Journal of Nusantara Studies 2017, Vol 2(1) 27-39 | Universiti Sultan Zainal Abidin
Raja-raja Dalam Penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 : Satu Kajian Sejarah Perundangan
Kesimpulan
Penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu berlaku setelah Raja-Raja Melayu menurunkan perkenan baginda dalam setiap perjanjian dan enakmen-enakmen bagi kelulusannya.
Sesungguhnya kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai pemerintah Tanah Melayu, Islam sebagai agama bagi Persekutuan, hak-hak istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi bukanlah peruntukan-peruntukan yang diwujudkan hasil rundingan antara berbagai kaum di Tanah Melayu pada tahun 1957; iaitu bangsa asal dengan kaum penghijrah dan rakyat British di Negeri-Negeri Selat.
Dalam kata lain, unsur-unsur watan yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan bukanlah satu pemberian atau kompromi kaum penghijrah dan rakyat British dengan bangsa asal.
Apa yang didakwa oleh sebahagian warganegara sebagai kontrak sosial pada hari ini dalam beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan hampir kesemuanya adalah warisan Tanah Melayu yang perlu ditafsir mengikut fahaman dan sejarah watan.
Tafsiran bersandarkan sejarah watan hendaklah dijunjung oleh setiap warganegara yang mengaku menumpahkan taat setia pada kedaulatan undang-undang dan patuh pada Perlembagaan Persekutuan.
Melayu menjadi bangsa kerana Tanah Melayu sudah pun memiliki struktur pemerintahan dan pentadbiran lengkap bahkan Kesultanan Melayu Melaka pernah dinobat sebagai pusat penyebaran agama Islam bertaraf entreport.
Tindakan berselindung di sebalik kontrak sosial untuk menafikan warisan watan adalah satu tindakan yang tidak bermoral dan boleh menggugat keharmonian yang dinikmati selama ini.
Constitutional bargaining yang berlaku pada mana-mana peringkat dan masa adalah setakat satu proses untuk menyampaikan pandangan-pandangan bagi pertimbangan Raja-Raja Melayu.
Pandangan-pandangan yang sesuai dimasukkan dalam penggubalan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 adalah untuk menerima pemakaian sistem demokrasi berparlimen dalam kerangka pemerintahan watan.
Kedaulatan Raja-Raja Melayu adalah legasi Kesultanan Melayu Melaka yang diwarisi oleh Kerajaan-Kerajaan Negeri Melayu dan Malaysia sehingga hari ini dalam bentuk sedia ada.
Fasal (1) Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan meletakkan jaminan atas kedudukan Islam, Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang-orang Melayu, bahasa Melayu dan hak-hak semua Negeri sepertimana ia diwarisi dengan beberapa penyesuaian yang telah diperuntukkan dengan nyata.
Ringkasnya, Raja-Raja Melayu yang memberi kuatkuasa undang-undang pada Perlembagaan Persekutuan setelah berunding dengan para pembesar baginda selaras dengan prinsip syura.
Kontrak Sosial pada tahun 1957 hanya wujud pada bukan Rakyat Raja yang diberikan kewarganegaraan untuk mentaati setiap peruntukan Perlembagaan Persekutuan, termasuklah aspek-aspek watan yang terpelihara sehingga kini.
Justeru, golongan ilmuwan dan pemimpin politik Melayu sewajarnya menggunakan istilah kontrak sosial dengan berhatihati.
Perlembagaan Persekutuan dikatakan bersifat satu kontrak sosial kerana selama ini masyarakat tempatan menerima prinsip-prinsip tersebut sebagai satu cara hidup dalam masyarakat majmuk dengan rela hati tanpa protes.
Pengabaian fakta sejarah dan persejarahan tanah air telah mengakibatkan fahaman yang menyeleweng dan berpotensi besar untuk menyalakan api dalam sekam, satu ketidakadilan kepada bangsa asal Tanah Melayu.
SEKIAN