TERKINI

Memahami Naratif Perjuangan Negarawan

foto malayadaily.com

Terdapat dua pandangan ekstrem mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ini. Pandangan pertama melabel Tun M sebagai pemecah belah orang melayu atas hujah Tun menyertai banyak parti politik.

Bermula dari Umno, kemudian keluar dan menubuhkan parti Bersatu kemudian dipecat dan menubuhkan parti Pejuang. Setelah itu, beliau masuk ke parti Putra. Atas keadaan ini, Tun dianggap mahu memecah-belahkan orang Melayu.

Pandangan kedua pula juga ekstrem iaitu mendakwa Tun bersikap perkauman apabila beliau melancarkan Proklamasi Orang Melayu pada 19 Mac lalu. Kecaman ini datang dari Perdana Menteri dan juga pemimpin DAP.

Namun, dua jalur pandangan dan kritikan ini amat tersasar dari realiti. Realiti yang dimaksudkan ialah perjuangan Dr Mahathir dalam politik.

Kebetulan baru-baru ini, Khairy Jamaluddin ada mengulas kritikan yang dilemparkan kepada Tun berkaitan Proklamasi yang dianggap sebagai perkauman atau hasutan kearah sikap perkauman.

Khairy menyifatkan bahawa Mahathir seorang Nasionalis Melayu. Yang telah lama dikenali sebagai pejuang orang Melayu sejak beliau mula berkecimpung dalam arena politik.

Pandangan Khairy ini adalah suatu pencerahan kepada dua pandangan ekstrem berkenaan dengan Tun.

Sebagai nasionalis Melayu, adalah suatu hakikat bahawa seseorang itu akan setia dengan perjuangannya tak kira parti apa dia sertai atau diplatform apa dia berada. Tun M sememangnya konsisten baik dalam parti Umno, Bersatu, Pejuang dan kini Putra, beliau terus bercakap dan memperjuangkan nasib orang Melayu.

Tun membawa naratif perjuangan, sayangnya orang melihat naratif perjuangan Tun ini dalam konteks kepartian, kerana itu mereka merasakan Tun memecah-belahkan orang Melayu sedangkan perjuangan Tun berasaskan agenda.

Pandangan yang juling ini perlu diperbetulkan iaitu agenda politik harus mengatasi politik kepartian. Jika parti gagal membawa obor perjuagan, maka parti itu harus ditinggalkan, namun perjuangan kekal.

Perjuangan ini tidak salah malah ia bukan rasis atau perkauman. Perjuangan untuk orang Melayu ini tidak menyentuh perkara yang melibatkan bangsa lain apatah lagi menzalimi orang bukan Melayu.

Terbukti ketika Tun menjadi Perdana Menteri kali pertama dan kedua, tidak ada orang bukan Melayu yang dizalimi, dirampas hak atau harta benda mereka apatah lagi mendiskriminasikan mereka. Malah, ramai dikalangan bukan Melayu yang berjaya hingga menjadi jutawan.

Kita harus berfikiran terbuka dalam memahami perjuangan seorang Negarawan.

Editor

Facebook
Twitter
WhatsApp