TERKINI

Pembangunan Lestari – Cabaran Utama Masa Depan Malaysia

Wawancara Prof. Dr. Sawal Hamid Md. Ali

Sawal Hamid Md Ali – malayadaily.com

Pembangunan Lestari (Sustainable Development) merupakan suatu konsep baharu pembangunan perbandaran dan pembangunan kawasan penempatan yang menjadi teras pembangunan ekonomi, sosial dan budaya negara.

Konsep ini melahirkan Bandar Pintar (Smart City) dan Bandar Layak Huni (Liveable City) yang akan mencorak pemikiran, gaya hidup kehidupan masa kini dan hadapan.

Namun, sejauh manakah rakyat dan kerajaan memahami keperluan utama dalam melaksanakan agenda pembangunan mampan dalam konteks pembangunan Lestari ini.

Malayadaily.com mengambil peluang untuk menemuramah Prof. Dr. Sawal Hamid Md Ali yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang Internet of Things (IoT), Sistem Tertanam (Embedded systems) dan sistem pintar.

MD.com : Apakah yang dikatakan Pembangunan Mampan, Bandar Pintar (smart city), Bandar Layak Huni (Liveable city) dalam konteks Malaysia yang sedang menuju ke sebuah negara berpendapatan tinggi.

Dr. Sawal : Pembangunan mampan atau pun lestari yang satu bentuk pembangunan yang boleh berkekalan dari segi fungsinya secara berpanjangan.

Didalam konteks pembangunan bandar, elemen pintar dan lestari (mampan) ini pada kebiasaannya digabungkan sekali supaya bandar pintar yang dibangunkan mestilah juga lestari atau mampan yang akhirnya membawa kepada sebuah bandar yang layak dihuni (liveable city).

Kelestarian sesuatu bandar itu boleh diukur sejauh mana bandar yang dibangunkan itu dapat mengekalkan kepentingan sosial, ekonomi dan persekitaran yang memberi impak kepada kehidupan.

Sesuatu bandar yang dibangunkan yang dilengkapi dengan elemen pintar seharusnya membantu kepada kehidupan sosial dan ekonomi masyarakat dan dalam masa yang sama ianya mengekalkan alam persekitaran yang bersih, hijau dan menyegarkan.

Sebagai contoh mudah, penggunaan sistem pengangkutan pintar yang berasaskan kenderaan hijau akan mewujudkan satu bentuk kehidupan sosial yang lebih baik kerana pengangkutannya lebih cekap, dengan harga yang lebih murah dan seterusnya mewujudkan persekitaran yang selesa dan layak dihuni kerana kurangnya pencemaran udara, bunyi dan kesesakan lalulintas.

Oleh itu, elemen pengangkutan pintar itu tadi telah menyumbang kepada kehidupan di bandar yang lebih selesa (livable) dan lestari (sustainable).

MD.com : Boleh Dr. terangkan ciri-ciri utama bandar pintar? Apa perlunya kita menerapkan konsep ini dalam pembangunan sosial kita?

Dr. Sawal : Secara umumnya, ciri-ciri utama bandar pintar dan lestari adalah bandar yang menggunakan teknologi digital yang melibatkan penggunaan peranti dan penderia pintar (smart sensors and devices) yang dapat berkomunikasi dan memberi informasi kepada masyarakat dalam meningkatkan kualiti kehidupan.

Oleh itu, sesuatu bandar pintar itu mempunyai elemen-elemen penderia pintar yang akan mengambil data-data yang berkaitan dari segala bentuk aspek kehidupan yang akan diproses untuk menghasilkan maklumat yang boleh dihantar kepada pengguna.

Pengguna pula boleh menggunakan maklumat dan informasi ini untuk memudahkan kehidupan mereka, boleh menjalani kehidupan seharian dengan lebih selesa dan efisien dalam suasana persekitaran yang harmoni, nyaman dan selesa untuk dihuni.

Diantara elemen-elemen bandar pintar yang boleh dibangunkan adalah sistem pengangkutan pintar berserta pengangkutan batuan pertama dan terakhir (first and last mile transportation), sistem lampu isyarat pintar, sistem meletak kenderaan pintar, sistem pemantau kualiti udara, sistem lampu jalan pintar, sistem tenaga pintar dan diperbaharui, sistem bangunan pintar, sistem pertanian urban dan pintar, sistem, sistem pengurusan sisa pepejal pintar dan sistem komunikasi pintar.

