TERKINI

Dr Ahmad Idham : Cabaran Perjuangan Membela Nasib Anak Istimewa

Dr. Ahmad Idham b. Ahmad Nadzri, 51 berkelulusan Ijazah Kedoktoran Pengurusan (UUM) dan Ijazah Perakaunan UiTM. Namun beliau sebelum ini lebih dikenali dalam bidang seni lakonan dan pengarahan. Beliau pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas dan kini beliau aktif dalam gerakan NGO serta memiliki sekolah pendidikan khas yang diusahakan sendiri. Ikuti wawancara bersama beliau untuk memahami lebih lanjut usaha dan perjuangan tokoh muda ini.

foto dr.ahmad idham

Md.Com : Kami menyedari Dr. Ahmad Idham (DAI) memberi tumpuan pada sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Boleh nyatakan usaha dan matlamat penubuhan Ngo ini?

DAI : Saya mempunyai anak istimewa dan selama 20 tahun membesarkannya, saya melalui sendiri pengalaman melalui satu proses dan sistem yang agak lemah di Malaysia, lebih-lebih lagi dari modul dan infrastruktur pendidikan khas. Disebabkan itulah pada 2016 , saya dan isteri telah mendirikan sendiri sekolah pendidikan khas dan membawa masuk modul pendidikan dari luar negara yang telah terbukti berjaya di sana.

Sebagai sekolah bersifat swasta saya menyedari akan kos yang tinggi untuk seseorang pelajar memasukinya, di sebabkan itu lah saya mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah Ngo sendiri yang di beri nama Prisma (Pertubuhan Ibubapa Anak-Anak Istimewa Malaysia).

foto dr.ahmad idham


Md.Com : Mengapa Ngo ini ditubuhkan? Apakah peranan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) dan pelbagai lagi agensi kerajaan tidak membantu?

DAI : Tujuan utama penubuhan Prisma adalah untuk menjadi suara dan memberikan khidmat nasihat kepada ibubapa yang ada anak istimewa agar mereka nampak jalan yang terbaik di dalam proses membesarkan anak anak istimewa mereka.

Disamping itu juga pertubuhan ini bekerjasama dengan beberapa yayasan seperti rezeki infaq untuk mengumpul dana bagi memboleh pertubuhan ini menaja anak-anak ini (pendidikan dan terapi) dan juga melakukan beberapa aktiviti dan seminar kesedaran kepada ibu bapa di seluruh Malaysia. Sepertimana kita sedia maklum, masih ramai lagi ibu bapa di dalam denial syndrom’.

Kelemahan ketara yang saya lihat di dalam dunia anak anak istimewa di Malaysia, ialah kita tiada satu dasar pendidikan khas yang jelas. Sebab itu, walaupun kita sedar akan kewujudan beberapa kementerian yang terlibat dengan anak anak istimewa ini, perlaksanaan mereka saya lihat bersifat ‘silo’, di mana setiap kementerian akan menumpukan kepada KPI masing-masing dan tidak bekerjasam secara rapat untuk mencapai satu objektif utama iaitu, kesalinghidup anak anak ini apabila mereka dewasa.

Saya ambil contoh antara fungsi Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mempunyai PPDK (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti) di seluruh negara dengan Kementerian Pendidikan yang mempunyai kelas PPKI (Program Pendidikan Khas Integrasi). Saya tidak nampak ada koordinasi yang lebih sistematik dari sudut  modul pendidikan khas antara kedua dua ini di mana kita tahu yang sekolah PPKI hanya akan mengambil anak anak istimewa yang bermula dari umur 7 tahun sahaja.

Sepertimana kita sedia maklum, seorang anak istimewa itu boleh didiagnos seawal usia 3 tahun. Jadi dimanakah mereka boleh mendapat pendidikan awal sebelum mereka memasuki PPKI?

Bagaimana pula dengan program terapi, dari umur 3 tahun dalam mempersiapkan anak anak ini memasuki alam persekolahan darjah satu dan PPKI bukankah  perlu juga di beri modul terapi yang terbaik? 

Persoalannya di mana boleh mereka dapatkan semua ini. Kini hanya ada di hospital kerajaan sahaja yang tidak mempunyai slot dan tenaga terapi yang mencukupi.

