BAHAGIAN 1
Mukadimah
Ucaptama ini, selari dengan objektif Simposium, bukan saja untuk mengiktiraf Tan Sri A Samad Ismail sebagai wartawan, cendekiawan awam, dan negarawan, tetapi juga untuk menyemak kembali naratif tokoh tersebut.
Selama ini, ramai yang menceritakan mengenai Samad adalah dari mereka yang mengenali beliau secara peribadi, sebagai rakan seperjuangan, rakan sekerja, sebagai anak didik beliau.
Apa yang diketahui ialah sosok Samad dari episod dan peristiwa peribadi, pengalaman mereka dengan Samad di New Straits Times atau Berita Harian. Mungkin klise yang biasa di dengar.
Saya ingin melihat Samad, serta pemikiran dan wawasan yang dibawanya dari sudut sejarah dan sosiologi, lalu menjurus kita memahami kewartawanan dan persuratkhabaran dalam masyarakat dan negara – khususnya masyarakat Melayu dan kepulauan Melayu, serta pertembungan, pertindihan dan interaksi kewartawanan dengan permodenan, penjajahan dan perubahan.
Institusi, budaya dan profesion kewartawanan jelas perlu didalami sebagai pencetus dan pengedar pemikiran, ideologi dan idealisme. Kesebatian institusi ini mesti dikaji semula dalam konteks masyarakat dan tamadun moden yang kita alami sekarang ini. Cerita Samad menukil satu contoh yang terbaik untuk maksud tersebut.
Melihat permasalahan ini, saya, bersama dengan rakan di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah mengambil inisiatif menganjurkan satu siri syarahan bertajuk ISTAC-IIUM Journalism, Reform and Society Lectures.
Syarahan pertama pada 29 November 2023 bertajuk “A Samad Ismail (1924-2008) and Haji Muhammad Said (1905-1995): Journalists, Public Intellectuals and Nationalists” disampaikan oleh Dr. Mehmet Ozay (ISTAC-IIUM) dan saya sendiri; manakala Syarahan kedua disampaikan oleh saya bertajuk “Early Ideas on Journalism and Reform in the Malay Archipelago: Notes from Hamka’s Ayahku,” pada 28 Disember 2023.
Simposium pada hari ini, kali ini dengan Kerjasama Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA ialah kesenimbungan dan sebahagian dari kegiatan siri syarahan tersebut.
Samad sebagai Cendekiawan Awam
A Samad Ismail, pada pandangan awam, adalah seorang tokoh wartawan dijalinkan dengan proses dan kegiatan politik; juga sebagai seorang sasterawan. Belasungkawa Tan Sri Abdul Samad Ismail 4 September 2008, menonjolkan pelbagai penghargaan dalam media arus perdana serta blog.
Ramai yang membuat rujukan sebagai ‘wartawan veteran’ (veteran journalist). Ada juga yang menyebut beliau sebagai ‘penulis prolifik’ (prolific writer), ‘’pejuang anti-kolonial (anti-colonial fighter), ‘aktivis politik’ (political activist), ‘sejarawan sosial dan pencerita’ (social historian and raconteur).
Apa yang hilang, tertinggal dari senarai tersebut ialah ialah istilah ‘intelektual/cendekiawan’ (intellectual). Tajuk penulisan oleh Balan Moses dalam New Straits Times: “Obituary – Tan Sri A Samad Ismail (1924-2008): the Thinking Man’s Editor’ hanya membayangi kelibat itu.
Kita mudah lupa. Memori sejarah semakin lentur dan pudar.
Dalam dasawarsa 1950an, Samad disebut sebagai “a young Malay intellectual.” Pada masa itu Samad ditemubual oleh penulis dan pengarang Amerika James A. Michener. Beliau ada editor Utusan Melayu. Dalam temubual itu, Michener mencatat tanggapannya ke atas Samad di bawah tajuk “The New Intellectual” (1952).
Pada masa itu, istilah ‘intelektual’ atau gelaran ‘intelektual Melayu’ tidak pernah digunakan. Rakan sekerja Samad di Utusan Melayu kemudian mula mengguna panggilan itu.
Ini jelas dari Usman Awang, yang bersama Samad di Utusan. Meminjam dari Usman yang dapat kita rumuskan sebagai intelektual/cendekiawan yang berjiwa rakyat, bukan cendekiawan yang berjiwa aristokrat.
Kenapa panggilan ‘intellectual’ (cendekiawan) tidak digunakan sebagai pengiktirafan kepada Samad adalah kerana perjalanan sejarah Malaysia, keadaan penjajahan, pengaruh Perang Dingin dan jalinan dengan elit-elit politik tertentu.
Samad terlibat dalam apa yang disifatkan sebagai politik kiri, dan ini dicemari oleh dakwaan sebagai ‘komunis.’
