TERKINI

Al-Imam (Siri 10)

Abdullah bin Haji Jaafar
Perjuangannya /8

Majalah Al-Imam – foto arkib

Kepada Al-Imam, peristiwa 1905 itu bolehlah dijadikan ilham oleh orang Melayu untuk membentuk sikap baru terhadap hidup dan terhadap layanan-layanan dari pihak British.

Telah tibalah masanya bagi orang Melayu bersuara kepada pemerintah British dan Melayu. Secara lembut dan tidak langsung Al-Imam telah mengkritik sistem ekonomi British dan kapitalis Barat yang bersifat menekan dan memeras serta menindas rakyat tempatan.

Dikatakannya bahawa dalam lapangan ekonomi, Jepun telah dapat menandingi Barat iaitu dengan mengeluarkan pelbagai jenis barang untuk kegunaan bangsa-bangsa tempatan. Lagipun barang-barang Jepun itu jauh lebih murah, walhal barang-barang Eropah semakin hari semakin bertambah mahal.48

Sebab itulah pasaran barang-barang Eropah itu semakin berkurangan oleh adanya barang-barang dari Jepun. Bukan setakat itu, orang Jepun itu sendiri setengah-setengahnya datang ke tanah jajahan ini dan kedatangan mereka telah disambut dan diterima baik oleh orang tempatan – lebih baik daripada sambutan yang diberikan kepada orang Barat.

Satu kecaman yang hampir serupa telah ditujukan kepada kerajaan Amerika Syarikat. Di Amerika orang kulit putih telah membenci dan memandang rendah akan tukang-tukang dan arkitek-arkitek bangsa Jepun padahal kepandaian mereka adalah serupa sahaja.

Secara halus Al-Imam telah mengkritik sikap prasangka dan dasar diskriminasi orang Barat terhadap orang Timur, dan juga dasar penindasan ekonomi Barat ke atas rakyat tanah jajahan.

Atas perkembangan baru yang timbul pada awal abad ke-20 ini maka Al-Imam telah menyuarakan amarannya kepada kuasa-kuasa Barat supaya “menaruh tilik yang halus dan fikiran yang sempurna di atas hakikat dan pekerjaan yang tersebut itu”49 dan “menaruh ingat pada segala pekerjaan yang telah diperbuatkan pada masa yang dahulu-dahulu; daripada kekerasan itu mahu diubahkan  sekarang ini mengikut bagi masa dan ketika.”50

Di Tanah Melayu ini, walupun pihak pemerintah British telah menolong dalam bidang pentadbiran dan pembangunan tetapi sebenarnya penjajahannya itu “…tiada sunyi daripada maharajalela,”51 dijadikannya orang besar tempatan titian bagi menindas rakyat dan “orang-orang besar kita menggandakan lagi daripada suruhnya yang di atas hingga himpit-menghimpit dari atas ke bawah hingga sampai kepada rakyat maka rakyatlah yang menanggung segala tindas itu…”52

Rakyat yang tertindas ini sebenarnya hasukan pimpinan untuk membebaskan diri daripada belengu itu, tetapi tidak ada golongan yang muncul untuk menjamin dan melindungi hidup mereka. Oleh yang demikian maka Al-Imam telah tampil ke muka dengan harapan untuk menyelamatkan mereka – orang Islam seluruhnya.

Dari sejak mula berkembangnya pelajaran di negeri ini maka daya pemikiran setengah-setengah golongan sudah mula meningkat maju.

Kalaupun peringkat kemajuan atau kecekapan itu belum dapat menyamai kemajuan bangsa asing di negeri ini, namun “anak bumiputera yang bernama Kaum Muda”53 telah dapat membezakan antara emas dengan bara dan oleh itu telah timbul rasa kasihkan anak bangsa dan semangat untuk membela mereka yang tinggal terbiar itu.

48 Ibid, hlm. 319

49 Ibid, hlm, 320

50 Ibid

51 Al-Imam, 9 September 1907, hlm 85

52 Ibid

53 Ibid, hlm. 86

Facebook
Twitter
WhatsApp