TERKINI

Memoir Khatijah Sidek Bah. 3

Puteri Kesateria Bangsa

PEMBELA WANITA

foto buku Memoir Khatijah Sidek

Seiring dengan perjuangan kemerdekaan, Khatijah Sidek juga menumpukan daya dan kebijaksanaan kepimpinannya untuk membangkitkan serta mempertingkatkan kesedaran sosial dan politik kaum wanita.

Beliau melakukan ini melalui inisiatif serta kesungguhannya mencetuskan minat terhadap kemajuan peribadi dan rumahtangga daripada segi kesihatan serta pengurusan rumah tangga bagi kaum wanita disegenap pelosok tanah air yang sempat beliau singgahi dalam rangka agenda beliau sebagai pemimpin wanita.

Beliau menggalakkan kaum Wanita mengadakan bengkel dan kelas bimbingan di tempat masing-masing. Kemahiran asas yang dipelajari, seperti kraftangan dan sebagainya, digalakkannya supaya dijadikan, bukan sahaja punca pendapatan peribadi tetapi juga sebagai punca pendapatan bagi organisasi atau parti politik yang mereka anggotai.

Dengan itu, sekaligus, beliau dapat menyebarkan matlamat politik kebangsaan yang didukungnya sambil menangani matlamat peningkatan kesedaran serta penglibatan wanita dalam aktiviti masyarakat secara lebih bermakna. Aspek terakhir itu, bagi beliau, akan mengangkatkan kedudukan wanita dalam masyarakat kolonial dan tradisional supaya lebih sejajar dengan hal dan sumbangan mereka yang sebenar dalam masyarakat.

Organisasi politik pertama yang beliau asas dan pimpin untuk wanita ialah Semangat Bunda, di Binjai, Sumatera Utara, semasa beliau bertugas sebagai guru di sana. Penubuhannya pada 1938 dan perasmiannya pada 21 April, mengambil sempena tarikh lahir Raden Adjing Kartini, tokoh pejuang kebebasan wanita Indonesia.

Bagaimanapun, disebabkan kegiatan ini, pada tahun berikutnya beliau ditukarkan ke daerah pedalaman yang miskin lagi mundur. Bagaimanapun di sana, jauh daripada patah semangat, Khatijah Sidek menggiatkan lagi usaha reformasi sosial untuk meningkatkan taraf kesihatan serta penjagaan rumahtangga dan pemakanan di kalangan kaum ibu serta beliawanis setempat.

Aktiviti reformasi sosial ini terhenti apabila beliau diarah kembali semula ke Pariaman.

Kepulangan semula Khatijah Sidek ke kampung Pariaman menghadapkannya dengan pendudukan Jepun. Kegiatan-kegiatan nasionalis beliau menjadikannya orang buruan Jepun dan beliau terpaksa melarikan diri hingga ke Bukit Tinggi. Di sana beliau terilham pula untuk membentuk gerakan Puteri Kesateria yang bersifat paramiliter.

Gerakan ini mendapat tentangan dan cemuhan golongan tradisional dan agama. Beliau, bagaimanapun, berjaya mengatasi tentangan ini dan seterusnya menarik perhatian beberapa pemimpin nasional Indonesia pula.

Kejayaan gerakan ini meningkatkan lagi keyakinannya terhadap kemampuanya memimpin, dan juga menggalakkan beliau menerima desakan beberapa orang nasioanlis Melayu Malaya yang ketika itu berada di Sumatera, supaya beliau ke Singapura dan Malaya untuk membangunkan kaum wanita di sana pula.11

Di Singapura, Khatijah Sidek mendapati keadaan kolonial pra-merdeka sangat mencabar. Kesedaran untuk merdeka berada di peringkat minimum dan bibit-bibit gerakan kemerdekaan belum bersatu dan tersusun. Di Malaya juga, beliau mendapati demikian. Malah, pada pandangan beliau, di Malaya, bukan sahaja terdapat kesedaran serta semangat ingin merdeka yang mentah berbanding apa yang terdapat di Indonesia, malah ditebali pula dengan nilai feudal.

Rakyat jelata rata-rata belum mempunyai kesedaran politik untuk merdeka, apatah lagi untuk menyusun dan menyertai gerakan perjuangan kemerdekaan. Beliau lalu mengambil keputusan untuk menggerakkan kaum wanitanya yang jauh ketinggalan dalam kegiatan serta gerakan sosial dan politik walaupun Angkatan Wanita Sedar (AWAS) sudah mula merintis jalan12.

Berikutnya, beliau memilih Singapura sebagai tapak kegiatan beliau. Di situ beliau menubuhkan HIMWIM (Himpunan Wanita Indonesia Malaya) pada 1947. Keahlian HIMWIM bukan sahaja terbuka kepada Wanita Melayu Malaya dan Indonesia, tetapi juga kepada wanita Malaya keturunan lain.

Secara rasminya HIMWIM ditubuhkan untuk matlamat kebajikan sosial anggotanya. Khatijah Sidek sendiri dilantik menjadi presidennya. Penubuhan HIMWIM membuktikan kepekaan beliau kepada keadaan perjuangan kemerdekaan setempat.

Beliau menyedari bahawa di Malaya dan Singapura, penduduknya yang berbilang kaum sebenarnya saling memerlukan antara satu sama lain. Ternyata, walaupun beliau berpegang kepada prinsip Melayu sebagai teras kebangsaan negara, namun beliau menerima realiti politik hasil kehadiran kaum-kaum lain. Beliau juga peka kepada dasar penjajah Inggeris yang lebih halus daripada Belanda.

Beliau tidak menyusun tindakan militan, dan tidak juga terang-terangan bercorak politik, seperti yang telah beliau lakukan di Indonesia. Sebaliknya, beliau menampilkan HIMWIM sebagai organisasi sosial pelbagai kaum.

Bersambung

Penerbit : UKM

11 Mereka termasuklah Abdullah Sanggora, Dahari Ali, Abdul Rahman dan lain-lain. (Fail Khatijah Sidek. Temu bual oleh Arkib Negara Malaysia, 23 Oktober 1976). Abdullah Sanggora dan Dahari Ali, ialah dua daripada pemuda Malaya yang ada hubungan dengan beliau di Sumatera, dikatakan aktivis dalam penyeludupan senjata kepada pejuang kemerdekaan Indonesia. (Firdaus Radical Malay Politics. Its Origin and Early Development. KualaLumpur: Pelanduk Publications 1985, hlm. 53)

12 Di Persekutuan Tanah Melayu beliau berjumpa dengan pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya seperti Dr. Burhanuddin al-Helmi, Ishak Haji Muhammad dan Abdullah Zawawi. Beliau juga bertemu dengan pemimpin Angkatan Wanita Sedar, iaitu Shamsiah Fakih dan Aishah Ghani di Tanah Melayu, Cik Yah, Cik Rohani dan Cik Marliah di Singapura. (Fail Khatijah Sidek. Temu bual dengan Arkib Negara Malaysia, 15 Oktober 1976).

Facebook
Twitter
WhatsApp