Untuk menjawab mengapa kita perlu menerapkan pembangunan bandar pintar dan lestari didalam pembangunan bandar, kita perlu faham bahawa ianya berkait dengan proses pembandaran (urbanization) sesuatu kawasan.

Adalah dianggarkan bahawa 82% rakyat Malaysia akan duduk di bandar menjelang 2030. Urbanization ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielak sejajar dengan arus perubahan zaman. Proses urbanisasi bermaksud semakin banyak kawasan akan menjadi bandar termasuklah kawasan-kawasan kampung.

Apabila proses urbanisasi ini berlaku, maka ianya akan membawa sekali kepada peningkatan populasi, peningkatan pencemaran, peningkatan kesesakan, kesibukan, peningkatan jenayah dan lain-lain yang sekiranya tidak ditangani dan dikawal ianya akan menjadikan sesuatu bandar itu tidak selesa untuk dihuni.

Oleh itu, dari segi aspek sosial, penerapan bandar pintar dan lestari ini amat perlu untuk memastikan sesuatu kawasan atau bandar itu layak dan selesa untuk dihuni.

MD.com : Bandar apakah yang boleh dijadikan rujukan atau model sebagai bandar pintar atau liveable city? Adakah ia sesuai diterapkan dengan demografi Malaysia?

Dr. Sawal : Diantara bandar-bandar didunia yang telah bergerak kearah pembangunan bandar pintar dan lestari adalah seperti bandar Singapura, Zurich, Oslo, Taiwan, Copenhagen, Lausanne, Helsinki, Auckland dan beberapa bandar lain di dunia.

Sebenarnya Malaysia juga telah membangunkan dasar pembangunan bandar pintar dan lestari lebih 10 tahun dahulul dimana bandar Putrajaya dan Cyberjaya merupakan bandar yang akan digunakan sebagai model bandar yang pintar dan lestari.

Selain daripada itu, Malaysia juga telah menyediakan satu framework yang dinamakan Low Carbon City Framework (LCCF) dimana salah satu tujuannya adalah untuk menggalakkan kepada pembangunan bandar lestari.

Di Malaysia, walaupun terdapat beberapa usaha untuk pembangunan bandar-bandar pintar dan lestari ini tetapi ianya tidak menyeluruh dan masih menghadapi beberapa cabaran utama yang menjadikan pembangunan bandar itu tidak kondusif dan tidak lestari.

Apabila disebut bandar pintar dan lestari, salah satu elemen adalah bandar hijau. Apabila menyebut bandar hijau, kita akan lihat kepada sistem pengangkutan jalan yang lebih hijau, mengurangkan kesesakan dan pencemaran.

Untuk merealisasikan sistem pengangkutan pintar seperti ini, ianya akan melibatkan penggunaan active mobility seperti berjalan kaki, berbasikal mahupun berbasikal elektrik.

Persoalan yang timbul adalah, adakah active mobility ini sesuai dengan keadaan cuaca di Malaysia? Kita faham bahawa Malaysia mengalami keadaan cuaca yang panas dan humid disamping hujan yang sangat lebat. Ini boleh menimbulkan isu untuk pengangkutan berasaskan active mobility.

Walaubagaimanapun, masalah seperti ini boleh diatasi tetapi memerlukan komitmen pelaburan yang tinggi. Beberapa pendekatan seperti penanaman pokok besar sebagai `shade’ untuk laluan pejalan kaki berbumbung, mendirikan bangunan sebagai shade untuk pejalan kaki boleh dibuat. Perbezaan suhu untuk laluan pejalan kaki dibawah pokok dengan tanpa pokok amat jauh berbeza.

Laluan pejalan kaki berbumbung yang dibuat diantara pokok-pokok besar akan menjadikan laluan tersebut lebih sejuk dan membantu sekiranya di waktu hujan lebat. Ini salah satu contoh bagaimana satu pendekatan boleh diambil untuk mengatasi masalah suhu panas dan humid di Malaysia.

