Ku Seman Ku Hussain, mantan pengarang kanan Utusan Malaysia yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam dunia kewartawanan. Beliau ada menghasilkan buku yang bercorak kritikan mengenai isu semasa dalam sosiopolitik. Ku Seman aktif dalam menulis dan mengkritik hal ehwal berkaitan seni dan kebudayaan. Ikuti temubual siri kedua bersama beliau dalam isu berkaitan identiti dan kebudayaan Malaysia.
MD.com : Dasar Kebudayaan Kebangsaan (Dkk1971) ialah resolusi daripada Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang bermatlamatkan perpaduan kaum, keperibadian bangsa dan keseimbangan fizikal dan rohani. Namun hari ini kita lihat perlaksanaannya agak lemah kerana masih ada kumpulan yang mendahulukan etnik mereka dan ada yang beranggapan Dkk1971 ni seperti alat yang menghakis identiti sesuatu kaum bukan Melayu. Adakah benar anggapan itu dan apakah jalan yang terbaik untuk menzahirkan identiti Malaysia yang benar-benar mewakili negara dan semua kaum.
Ku Seman : Tun Razak telah meninggalkan acuan tetapi malangnya ada yang tidak endah. DKK 1971 tidak dirujuk dalam hal kenegaraan dan kebudayaan terutama selepas sedekad diwujudkan. Kebudayaan kebangsaan yang menjadi milik semua semestinya difahami dan dihayati bukan sahaja milik orang Melayu, akan tetapi semua kaum. Ia sama sekali tidak menghakis budaya sesuatu kaum kerana tetap bebas diamalkan oleh kaum berkenaan.
Kesan daripada ketidakpedulian pada DKK 1971 boleh dilihat pada usaha-usaha yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Misalnya ada pihak cuba mengangkat bahasa dan budaya ibunda ke taraf kebangsaan dan rasmi pula sifatnya. Inilah yang dikatakan tidak faham adat bernegara dan berbudaya di negara yang terasnya Melayu.
Hal ini disebabkan kepentingan kaum terutama dalam kalangan bukan Melayu melampaui kepentingan negara. Oleh hal yang demikian saya fikir sangat jauhlah lagi untuk melihat kewujudan bangsa Malaysia. Kalau dilihat sekarang ini orang luar akan tertanya-tanya apakah identiti budaya Malaysia? Apakah wujud bangsa Malaysia?
Hal yang lebih buruk disumbangkan oleh sesetengah dalam kaangan Melayu sendiri yang dengan sukarela menghakis nilai-nilai budaya Melayu. Orang Melayu sendiri yang meminggrkan bahasa Melayu daripada arus perdana. Inilah sikap buruk orang Melayu yang perasan maju dengan memakai baju orang lain. Sedangkan sikap terhadap bahasa dan budaya dalam kalangan orang Cina jauh berbeza. Mereka sentiasa meletakkan bahasa dan budaya di depan dalam keadaan sekalipun.
Mengenai tanggapan pihak tertentu bahawa DKK 1971 sebagai menghakis identiti kaum bukan Melayu, saya fikir itu hanya psikologi terbalik. Keadaan yang sebenarnya sekalipun ada DKK 1971, identiti budaya Melayu yang menjadi teras dalam dasar itu dan bahasa Melayu diangkat dalam Perlembagaan Persekutuan yang dihakis. Sikap pemimpin politik juga dilihat menyumbang pada kegagalan DKK 1971. Pemimpin Melayu berasa apologetik hendak mempertahankan DKK 1971, sementara pemimpin bukan Melayu terlampau bersikap etnocentrik dalam hal-hal budaya dan bahasa.
MD.com : Ramai beranggapan Dkk1971 dan Daken2021 ini sukar dilaksanakan kerana industri/pasaran ada hukum lain yang menentukan kejayaan sesuatu dasar atau agenda. Bagaimana sdr. melihat isu ini dalam konteks Industri Kebudayaan.
Ku Seman : Budaya merujuk pada keseluruhan cara hidup masyarakat di sesebuah wilayah atau negara. Dalam erti kata lain budaya adalah hati budi sesuatu bangsa yang memperlihatkan ketinggian akal fikiran dan daya cipta. Untuk mengenal sesuatu bangsa atau kaum, lihatlah budaya hidupnya.
Budaya nilai tinggi merujuk cara hidup yang menjunjung nilai-nilai tinggi dalam kehidupan individu dan juga masyarakat. Budaya nilai tinggi bukan sahaja perlu wujud, malah mesti tumbuh dan disuburkan kemudian dilestarikan kepada semua kelas masyarakat.
Cara hidup perlu bergerak seiring dengan nilai-nilai tinggi supaya dapat mengimbangi antara tuntutan materialisme dan kemajuan dengan kesejahteraan. Berkeupayaan memiliki dan maju tidak semestinya sejahtera. Oleh kerana itu ketiga-tiga ini perlu saling berhubung untuk memberikan makna kemajuan yang sebenar.
Materialisme kerap menjebak manusia dengan kerakusan yang sekaligus melanggar tatacara asas kehidupan iaitu mengambil sesuatu yang bukan menjadi haknya. Lebih buruk lagi mendokong prinsip niat menghalalkan cara. Sebenarnya tujuan yang baik mesti dilakukan dengan cara yang betul.
Oleh kerana itu budaya dalam konteks yang lebih besar mesti menekankan sifat amanah yang tinggi, kesedaran sivik di semua peringkat, daripada sebesar-besar perkara hingga sekecil-kecilnya, menjadikan kebersihan sebagai satu cara hidup dan menuntut ilmu adalah proses sebuah kehidupan yang tidak pernah berakhir.
Sikap yang sedemikian adalah aset dalam industri yang melibatkan kebudayaan. Kita boleh melihat negara seperti Korea Selatan dan Jepun yang memasarkan kebudayaan mereka tanpa mencairkan identitinya. Budaya dan bahasa Korea atau Jepun tetap terpelihara apabila sampai kepada kita melalui siri televisyen. Tuntutan industri atau pasaran mesti diseimbangkan dengan matlamat pelestarian budaya kebangsaan.
MD.com : Sebagai aktivits kebudayaan, apakah saranan Sdr bagi memperkukuhkan identiti budaya Malaysia agar ia menjadi sebuah naratif yang lestari untuk rakyat dan pemain dalam industri kebudayaan?
Ku Seman: Perkara yang paling asas sekali adalah memahami kebudayaan itu melampaui acara kesenian atau tradisi semata-mata. Memang benar acara tradisi dan kesenian terangkum sebagai produk budaya. Akan tetapi kebudayaan adalah satu cara hidup yang bertamadun tinggi. Masyarakat yang berbudaya tinggi kerap mencapai kejayaan dalam hal-hal yang di luar ruang litup budaya. Maka semua industri yang berkaitan dengan kebudayaan perlu memastikan nilai-nilai budaya itu tidak tenggelam dalam tuntutan industri atau komersialisme. Kedua-duanya, kebudayaan dan industri mesti saling menunjang antara satu dengan lain.
Kebudayaan merangkumi bahasa. Dalam konteks kita adalah bahasa Melayu. Mengindustrikan kebudayaan yang bertaraf kebangsaan mesti memastikan bahasa Melayu ikut dijulang dan diberikan tempat yang utama. Akan tetapi sikap sesetengah dalam kalangan kita cepat lebur, filem keluaran negara ini pun tidak semuanya berbahasa Melayu. Apakah salahnya kalau filem mengenai masyarakat Cina Malaysia atau India Malaysia berbahasa Melayu? Filem bukan realiti, tetapi sebuah tafsiran daripada realiti.
Kerana itu saya agak pesimis, kebudayaan kebangsaan yang berteraskan budaya Melayu berdepan dengan kekangan disebabkan kefahaman yang cetek dan juga kesengajaan. Kita tidak boleh hanya berbangga orang Cina atau India memakai baju tradisional Melayu. Itu sangat luaran sifatnya. Kita memerlukan kebudayaan itu dari dalam jiwa mereka. Ini yang sangat sukar dilakukan.
SEKIAN