Saya di maklumkan untuk mendapat satu slot sebulan juga agak sukar, jadi apa solusinya? Adakah Kementerian Kesihatan bekerja rapat untuk menyediakan terapis yang mencukupi di seluruh sekolah PPKI di Malaysia.

Untuk mendapatkan diagnos yang optimum wajibnya setiap PPKI ada inhouse therapistbagi membantu guru-guru PPKI. Modul ini juga telah lama di laksanakan di negara jiran kita dan terbukti telah berjaya.

Md.Com : Bagaimana peranan Ngo sdr. dalam konteks untuk membantu dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang keperluan anak istimewa ini?

DAI : Sepertimana saya jelaskan, Prisma akan menjadi suara kepada seluruh ibubapa yang ada anak-anak istimewa di Malaysia di dalam memperjuangkan hak anak-anak ini agar dapat yang terbaik baik dari segi bantuan kewangan , terapi dan pendidikan khas.

Satu peranan yang saya kira akan menjadi tunggak perjuangan Prisma ialah memperjuangkan satu ekosistem yang sistematik di dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada anak anak istimewa ini.

Saya percaya, sekiranya Prisma mendapat sokongan keahlian  ramai yang mana saya anggarkan seramai 500 ribu ibu bapa yang kini mempunyai anak anak istimewa di dalam lingkungan 3 hingga 21 tahun, maka suara Prisma ini akan menjadi besar, dan saya secara peribadi akan menjadi jurucakap mereka agar satu dasar pendidikan khas negara dapat diperjuangkan dan direalisasikan.

foto dr.ahmad idham

Md.Com : Pada hari ini, sebagai seorang aktivis masyarakat, sdr juga terlibat dalam politik. Mengapa dan apa agenda perjuangan yang ingin diketengahkan?

DAI : Saya telah berjuang secara persendirian untuk mengangkat satu dasar pendidikan khas sudah hampir 15 tahun. Selama itu jugalah saya telah beberapa kali berjumpa dan berbincang dengan pihak kementerian mahupun kerajaan negeri untuk mewujudkan dasar tersebut.

Malah juga telah bertemu dengan beberapa ahli parlimen untuk saya utarakan isu ini. Malangnya saya tidak nampak mereka bersungguh dalam memperjuangkan isu ini, malah ada yang tidak mahu mengangkatnya ke peringkat parlimen secara serius. Di peringkat negeri pula, ada exco sendiri yang tidak faham akan asas matlamat ini.

Apa yang saya pelajari dari pengalaman ini, sekiranya satu satu dasar baru hendak di buat, ianya haruslah di angkat hingga ke peringkat Parlimen dan hanya ahli parlimen sahaja yang boleh melakukannya.

Terus terang saya katakan , kini setelah 15 tahun berjuang, saya dah malas nak mengharapkan mereka yang hanya sekadar berjanji mulut dan mempergunakan saya untuk kepentingan kempen sahaja. Apabila menang mereka akan buang sahaja kita ke tepi. Itulah hakikatnya.

Atas kekecewaan inilah, apabila saya melihat satu gerakan yang membuka ruang kepada Ngo untuk bersama di dalam gerakan politik, maka saya mengambil keputusan untuk menyertainya agar dapat saya meneruskan matlamat perjuangan saya itu.

Md.Com : Biasanya, ramai orang berjuang sesuatu tetapi perjuangan itu dilupakan setelah memegang kuasa. Apa komen sdr?

DAI : Itu saya sendiri pernah lalui, apabila sebagai artis yang dikenali, saya diminta menyokong kempen mereka dan mempergunakan agenda perjuanagan saya untuk dijadikan bahan kempen mereka yang kononnya akan mengangkatnya setelah menang pilihanraya.

Tapi ternyata itu hanyalah janji pilihanraya untuk memancing undi. Apabila menang semuanya cair di bawa angin yang lalu, janji tinggal janji, kuasa politik lebih digunakan untuk kekayaan diri dan kroni.

Apa yang lebih menyedihkan saya, peratusan anak anak istimewa adalah dari kalangan orang Melayu yang kebanyakannya dari golongan B40. Boleh pergi dan lihat sendiri mereka di PPDK dan sekolah PPKI kerajaan seluruh Malaysia, persolannya siapa yang memperjuangkan mereka. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp