TERKINI

Bagaimana Orang Melayu Bersatu Menjatuhkan Malayan Union

Foto – Arkib Negara

Ramai orang muda hari ini mungkin pernah dengar nama Malayan Union dalam buku teks sejarah, tapi tak ramai betul-betul faham kenapa orang Melayu marah sangat pada rancangan British ini.

Sebenarnya, inilah titik penting yang menyatukan orang Melayu, sehingga buat pertama kalinya mereka bangkit sebagai satu kuasa politik yang padu.

Apa Itu Malayan Union?

Selepas Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua, British kembali ke Tanah Melayu. Tapi kali ini mereka datang dengan idea baru – Malayan Union – dilancarkan pada 1 April 1946.

Tujuannya nampak baik pada kertas, iaitu:

  1. Nak satukan semua negeri-negeri Melayu di bawah satu pentadbiran.
  2. Nak permudahkan syarat jadi warganegara, siapa lahir di Tanah Melayu boleh dapat kerakyatan.
  3. British juga nak kurangkan kuasa Raja-Raja Melayu, mereka cadangkan hanya kekal simbol adat dan agama.

Tapi bagi orang Melayu, cadangan Malayan Union ini bukanlah satu bentuk kebebasan dan kemajuan, sebaliknya ancaman besar kepada bangsa ini.

Imbas semula, kenapa orang Melayu marah?

Secara mudahnya, orang Melayu pada masa itu sangat marah bila Raja-Raja Melayu dipinggirkan. Sultan-sultan dipaksa tandatangan perjanjian tanpa faham apa kesannya kepada Tanah Melayu dan orang Melayu.

Orang Melayu anggap ini satu penghinaan. Kerana Sultan adalah simbol kedaulatan bangsa Melayu. Sultan tanpa kuasa, akan menyebabkan bangsa ini ditindas dari segi kuasa politik.

Perkara kedua yang membuatkan orang Melayu marah adalah kerana British nak perkenalkan sistem Jus soli – iaitu memberi kerakyatan automatik kepada kaum pendatang.

Dengan syarat longgar ini, imigran yang baru datang pun boleh jadi warganegara tanpa syarat. Orang Melayu risau kerana akhirnya mereka jadi minoriti politik di tanah sendiri.

Ketiga, orang Melayu marah kerana kedaulatan tanah air akan hilang. Semua kuasa pentadbiran dan politik diserahkan seluruhnya kepada pegawai British. Orang Melayu rasa tanah air mereka sedang “dirampas” secara paksa menerusi perjanjian (politik).

Dari situasi inilah, orang Melayu sedar, inilah masa yang tepat untuk bersatu dan mengenepikan perbezaan suku, daerah dan kenegerian.

Di sinilah bermulanya detik kebangkitan politik Melayu. Untuk pertama kali, orang Melayu dari pelbagai negeri, pelbagai latar belakang, bangun dan bersatu padu.

Maka, berlakulah demonstrasi besar-besaran. Puluhan ribu orang turun ke jalan, menunjukkan bantahan terhadap Malayan Union.

Akhbar (Media) Melayu seperti Utusan Melayu dan penulis seperti Za’ba, telah menulis untuk meniup semangat nasionalisme agar orang Melayu bangkit dan bersatu.

Hasilnya, rakyat dan pemimpin Melayu berjaya meyakinkan Raja-Raja. Sultan-sultan telah menolak hadir ke majlis rasmi British sebagai tanda protes. Maka British gagal mendapatkan tandatangan dan persetujuan Raja-Raja Melayu.

Atas penyatuan orang Melayu, maka UMNO ditubuhkan (1946), Dato’ Onn Jaafar berjaya satukan ratusan persatuan Melayu di bawah satu panji.

Gabungan “kuasa rakyat + media + + persatuan + organisasi politik” menjadikan bantahan ini sangat kuat. Akhirnya British Mengalah.

Hanya dua tahun selepas diperkenalkan, Malayan Union dibubarkan pada 1948. British terpaksa ganti dengan Persekutuan Tanah Melayu, yang mengembalikan kuasa Raja-Raja Melayu dan meletakkan semula kedudukan istimewa orang Melayu.

Inilah kemenangan politik terbesar orang Melayu sebelum merdeka. Ia juga membuka jalan kepada kemerdekaan pada 1957. Kerana perjuangan inilah, Malaysia kini maju dan dihormati oleh dunia.

Apa kita belajar dari sejarah, hari ini?

Penentangan Malayan Union membuktikan satu perkara penting, iaitu apabila orang Melayu bersatu, mereka mampu menggugat kuasa besar seperti Empayar British.

Tapi ia juga menunjukkan penyatuan itu datang bila ada ancaman bersama. Soalnya, dalam politik hari ini – adakah orang Melayu masih mampu bersatu seperti 1946, atau sudah terpecah kerana parti dan kepentingan masing-masing?

Jadi, Malayan Union bukan sekadar bab dalam buku teks. Ia sebenarnya kisah bagaimana orang Melayu belajar erti kuasa politik dan solidariti – satu detik yang mengubah sejarah negara kita.

Ambillah iktibar ini.

Facebook
Twitter
WhatsApp