TERKINI

Kebangkitan Anti-British Di Semenanjung Tanah Melayu – Bah. 3

Abdullah Zakaria b. Ghazali

British Di Perak

foto horz-saifudin-mtb

Tentangan yang dilakukan oleh orang Melayu di Perak berlaku setelah British campur tangan dalam pentadbiran negeri. Selang beberapa bulan selepas termeterinya Perjanjian Pangkor (20 Januari 1874), iaitu pada bulan November 1874 J.W.W Birch dilantik menjadi Residen British yang pertama di Perak. Tidak beberapa lama selepas berada di Perak, J.W.W Birch mengisytiharkan rancangan-rancangannya untuk menubuhkan pusat pemungutan cukai yang akan diletakkan di bawah kawalan pegawai British. Selain daripada itu cukai-cukai pajak candu, arak, judi, permit balak, cukai perahu, senjata, padi dan memotong atap akan disusun semula.

Pengisytiharan juga dibuat mengenakan hukuman ke atas mereka yang memungut cukai, kecuali pegawai-pegawai yang dilantik. Ini bermakna pembesar-pembesar Perak tidak boleh memungut cukai lagi. Jelas sekali bahawa pengenalan ini bercanggah dengan nilai-nilai tradisi, di mana sebelumnya pembesar-pembesar Perak bebas memungut cukai dan cukai ini merupakan sumber pendapatan mereka. J.W.W Birch juga telah membatalkan pajakan ke atas Kuala Sungai Perak yang dibuat oleh Sultan Abdullah kepada seorang saudagar Cina. 9 Tindakan J.W.W. Birch menyinggung perasaan Sultan Abdullah yang mempunyai kuasa dan kewibawaan di Perak.

Malah lebih daripada itu, J.W.W. Birch melibatkan diridalam soal adat orang Melayu iaitu perhambaan. Dikatakan J.W.W. Birch cuba menghapuskan perhambaan di Perak, tetapi hakikatnya masih diragukan,kerana pernah ada suatu masa beliau telah membawa seorang perempuan Melayu berpakaian Cina ke Pulau Pangkor. Selain daripada itu apa yang paling menarik lagi, kebanyakan daripada hamba-hamba itu adalah wanita. Tambahan pula J.W.W. Birch bukan berseorangan di residensinya di Bandar Baru. Beliau ditemani oleh pengawal-pengawal lain.

Selain daripada itu J.W.W Birch boleh dikatakan seringkali mendesak dan mengugut Sultan Abdullah supaya menandatangani surat pengisytiharan. Walaupun Sultan Abdullah pada awalnya menolak tetapi akhirnya beliau menandatangani surat pengisytiharan itu kerana J.W.W Birch pernah mengugut bahawa takhta kerajaan Perak akan diserahkan kepada Raja Yusof sekiranya beliau tidak menandatangani surat pengisytiharan.10 Selain daripada itu J.W.W Birch pernah mengarahkan orang-orangnya membakar rumah Raja Ngah di Bidor kerana beliau memungut cukai.

Langkah-langkah yang dilakukan oleh J.W.W Birch ini meyakinkan Sultan Abdullah dan pembesar-pembesar Perak bahawa kedatangan pegawai-pegawai British dalam pentadbiran bukan hendak menasihati tetapi hendak merampas kekuasaan dan kewibawaan mereka. Menyedari perkara inilah Sultan Abdullah yang sebelum ini bertelagah dengan Raja Ismail telah berbaik-baik semula dengan bekas Sultan itu. Ini dapat dibuktikan oleh hakikat bahawa sebelum beliau dan J.W.W Birch hendak ke rumah Raja Ismail untuk mengambil alat-alat kebesaran Perak, terlebih dahulu Sultan Abdullah telah menghantar utusan kepada Raja Ismail dan menegaskan supaya jangan menyerahkan alat-alat kebesaran itu. Begitu juga dengan Maharaja Lela telah membina kubu pertahanan di Pasir Salak, dan akan menentang sebarang kemungkinan percubaan British memperkenalkan peraturan-peratuaran baru dalam Kawasan beliau.

Dengan itu Raja Abdullah, Raja Ismail, Datuk Maharaja Lela dan Datuk Sagor, setelah bermesyuarat beberapa kali, telah mengambil keputusan akan membunuh J.W.W Birch. Tugas membunuh J.W.W Birch ini diserahkan kepada Datuk Mahara Lela. Oleh itu apabila J.W.W Birch tiba di Pasir Salak untuk menampalkan pengisytiharan tentang pungutuan cukai, beliau telah dibunuh pada 2 November 1875.

Setelah pembunuhan ini pasukan polis British dihantar ke Perak untuk menangkap mereka yang terlibat. Seputum telah ditangkap, dibicarakan dan dihukum gantung di Bandar Baru pada Mei 1876. Datuk Maharaja Lela, Ngah Jabor dan Pandak Endut datang menyerah diri. Mereka dibicarakan dan dihukum gantung pada 20 Februari 1877 di Matang. Raja Ismail dibuang negeri je Johor dan menetap di Sekudai manakala Raja Abdullah, Laksmana, Menteri dan Syahbandar dibuang ke Pulau Seychelles.

Bersambung

9 C.D. Cowam, Tanah melayu Kurun Kesembilan Belas, Dewab Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 1970, hlm. 302.

10 Ibid. hlm. 315

* Penulis adalah seorang pensyarah di Jabatan Sejarah Universiti Malaya

Facebook
Twitter
WhatsApp