Perjuangan kemerdekaan dan pembinaan negara bangsa bertentangan dengan ketokohan Samad pada masa itu. Mungkin juga sehingga kini.
Tan Sri A Samad Ismail, yang diberi anugerah Tokoh Wartawan Negara pada tahun 1988, selain dari berfungsi sebagai seorang wartawan terulung dan terbilang, juga merupakan penulis kreatif, pejuang bahasa, aktivis politik nationalis, negarawan, dan cendekiawan awam.
Beliau juga terlibat pejuang-pejuang penentang penjajahan Belanda dalam pembekalan senjata dalam perjuangan kemerdekaan Indonesia tahun 1940an.
Samad ditangkap sebanyak tiga kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan oleh pihak penjajah British sejurus tamat Perang Dunia Kedua, salah satunya pada tahun 1951 dan kemudian oleh Kerajaan Malaysia dalam tahun 1970an, dan akhirnya dibebaskan pada tahun 1981, setelah dipenjara selama lima tahun.
Samad juga merupakan ahli pengasas Gerakan Angkatan Muda (Geram), People’s Action Party (PAP), dan Persatuan Penulis Nasional (PENA). Bagi mengiktiraf perjuangan Samad dalam ruang kesusasteraan dan kewartawanan, Samad dianugerahkan gelaran Pejuang Sastera oleh Kerajaan Malaysia.
Samad menulis 11 buah novel, lebih dari 50 buah cerpen, dan beratus, mungkin ribuan komentar dan esei mengenai budaya, persuratkhabaran dan kewartwanan, seni, kesusasteraan dan politik.
Namun, seperti yang disebut oleh seorang lagi Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar, Samad adalah penulis kreatif yang amat kurang diraikan dalam negara – beliau tidak pernah memenangi Hadiah Karya Sastera yang bermula pada tahun 1971, atau penerima anugerah Sasterawan Negara.
Beliau hanyalah penerima yang pertama, dan terakhir Anugerah ‘Pejuang Sastera’ pada bulan May 1976.
Dengan memberi Samad anugerah itu, Kerajaan nampaknya memperakui sumbangan beliau kepada kesusasteraan. Tiga minggu kemudian, beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, dan seterusnya dipaksa mengaku bahawa beliau adalah seorang Komunis.
Pada masa itu saya merupakan pelajar kewartawanan di Kajian Sebaran Am, Institut Teknologi MARA. Saya masih ingat pengakuan beliau di peti kaca televisyen.
Sebagai aktivis politik, mungkin tidak banyak yang dapat diketahui mengenai penglibatan beliau dengan PAP yang diasaskan bersama dengan Lee Kuan Yew, dan beberapa tokoh lagi.
Samad tidak menjawab, dan membiarkannya tidak dijawab, dua soalan yang saya tanya pada tahun 1990an – soalan pertama, mengapa beliau ditahan kali pertama dan kali ketiga; dan kedua, mengapa beliau di’pindahkan’ ke Jakarta pada tahun 1957.
Soalan-soalan tersebut ditanya semasa saya sedang memandu beliau ke rumahnya Petaling Jaya dari Jalan Pahang, Setapak. Pada masa itu, kami diminta mengendalikan kursus kewartawanan untuk penerbitan sebuah suratkhabar yang sedang mula dikelolakan sebagai organ sebuah parti politik.
Topik-topik yang diajar masa itu ialah penulisan dan pemberitaan, dan penulis pendapat/komentar. Juga dari tahun 1986 hingga 1990an, saya sering mengundang wartawan dan editor suratkhabar sebagai pensyarah jemputan untuk beberapa kursus kewartawanan di ITM.
Antara mereka ialah Pak Samad. Dan ketika itulah saya telah menanya beberapa soalan yang nampaknya tidak disenangi oleh beliau.
Banyak aspek kehidupan Samad tidak diketahui. Beliau adalah cendekiawan awam yang kompleks. Dalam Prakata Memoir A Samad Ismail di Singapura (1993), Samad menulis:
Bagaimana pula saya harus menulis mengenai diri saya? Sekiranya saya gak membesarkan peranan saya, sebagai wartawan atau sebagai pejuang politik, atau sebagai budayawan, maka barangkali ada pula yang menuduh saya takbur, angkuh dan sombong.
Kalau saya kurang menceritakan hal diri saya, maka saya tidak berlaku adil pada diri saya sendiri. Selain itu, ada pula hal-hal yang terlalu pahit mengenai perjuangan saya dan beberapa teman yang barangkali tidak dapat saya ceritakan (A. Samad Ismail, 1993).
– Bersambung.
Oleh : Ahmad Murad Merican, Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, (ISTAC-IIUM), Kuala Lumpur [Ucaptama pada Simposium Memperingati Tan Sri A Samad Ismail: Wartawan, Cendekiawan Awam, Negarawan, anjuran Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC-IIUM), bersama Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, 15 January 2024.]