TERKINI

Bertautlah Dalam Proklamasi Orang Melayu

Wawancara ringkas bersama mantan Menteri Kerja Raya, Dato Sri Ir. Mohd. Zin Mohamed, ahli jawatankuasa Proklamasi Orang Melayu – 25 Mac 2023

foto twitter @zinmohamed

MD.com : Dato’ Sri adalah salah seorang ahli jawatankuasa Proklamasi Orang Melayu. Boleh Dato jelaskan apa tujuan Proklamasi ini dihasilkan?

DS Mohd. Zin : Pertama sekali kerana parti yang seharusnya mendukung perjuangan orang Melayu kini telah tiada. Umno yang pada asalnya adalah satu-satunya parti yang meletakkan agenda perjuangan orang Melayu kini telah menggugurkan dasar dan tujuannya. Kita boleh lihat pada hasil mesyuarat MKT Umno baru-baru ini, mereka telah menzahirkan kebimbangan tentang isu perkauman.

Kenyataan mereka ini jelas menunjukkan bahawa mereka tidak lagi mahu bercakap tentang perjuangan orang Melayu malah menganggapnya sebagai perkauman. Di sini juga kita dapat lihat dengan jelas bahawa Umno tidak lagi mampu mewakili dan memperjuangkan nasib orang Melayu. Umno kini sudah tersasar jauh dari matlamat penubuhan dan perjuangannya. Ini semua natijah dari kerjasama mereka bersama PKR dan DAP yang semata-mata mahu kekal berkuasa.

Proklamasi ini juga sebenarnya adalah usaha untuk memberi kesedaran kepada orang Melayu bahawa perjuangan bangsa masih penting kerana kita masih ketinggalan dalam banyak aspek kehidupan seperti ekonomi dan teknologi.

Kita akan terus ketinggalan apabila kuasa politik yang sepatutnya menjadi penggerak kemajuan orang Melayu kini semakin terhakis, apatah lagi Umno sudah tersasar dari landasannya. Jadi proklamasi ini adalah titik penting bagi orang Melayu untuk kembali bertaut dan berusaha mengembalikan kekuatan politik kita.

MD.com : Dato’, mengapa sekarang?

DS Mohd. Zin : Saya nak bertanya kembali, mengapa tidak sekarang? Seperti saya katakan, inilah masa yang terbaik untuk kita orang Melayu bermuhasabah dan mengenepikan perbezaan politik atau kepartian dan kembali bersama untuk mengembalikan kuasa politik orang Melayu.

Saya melihat, masalah ini muncul sejak PRU 14 lagi. Bila Umno kalah, namun keadaan itu tidak seteruk hari ini kerana pasca PRU 14, Tun M dan parti Bersatu masih mempunyai sedikit keupayaan untuk mengekalkan kuasa politik orang Melayu. Namun kebimbangan itu semakin ketara apabila pada PRU 15 yang lalu, Perikatan Nasional (PN) yang menguasai kerusi orang Melayu gagal menjadi kerajaan.

Umno pula sudah tidak boleh diharapkan bukan sahaja kerana kenyataan mereka baru-baru ini, malah Zahid Hamidi yang mengetuai Umno tidak lagi boleh diharapkan. Zahid ketika ini hanya memikirkan tentang nasib dan kuasanya, bukan agenda perjuangan bangsa.

Kerana itu saya katakan, inilah masa yang terbaik untuk kita menggerakkan Proklamasi Orang Melayu agar kita semua sedar dan kembali bersatu.

MD.com : Apa kaitan atau pentingnya Proklamasi ini dengan rakyat biasa? Adakah ia akan memberi kesan pada masa depan mereka?

DS Mohd. Zin : Dalam Proklamasi ini ada 12 butiran yang perlu dibaca dan difahami oleh orang Melayu. Tun M telah gariskan perkara ini dengan cukup lengkap dan amat mudah difahami. Butiran proklamasi ini juga tidak langsung menyentuh bangsa lain apatah lagi memberi ancaman kepada mereka.

Proklamasi ini membawa mesej yang besar dan secara keseluruhan ia memberi kesedaran betapa rasuah, salahguna kuasa dan ketamakan pada kuasa akan membinasakan orang Melayu khususnya rakyat bawahan. Jika ini tidak dibendung dan usaha ke arah penyelesaian tidak dibuat, negara akan diperintah oleh mereka yang akan membiarkan nasib orang melayu terus tercicir dalam bidang ekonomi, perniagaan, pendidikan dan kebajikan.

Untuk lebih mudah faham, jika kita sayang pada bangsa dan mahu membantu ekonomi orang Melayu, kita perlu bersama. Dengan bersatunya orang Melayu melangkaui perbezaan parti, kita dapat meletakkan kembali melaksanakan agenda pembangunan bangsa, agama dan tanah air.

Apabila orang Melayu yang menjadi majoriti rakyat dalam negara ini terbela, maka kemakmuran ekonomi ini akan melimpah dan dinikmati oleh semua kaum.

Facebook
Twitter
WhatsApp