengagumi sejarah dan kehebatan Bangsa mereka. Sehingga sekiranya di minta memberi perbandingan tentang bangsa melayu dan mereka, sekelip mata secara senyap kita akan mengakui mereka lebih hebat.

Ini hanyalah sebahagian kecil, kenapa betapa pentingnya kita megambil tahu tentang sejarah sesuatu bangsa. Lebih-lebih lagi mengenai sejarah bangsa Melayu itu sendiri.

Sejarah ialah pengajian masa lampau, untuk memahami keadaan masa kini dan membolehkan kita merancang masa hadapan. Sebagai satu bangsa, sejarah akan membantu kita mengenali dan memahami kenapa Bangsa Melayu itu dan dunia disekilingnya seperti apa yang ada sekarang, ia mambantu kita mengenali identiti sebenar Bangsa kita.

Dengan pengetahuan sejarah, kita boleh mendapat inspirasi dan motivasi untuk merancang kejayaan masa depan Bangsa Melayu itu sendiri.

Sebagai contoh, kenapa Bangsa Yahudi bersikap atau menjadi seperti mana yang kita lihat hari ini? Kerana sejarah bangsa Yahudi ini amat tidak menyenangkan, sejarah Bangsa mereka adalah sejarah Bangsa yang terbuang, merempat di seluruh dunia, di tambah dengan sejarah kekejaman ke atas bangsa mereka yang berkurun-kurun lamanya, terkini ialah sewaktu perang dunia ke-dua oleh tentera Nazi Jerman.

Maka sikap dan tindakan mereka adalah hasil pengajaran dari sejarah mereka, sekarang mereka merampas Tanah Palestin, mereka menjadi bangsa hebat yang mampu hidup dikelilingi oleh musuh mereka yang beragama Islam.

Sejarah Bangsa Melayu tidak kurang hebatnya, Bumi Melayu yang juga di gelar Nusantara ini, telah menyaksikan sejarah beberapa kerajaan di tubuhkan dan di sertai juga beberapa empayar yang menguasai Nusantara, dengan keluasan tanah jajahan sejauh Vietnam di Utara sehingga kepulauan Riau termasuk pulau Sumatera.

Semenjak abad Pertama hingga kini, telah tertubuh kerajaan-kerajaan Melayu yang hebat seperti  Funan, Champa, Langkasuka, Kedah Tua, Gangga Negara, Srivijaya, Mataram, Majapahit dan beberapa lagi termasuklah Empayar Kerajaan Melayu Melaka.

Kehebatan kerajaan Bangsa Melayu ini di kukuhkan lagi dengan kisah, di mana tentera Monggol yang cuba menyerang Tanah Jawa, dilaporkan berlaku di sekitar tahun 1293, berjaya di patahkan oleh tentera kerajaan Majapahit.

Pada Millenia pertama, di bumi Nusantara ini terdapatnya satu Empayar Kerajaan Melayu yang besar dan hebat, iaitu Empaya Kerajaan Srivijaya, yang menguasai sebahagian Pulau Jawa, Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu membolehkannya mengawal laluan perdagangan utama di Selat Melaka, bahagian barat Laut Jawa, dan kemungkinan juga Teluk Thailand.

Kemudian di dalam Millenia Kedua, Empayar Kerajaan Melayu Melaka menguasai Wilayah yang sangatlah luas iaitu merangkumi keseluruhan semenanjung Tanah Melayu dan juga pantai timur Sumatera, Kesultanan Melaka turut menguasai Kepulauan Riau, Natuna dan semua pulau disekitarnya. Sekarang ini kita berada di Millenia ketiga, Tanah Nusantara telah di bahagi-bahagi kepada, Indonesia, Malaysia dan negara-negara jiran yang lain.

Jelas sejarah Bangsa Melayu bukanlah sebarangan. Kejatuhan Melaka pada 1511, mencatatkan kerajaan-kerajaan Melayu berjaya bertahan selama seribu lima ratus tahun di seluruh Nusantara. Empayar Kerajaan yang di bangunkan oleh Bangsa Melayu dan disegani dunia pada masa itu, sebagai penjaga satu laluan kapal perdagangan paling penting, iaitu Selat Melaka.

Seperti yang di bincang awal tadi. Melalui sejarah, kita dapat mengenali identiti bangsa kita, jelaslah Bangsa Melayu itu adalah satu Bangsa Yang hebat.

Pada masa yang sama, kita juga perlu mengambil pelajaran dari kesilapan yang pernah berlaku didalam sejarah.

Kita harus ambil pengajaran dari Kejatuhan Empayar Melayu Melaka ke tangan Portugis. Sejarah mencatatkan diantara penyumbang kepada kejatuhan kerajaan Melaka ialah ketamakan pemimpin-pemimpin ketika itu yang menyebabkan amalan rasuah berleluasa, begitu juga pengkhianatan kepada Bangsa, dua perkara ini adalah antara penyumbang utama kejatuhan Kerajaan hebat Melayu Melaka.

Jika kita membaca sejarah kejatuhan empayar Uthmaniah, kedua unsur ini jugalah antara penyumbang utama.

Cuba kita teliti apa yang sedang berlaku didalam negara kita sekarang ini, pemimpin-pemimpin Melayu yang bergelumang dengan rasuah, sehingga ada yang telah dipenjara. Malah, yang sedang menghadapi perbicaraan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa juga masih ramai. Kerja Khianat mengkhianati antara pemimpin juga berlaku.

George Santayana, seorang ahli falsafah dan penulis menyatakan pada 1905 dan diulangi oleh  Winston Churchill Perdana Menteri Britain “Mereka yang gagal mempelajari dari sejarah pasti akan mengulanginya” apa yang dimaksudkan ialah, jika kita gagal belajar dari kesilapan yang  lalu kita pasti akan melakukan kesilapan yang sama.

Setelah menguasai pemerintahan di atas Bumi Melayu ini melebihi seribu lima ratus tahun, kemudian Bumi Melayu telah di jajah selama lebih empat ratus tahun oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun.  Bumi Melayu ini akhirnya kembali kepada pemerintahan Orang Melayu pada tahun 1957.

Maka jika dihitung pada hari ini, Kerajaan Bangsa Melayu baru kembali berkuasa selama enam puluh enam tahun sahaja.

Dari sejarah, kita telah mengenali identiti sebenar Bangsa Melayu yang terbukti satu Bangsa yang hebat, maka Bangsa Melayu hari ini sepatutnya mempunya satu inspirasi dan motivasi untuk menjadi lebih hebat.

Namun sejarah juga mengajar kesilapan yang telah dilakukan oleh Bangsa Melayu sehingga menjadi punca jatuhnya Empayar Kerajaan Melaka. Tidakkah Bangsa Melayu hari ini belajar dari sejarah yang telah berlaku?  Jangan kegagalan kita menjadi pelajaran sejarah untuk generasi cicit kita di masa hadapan.

Azman Mohd Hashim SM

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp