TERKINI

Memoir Khatijah Sidek : Bah 2

Puteri Kesateria Bangsa

PEJUANG KEMERDEKAAN

foto – buku Memoir Khatijah Sidek

Sebagai seorang pejuang kemerdekaan, Khatijah Sidek berpegang teguh pada kesatuan rumpun bangsa Melayu di Nusantara. Ini bermakna beliau seia dan sekata dengan pejuang kebangsaan lain, khususnya pejuang kiri 1940an di Semenanjung, yang memegang kuat falsafah biduk lalu kiambang bertaut pada zaman selepas tamatnya penjajahan di rantau ini. Falsafah itu menekankan bahawa selepas Inggeris dan Belanda balik negeri, Dunia Melayu haruslah bersatu semula di bawah konsep Melayu Raya4.

Walau bagaimanapun, matlamat utamanya adalah untuk mendapatkan kemerdekaan terlebih dahulu bagi rakyat Persekutuan. Bagi beliau, kemerdekaan harus diperjuangkan bukan sahaja oleh segenap lapisan masyarakat, tetapi juga oleh semua kaum yang ada di sini.

Ternyata, dalam perjuangan kemerdekaan tempatan, beliau menerapkan konsep bineka tunggal ika atau ‘kesatuan dalam kepelbagaian’ yang menjadi slogan kemerdekaan Indonesia. Seterusnya, beliau juga kelihatan dari mula lagi tidak pernah meragui hakikat bahawa teras identiti kebangsaan negara atau rantau ini ialah Melayu. Dengan itu juga, sejak awal, beliau tertarik dengan pimpinan pejuang kebangsaan kiri Melayu seperti Dr. Burhanuddin al-Helmi, Ishak Hj. Muhammad dan Shamsiah Fakeh5.

Dalam politik kebangsaan Malaya, Khatijah Sidek pertama sekali telah diperkenalkan kepada pucuk pimpinan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO (United Malays National Organisation), PKMM (Partai Kebangsaan Melayu Malaya), API (Angkatan Pemuda Insaf) dan Kesatuan Melayu Johor. Simpati politik beliau memihak kepada pertubuhan nasionalis kiri, PKMM dan API. Bagaimanapun, kedua-duanya telah tumpas pada awal tindakan Darurat pemerintah Inggeris (1948-60)6.

Berikutan operasi yang berkaitan, beliau sendiri telah menderita sebagai tahanan politik tanpa bicara antara 1948 sehingga awal 1950 di Penjara Outram Road, Singapura7. Beliau dituduh sebagai komunis, bersubahat untuk menjatuhkan Inggeris di Singapura dan menyeludup emas serta senjata ke Indonesia. Tuduhan ini tidak pernah dibuktikan dan akhirnya, beliau dibebaskan. Walaupun dibebaskan, beliau dibuang negeri dari Singapura dan tidak dibenarkan masuk semula ke pulau itu selama 10 tahun, iaitu dari 1950 hingga 19608.

Di Johor Bahru, Khatijah Sidek tidak juga menghentikan kegiatan politiknya. Beliau bersetuju menyertai Persatuan Melayu Semenanjung yang berjuang untuk kemerdekaan. Pada 1951, beliau dilantik menjadi presiden bahagian wanitanya. Bagaimanapun, penglibatan ini hanya untuk seketika kerana pucuk pimpinan persatuan yang lemah.

Pada 1953 pula, beliau menyertai UMNO melalui cawangan Johor Bahru. Walau bagaimanapun, semenjak awal lagi, kehadirannya dalam UMNO tidak diterima sepenuhnya. Tentangan terhadap kehadiran beliau berpunca daripada golongan konservatif dalam UMNO yang menganggapnya kiri, radikal dan “orang luar”.

Beliau hanya dapat mengekalkan kedudukannya kerana sokongan pemimpin Kaum Ibu UMNO pada waktu itu. Ibu Hajjah Zain, serta YTM Tunku Abdul Rahman Putera, yang menjadi Presiden UMNO selepas Dato’ Onn Jaafar. Antara 1953—56, beliau menjadi tokoh pemimpin UMNO Malaysia di peringkat nasional sebagai Ketua Penerangan Kaum Ibu, Setiausaha Hal Ehwal Kaum Ibu, Pemangku Ketua Kaum Ibu, Ketua Kaum Ibu UMNO, dan wakil tunggal Wanita dalam Jawatankuasa kerja Tertinggi UMNO Malaysia9.

Jika ada pihak dalam UMNO yang tidak menyenangi kehadirannya, Khatijah Sidek juga mempunyai beberapa pandangan yang negatif tentang UMNO dan pemimpin UMNO tertentu. Kedua-dua pandangan yang bertentangan ini membibitkan punca yang akhirnya menyebabkan pemecatan beliau daripada UMNO pada 1956.

Dari mula lagi beliau secara terbuka mengkritik pendirian sederhana UMNO, khususnya pemimpinnya yang, pada beliau, takut melaungkan ‘merdeka’, apatah lagi berjuang terang-terangan. Perkataan ‘merdeka’ itu sendiri, menurut beliau, telah dilembutkan dan dipanjangkan menjadi ‘merde-he-ka’10. Beliau menganggap ini sebagai cabaran perjuangan dan menjadikannya agenda peribadi beliau untuk bertindak sebagai aktivis yang memberikan kesedaran kemerdekaan serta menerangkan makna merdeka kepada masyarakat, khususnya kepada golongan wanita dan belia.

Cara yang beliau gunakan sejajar dengan pengalaman beliau ketika menubuh serta memajukan Puteri Kesateria di Indonesia dahulu. Beliau menumpukan seluruh tenaga, usaha dan perhatian ke arah mendekati rakyat jelata dan menerangkan peranan UMNO menuntut kemerdekaan serta mempopularkan Hasrat merdeka di kalangan mereka.

Bersambung…

Penerbit : UKM

4 Firdaus Haji Abdullah. 1985. Radical Malay Politics. Its Origin and Early Development. Kuala Lumpur: Pelanduk Publications, hlm. 52.

5 Untuk keterangan umum mengenai gerakan yang dipimpin mereka, lihat Firdaus Haji Abdullah 1985. Bab 4: Radical Nationalism: Its Postwar Manifestations, hlm 73-103

6 Undang-undang Darurat dikuatkuasakan pada 23 Julai 1948 setelah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan pada 5 Julai 1948. Saliha Hj. Hassan, “Dr. Burhanuddin al-Helmi, 1911-1969”, Jebat Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia, No. 14, 1986, hlm.166

7 Beliau melahirkan anak sulungnya semasa dalam tahanan ini. Anak itu beliau namakan Khadria Taswim Malahayati mengambil sempena sejarah perjuangan yang dilaluinya setakat itu. Khad- Ialah awal Namanya sendiri, iaitu Khatijah; –ria ialah akhiran Puteri Kesateria, gerakan paramiliter yang dipimpinnya; Ta- tahanan; s- Singapura; wim- pertubuhan HIMWIM di Singapura; dan Malahayati bermakna semangat daripada ayahnya, Dr. Hamzah, orang Malaya. (Fail Khatijah Sidek. Temu bual 22 November 1976, Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur)

8 Khatijah Sidek, bagaimanapun, menyatakan bahawa beliau sendiri tidak pernah menerima apa-apa dokumen rasmi mengenai hukuman ini.

9 Fail Khatijah Sidek. Temu bual oleh Arkib Negara Malaysia, 8 Disember 1976. Lihat juga Abdullah Zakaria et al.,Malaysia: Tokoh Dulu dan Kini. (Kuala Lumpur: Institut Pengajian Tinggi, Universiti Malaya & New Straits Times, tiada Tarikh, hlm 153.

10 Lihat bab 9 buku Memoir Khatijah Sidek.

Facebook
Twitter
WhatsApp