TERKINI

Penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 (4)

Journal of Nusantara Studies 2017, Vol 2(1) 27-39 | Universiti Sultan Zainal Abidin
Raja-raja Dalam Penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 : Satu Kajian Sejarah Perundangan

Gambar hiasan – foto Tina Nasar

Analisis Penginstitusan Perlembagaan Persekutuan

Rundingan Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu

Perlu dinyatakan dengan tegas bahawa kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai pemerintah Tanah Melayu merupakan unsur-unsur watan atau warisan, yang telah berakar umbi dan adalah jati diri Tanah Melayu sejak Kesultanan Melayu Melaka (Wan Husain, 2013).

Malah sebahagian besar daripadanya (semua unsur tadi kecuali agama Islam) sudah hadir bersama kelahiran nama Melayu seawal tahun pertama Sebelum Masihi (Abimanyu, 2014).

Rundingan untuk menggubal perlembagaan pada fasa berikutnya hanya melibatkan wakil British, Raja-Raja Melayu dan UMNO selepas penubuhan Malayan Union ditentang oleh orang bukan Melayu.

Ia adalah satu proses untuk memindahkan kuasa dan kedudukan warisan watan dalam bentuk perlembagaan bertulis moden (kecuali Johor dan Terengganu yang sudah memiliki perlembagaan dalam bentuk moden).

Hasilnya, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 berjaya disempurnakan walaupun masih mengekalkan campurtangan British.

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 diwartakan sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 melalui The Federation of Malaya Order in Council 1948 bagi tujuan menggantikan Perjanjian Malayan Union 1946.

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 dikuatkuasakan secara interim untuk memenuhi keperluan bagi persiapan bagi berkerajaan sendiri bebas daripada campurtangan British sepenuhnya (Allen et al., 1981).

Proses rundingan bagi penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 disalah tanggap oleh banyak pihak sebagai satu proses tawar-menawar antara kaum yang melibatkan perkara-perkara pokok iaitu kedudukan raja-raja, Islam, bahasa dan hak-hak istimewa orang-orang Melayu.

Dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali, ini kerana hak yang ada pada kaum penghijrah dan rakyat British yang mendiami Negeri-Negeri Selat hanya wujud setelah mereka diberikan kewarganegaraan Tanah Melayu atas perkenan Raja-Raja Melayu.

Bahkan, kedudukan kerakyatan khususnya Melayu telah diberi perhatian serius melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 (Adam, 1999).

Dari sisi lain, kewarganegaraan kepada kaum penghijrah itu diberikan setelah ada tolak ansur orang-orang Melayu kerana orang-orang Melayu adalah bangsa asal Tanah Melayu (C.O 889/6, 1956).

Amat perlu difahami bahawa siri-siri rundingan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Reid atas terma-terma persetujuan bersama Raja-Raja Melayu dengan Ratu England hasil daripada persidangan yang dinamakan London Constitutional Conference 1956 yang berlangsung pada 18 Januari hingga 6 Februari 1946.

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 dibina atas atau dikembangkan daripada peruntukan Perjanjian Negeri 1948 yang bertujuan untuk membentuk sebuah persekutuan baru self-government.

Ia termasuklah penyerahan semula kedaulatan Pulau Pinang dan Melaka oleh Kerajaan British kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan pembebasan Negeri-Negeri Melayu daripada campurtangan pentadbiran British secara mutlak.

Rundingan bagi penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 secara umumnya dibuat untuk memantapkan perlaksanaan sistem pemerintahan beraja yang ingin disesuaikan dengan amalan demokrasi berparlimen tanpa meninggalkan unsur-unsur atau elemen-elemen watan yang dijelaskan (C.O 889/8, 1957).

Berbagai kaum dan kelas masyarakat di Tanah Melayu mengemukakan pandangan semasa proses penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dilakukan (Yaakop & A. Aziz, 2014).

Jika diteliti handsard perbicaraan Suruhanjaya Reid dengan wakil Raja-Raja Melayu adalah berkisar tentang fungsi dan pelaksanaan kekuasaan mereka dalam perlembagaan bertulis moden.

Manakala perbicaraan dengan Kerajaan Persekutuan antaranya menggariskan sempadan sejauhmana bangsa asal bersedia untuk berkongsi kepentingan dengan bukan Rakyat Raja yang diterima sebagai warganegara Tanah Melayu, dan penetapan hak-hak istimewa bangsa asal yang perlu dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan selain daripada bagaimana struktur pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu wajar beroperasi.

Kenyataan sebegini boleh dilihat melalui ‘hansard’ perbicaraan Suruhanjaya Reid (Yaakop & A. Aziz, 2014, p. 83). Proses pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah diputuskan Raja-Raja Melayu dan Kerajaan England sebagai persetujuan akhir dan kuatkuasa undang-undang dalam wilayah kekuasaan masing-masing.

Dalam setiap proses rundingan itu, Raja-Raja Melayu dinasihati oleh para pembesar baginda, malah sebelum sebarang pindaan perlembagaan negeri diperkenankan, baginda Raja-Raja Melayu terlebih dahulu mendapatkan persetujuan daripada Majlis Negeri (State Council) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan.

Bersambung.

Facebook
Twitter
WhatsApp