TERKINI

Memoir Khatijah Sidek – Bah. Akhir

Puteri Kesateria Bangsa

PEMBELA WANITA

Khatijah Sidek – foto memoir khatijah sidek

Pada 1964, Khatijah Sidek dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Johor. Perlantikan ini dengan sendirinya mengeluarkan beliau daripada kubu PAS di Terengganu dan Kelantan.

Sebelumnya, beliau berjasa kepada PAS dengan membantu kemenangan PAS dalam pilihanraya 195917, beliau berkhidmat sebagai Ahli Dewan Rakyat bagi Kawasan Dungun, Terengganu (1959-64), iaitu Wakil Rakyat Muslimat PAS yang pertama, menjadi Ketua Dewan Muslimat PAS (164-65) dan, secara umumnya, memantapkan serta mengembangkan keanggotaan Muslimat PAS dalam jangka masa yang sama.

Dalam pilihanraya 1964, beliau bertanding tetapi tewas, sebagai calon PAS menentang Dato’ Dr. Ismail Dato’ Abdul Rahman di Kawasan Parlimen Johor Timur18. Pada 1969, dengan tiadanya Dr. Burhanuddin al-Helmi dan Ustaz Zulkifli Mohammad19, iaitu pendorong beliau dalam PAS, serta ketidaksesuaian beliau dengan pucuk pimpinan PAS semasa beliau mengambil keputusan keluar daripada parti itu.

Dalam pilihanraya pada tahun yang sama, beliau bertanding sebagai calon bebas menentang Dato’ Mohammad Asri b. Hj. Muda, di Kawasan parlimen Kota Bharu Hulu. Beliau tewas dan hilang wang pertaruhan20. Berikutan kegagalan ini, Khatijah Sidek terus mengundur diri daripada bergiat cergas dalam politik.

Pada peringkat ini juga, politik Malaysia telah mula bergerak ke satu tahap baru. Kejutan peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, khususnya, telah menonjolkan semangat kebangsaan Melayu yang mahu menyesuaikan diri dengan hakikat perekonomian moden, perindustrian dan perbandaran, serta cabaran hidup generasi Malaysia sezaman.

Pucuk pimpinan Melayu pada zaman perubahan ini diterajui oleh Tun Abdul Razak bin Datuk Hussien. Beliau berusaha menggemblengkan seluruh tenaga umat Melayu sama ada melalui UMNO sendiri, mahupun melalui konsep Barisan Nasional21.

Sebagai Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak memperlihatkan kepekaan terhadap kepentingan rakyat, sama ada daripada segi gaya pimpinan mahupun dasar kerajaan yang dilaksanakan22.

Khatijah Sidek, sebagai seorang yang sentiasa peka tentang perkembangan politik negara, dapat merasakan angin perubahan ini dan bertujuan menceburkan diri semula ke dalam bidang politik. Beliau memohon dan diterima semula menjadi ahli UMNO pada 197223.

Ketika itu beliau berumur 54 tahun dan sudah semakin uzur. Beliau tidak lagi dapat bergerak cergas dalam politik. Beliau meninggal dunia pada tahun 1982.

Tamat

Penerbit : UKM

17 Pilihanraya 1959 adalah yang pertama selepas merdeka. PAS memenangi majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan (63.8% daripada jumlah undi dan Terengganu 36.9% bersama Parti Negara, 16.3%). NSTP Research and Information Services. 1990. Elections, 1955-86. Kuala Lumpur. Balai Berita. Hlm. 34 & 36.

18 Dato’ Dr. Ismail (Perikatan) mendapat 10,331, undi, manakala Khatijah Sidek (PAS) mendapat 909 undi. Election Commission, Malaysia. 1965. Report On The Parliamentary (Dewan Rakyat) and State Legislative Assembly General Elections 1964 of The States of Malaya. Kuala Lumpur; Jabatan Cetak Kerajaan, hlm. 159

19 Dr. Burhanuddin meninggal dunia pada 1969 (Saliha “Dr. Burhanuddin al-Helmi, 1911-1969”, Jebat Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia, No. 14, 1986, hlm. 180). Ustaz Zulkifli Mohammad meninggal dunia pada 1964 (Mokhtar Petah. 1965. Zulkifli Mohamad Dalam Kenangan. Kota Bharu: Pustaka Aman Press).

20 Mohd. Asri b. Hj. Muda (PAS) mendapat 15,051 undi, Haji Ali Husin (Perikatan), 10,021 dan Khatijah Sidek (Bebas), 235 undi. Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia. 1972. Penyata Pilihanraya Umum Dewan Ra’ayat dan Dewan Undangan Negeri bagi Negeri-negeri Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, Tahun 1969. Kuala Lumpur. Jabatan Cetak Kerajaan. Hlm. 54.

21 Lihat Diane K. Mauzy. 1983. Barisan Nasional. Coalition Government in Malaysia. Kuala Lumpur: Marican & Sons (M), bab 3: The Formation of The Barisan nasional and the 1974 general Elections’.

22 Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 1970-76. Bagi keterangan lanjut, lihat J. Victor Morais (ed). 1969. Strategy For Action. Selected Speeches of Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Kuala Lumpur: Malaysian Centre for Development Studies.

23 The Malay Mail, 26 April 1972.

Facebook
Twitter
WhatsApp