TERKINI

Kerana Minat, Rela Guna Simpanan Sendiri Untuk Bangunkan Gelanggang Tinju

Beringin Eagle Boxing Club – foto Md Jani

Bekas Jurulatih Tinju Kebangsaan, Sarjan (B) Mohamad Jani Ismail sanggup membangunkan sendiri tanah dan mengeluarkan simpanan peribadi untuk membina pusat latihan tinju.

Beliau yang berpengalaman luas malah pernah melahirkan jaguh peninju negara. Sapok Biki merupakan pelatih yang pernah mendapat khidmat Sarjan Bersara yang lebih mesra disapa sebagai Abang Md. Jani.

Selepas bersara dari perkhidmatan polis, beliau kini menjadi setiausaha Persatuan Tinju Negeri Sembilan.

Malayadaily berkesempatan bertemu dan berkongsi minatnya dalam sukan tinju.

Menurut Abang Md Jani, ketika ini beliau sedang berusaha menyiapkan gelanggang tinju di atas tanahnya sendiri di Pedas Negeri Sembilan. Menurutnya, gelanggang tinju ini akan dijadikan pusat latihan tinju.

Beliau berkata usaha ini adalah kerana minat yang mendalam dalam sukan tinju, malah beliau berharap, pusat latihan tinju ini akan dapat mencungkil bakat-bakat baharu di kalangan belia-belia di kawasan luar bandar.

“Saya akan dapatkan bakat baru dari sekolah yang berumur antara 14 hingga 16 tahun untuk dilatih dan dibentuk menjadi peninju yang baik, kita nak sediakan pelapis-pelapis sukan tinju untuk peringkat kebangsaan.

Dari segi pembiayaan kos untuk membina gelanggang ini, diperingkat permulaan Abang Md Jani menggunakan simpanan peribadi.

“Setakat hari ini saya dah belanja sekitar RM 16 ribu. Jumlah keseluruhan dijangka sekitar RM 40-45 ribu.

Ditanya tentang bantuan dan penajaan, beliau berkata oleh kerana ini langkah permulaan, maka agak sukar untuk meyakinkan mana-mana pihak untuk tampil membantu dan bekerjasama dalam usaha tersebut.

“Sebab diperingkat mula, siapa nak percaya dengan apa kita buat, nanti bila dah siap kita akan tunjuk hasil dia kepada negara. Ujarnya.

Atas minat yang mendalam, beliau telah menubuhkan Beringin Eagle Boxing Club dengan niat untuk mencungkil bakat-bakat diperingkat akar umbi hingga dapat mengharumkan nama negara suatau masa nanti.

“Sekarang saya sedang melatih 11 orang peninju bagi persiapan kejohanan Golden Glove pada Jun ini di Terengganu.

“Pada masa yang sama, kita juga sedang melatih 13 orang peninju untuk menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) kelak.

Difahamkan ketika ini seramai 3 orang jurulatih yang terlibat dalam usaha ini.

“Saya juga mengambil beberapa jurulatih tambahan untuk melatih bakat-bakat yang ada, setakat ini termasuk saya 4 orang.

Menurut Abang Md Jani, bagi para pelatih yang menjalani latihan intensif, mereka boleh tinggal dipusat latihan ini dan kos makan minum ditanggung beliau sendiri.

“Saya sediakan infra bukan sekadar gelanggang tetapi bilik penginapan untuk pelatih, yang lengkap dengan tandas, ruang makan dan surau.

“Ia akan jadi pusat latihan. Bagi latihan intensif, pusat ini ia mampu menampung sekitar 15-16 orang pelatih, tapi untuk latihan menggunakan gelangang, ia boleh menampung lebih ramai lagi, ia bergantung kepadan jadual penggunaan gelanggang.

“Setakat mana yang saya mampu, kami beli barang dan masak sendiri, ini sebahagin latihan survival untuk para pelatih.

Abang Md Jani berpendapat bahawa usaha ini bukan saja kerana minat, tetapi beliau percaya bahawa pembangunan sukan tinju perlu bermula dari akar umbi.

“Sekiranya dibentuk dari awal dengan betul, hasilnya kita akan serah dan bawa ke peringkat kebangsaan untuk jalani latihan dan pembnagunan diperingkat kebangsaan yang dijalankan oleh persatuan tinju Malaysia.

“Jika nak harap persatuan tinju Malaysia saja, siapa nak cari di peringkat akar umbi? Ujarnya.

Beliau mengulangi hasratnya agar usaha ini akan dapat melahirkan atlet yang baik dan membawa pulang pingat kepada negara kita.

Beliau juga terbuka kepada mana-mana pihak yang sudi dan mahu menghulurkan bantuan dan kerjasama bagi membangunkan pusat latihan tinju ini. Bantuan boleh disalurkan menerusi Persatuan Tinju Amatur Negeri Sembilan, Acc No: 8004450236. Cimb Bank. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp