TERKINI

Kebangkitan Anti-British Di Semenanjung Tanah Melayu – Bah 6

Abdullah Zakaria b. Ghazali

British di Kelantan

Foto public domain

Di Kelantan, apabila termeterinya persetiaan Siam-British pada tahun 1902, seorang British, W.A. Graham, dilantik menjadi Penasihat di Kelantan pada tahun 1903. Tugasnya menasihat dalam semua perkara kecuali agama Islam dan adat istiadat Melayu.17

W.A. Graham kemudiannya mengesyorkan di dalam Majlis Negeri supaya dibentuk jajahan di Kelantan. Berikutan dari ini, jajahan Pasir Puteh diwujudkan dan seorang Pegawai Daerah dilantik serta berkuasa dalam hal-hal pentadbiran dan kehakiman di Pasir Puteh.

Dengan itu bermakna kuasa tradisi Engku Besar Jeram yang sebelum ini berkuasa di Jeram dan Pasir Pueth tidak berfungsi lagi. Selain daripada itu juga diperkenalkan peraturan baru dimana tiap-tiap satu penjuru tanah iaitu bersamaan dengan 400 depa persegi dikenakan cukai tiga kupang setahun.

Kemerosotan kedudukan Engku Besar Jeram ini ketara sekali, di mana di bawah sistem pentadbiran baru, Che Andak hanya sebagai Tok Kweng (Penghulu) sahaja. Tok Kweng ini pula bertanggungjawab kepad aPegawai daerah manakla Tun Ahmad, iaitu Engku Besar Jeram pada masa Kebangkitan Pasir Puteh berlaku, hanya memegang jawatan sebagai Tok Kweng Muda.

Jawatan Tok Kweng Muda ini jelas lebih rendah daripada jawatan Tok Kweng. Juga, Tun Ahmad, malah sebelum ini Che Andak, diwajibkan membayar cukai.

Ini bercanggah dengan sistem tradisi di mana sebelum campur tangan British dan pembukaan Pasir Puteh, Engku Besar Jeram terkecuali daripada membayar cukai, malah berkuasa memungut cukai.

Ekoran daripada ini Tun Ahmad berbincang dengan Tok Janggut (Haji Mat Hassan) dan menggalakkan Tok Janggut menjalankan kempen menentang pengenalan unsur-unsur baru itu. Tok Janggut pula dalam usahanya ini mendapat bantuan daripada Haji Said, Penghulu Adam dan Ishak Merbul.

Pada tahun 1905 diperkenalkan undang-undang hasil padi di mana setiap penduduk dimestikan melaporkan kepada Tok Kweng jumlah keluasan sawah padi yang dimiliki dan kedudukan tanah itu.

Dengan ini bermakna orang-orang Pasir Puteh tidak boleh lagi mengelakkan diri daripada cukai kerana jumlah keluasan tanah mereka didaftarkan. Kemudiannya suatu sistem cukai baru diperkenalkan lagi di Pasir Puteh.

Sistem cukai ini berbeza sekali dengan sistem cukai yang dijalankan sebelum ini. Sistem cukai ini kemudiannya mendatangkan masalah dan beban kepada petani-petani di Pasir Puteh. Melalui sistem cukai baru ini semua tanah, sama ada dikerjakan atau tidak, dimestikan membayar cukai. Selain daripada itu cukai-cukai ditetapkan ke atas perkara-perkara tertentu. Misalnya sirih dikenakan lima sen sejunjung, lembu dan kerbau dikenakan 20 sen seekor setahun.18

Sebelum perlaksanaan sistem cukai baru ini, kutipan cukai di Pasir Puteh didasarkan kepada jumlah keluaran.

Sekiranya hasil keluaran banyak, maka tinggilah cukai yang dikenakan. Sekiranya hasil tanaman sedikit, maka rendahlah cukai yang dikenakan. Seterusnya jika tanah tidak dikerjakan, dikecualikan daripada cukai.

Selain daripada itu Kebangkitan Pasir Puteh juga disebabkan adanya kekasaran yang dilakukan oleh pegawai-pegawai yang bertugas. Orang-orang yang tidak membayar cukai ditanhkap dan didenda.  Kadangkala mereka ini dimaki hamun.

Kata-kata kesat ini sesungguhnya menyakiti mereka yang terlibat dan menyebabkan mereka benci kepada British. Dengan sebab itulah apabila Tok Janggut, Penghulu Adam, Haji Said dan Che Ishak menjalankan kempen supaya jangan membayar hasil atau cukai dan mengiut peraturan baru, orang kebanyakan turut sertam memberi sokongan.

Tentangan terbuka bermula pada tahuan 1915 apabila Encik Latif, Pegawai Daerah, menghantar Sarjan Che Wan menangkap Tok Janggut.

Dalam pertemuan ini berlaku pertengkaran di antara Tok Janggut dengan Sarjan Che Wan, dan menyebabkan Tok Janggut menikam mati Sarjan Che Wan. Encik Latif telah menghantar beberapa orang mata-mata untuk menangkap Tok Janggut yang telah membunuh Sarjan Che Wan itu, tetapi di pertengahan jalan mata-mata ini dinasihatkan pulang kerana Angkatan Tok Janggut sedang mara ke Pasir Puteh.

Memandangkan keadaan ini, Encik Latif dan kakitangan lain menyelamatkan diri ke Kota Bharu denga perahu besar melalui Kuala Semerak. Tok Janggut menduduki bandar Pasir Puteh19 dan tinggal disini selama tiga hari.

Di sini Engku Besar Jeram dilantik sebagai Pemerintah Pasir Puteh. Setelah tiga hari berada di Pasir Puteh, Tok Janggut dan angkatannya mengundurkan diri.

Penasihat British kemudiannya meminta bantuan dari Singapura. Setelah angkatan tiba, ia pun marake Pasir Puteh.

Pertempuran akhirnya berlaku di Kampung Dalam Pupuh dan Tok Janggut terkorban. Mayatnya dibawa ke Kota Bharu, diarak serta disaitkan dan ditanam di Pasir Pekan.

17 Ibrahim Nik Mahmood, The To’ Janggut Rebellion of 1915’, dalam W.R. Roff (ed.) Kelantan Religion Society and Politics in Malay State, Kuala Lumpur, 1974, hlm. 68.

18 Haji Abdullah Amiran, Riwayat Hidup Tok Janggut, (jawi) Sinaran Bros. Ltd. Penang, 1957, hlm 8

* Penulis adalah seorang pensyarah di Jabatan Sejarah Universiti Malaya

Facebook
Twitter
WhatsApp