Kesimpulannya, pembanguna bandar pintar dan lestari yang dilengkapi dengan sistem pengangkutan hijau boleh dibuat di Malaysai.

MD.com : Adakah dengan mewujudkan bandar pintar atau liveable city ini mampu membantu memberi kesan kepada ekonomi rakyat, membantu meningkatkan kualiti hidup khususnya bagi golongan B40.

Dr. Sawal : Ya. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, penggunaan sistem pintar di dalam bandar dapat meningkatkan efisiensi dalam kehidupan dan peningkatan efisiensi ini boleh menyumbang kepada ekonomi masyarakat dimana masyarakat boleh merancang masa dengan lebih baik dan mengurangkan pembaziran.

Penggunaan tenaga pintar dan boleh diperbaharui pula akan membantu dari segi kos tenaga kerana lebih kurang tenaga yang dibazirkan. Sistem pengangkutan pintar pula sekiranya dibuat dengan betul dan selesa dapat mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dan active mobility yang dapat mengurankan kos dengan signifikan.

Penggunaan sistem pemantauan kualiti udara dengan pengurangan pembebasan gas rumah hijau (GHG) dan karbon ke udara pula dapat membawa kepada kehidupan yang lebih sihat dan sekaligus membantuk mengurangkan kos perubatan.

Begitu juga dengan penggunaan sistem-sistem pintar yang lain yang akan membawa kepada satu kehidupan yang lebih selesa, murah, nyaman tanpa pencemaran dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup dikalangan masyarakat termasuk golongan B40.

MD.com : Apakah cabaran atau kekangan utama untuk negara kita merealisasikan agenda ini?

Dr. Sawal : Malaysia telah mempunyai pelan dan dasar untuk bandar pintar dan lestari lebih dari 10 tahun yang lalu tetapi dari segi perlaksanaannya masih lagi tidak dapat direalisasikan sepenuhnya.

Pada pandangan saya, kekangan atau cabaran dalam merealisasikan agenda bandar pintar dan lestari negara adalah dari segi tiada penguatkuasaan (enforcement) dan juga keupayaan politik (political will).

Ini adalah kerana untuk merealisasikan agenda ini, ianya memerlukan komitmen dari beberapa pihak terutamanya pihak yang terlibat secara langsung dalam pembangunan bandar atau township.

Sebagai contoh, penguatkuasaan undang-undang sekiranya boleh dilakukan keatas pemaju-pemaju yang membangunkan kawasan kediaman dan komersial yang baru, ianya akan memaksa mereka mengikut agenda yang telah digariskan.

Misalnya, semua pembangunan township yang baru diwajibkan untuk menyediakan laluan pejalan kaki yang berbumbung dan dilindungi dengan pokok-pokok yang besar dan terhubung kepada semua kawasan didalam bandar tersebut maka ianya akan dapat menggalakkan pejalan kaki dan mengurangkan penggunaan kenderaan dan sekaligus mengurankan kesesakan dan pencemaran.

Ini baru dari satu aspek bandar pintar. Terdapat juga elemen-elemen lain dalam pembangunan bandar yang boleh diwajibkan keatas pembangunan bandar-bandar baru seperti memastikan kemudahan hentian bas yang berteknologi, penggunaan sistem lampu isyarat pintar, pembangunan kawasan komersial yang mesra pejalan kaki (kondusif, berbumbung), laluan khas basikal dan beberapa elemen lain.

Untuk permulaan, satu model bandar pintar dan lestari yang menggabungkan kesemua elemen-elemen yang disebut di atas boleh diwujudkan untuk dilihat keberkesanannya.

Kemudian, agenda ini dijadikan sebagai keperluan dibawah undang-undang untuk pemaju-pemaju sebelum mereka boleh membangunkan sesuatu kawasan.

Sekiranya pendekatan penguatkuasaan undang-undang dibuat, saya percaya agenda pembangunan bandar pintar dan lestari ini dapat direalisasikan dan sekaligus menjadikan Malaysia sebuah negara yang menjadi tumpuan untuk dihuni.

SEKIAN

Sawal Hamid Md Ali ialah Profesor Microelectronic and Embedded System Design di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau menerima ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Elektronik dan Komputer dari Universiti Putra Malaysia pada tahun 1998, ijazah Sarjana dalam Reka Bentuk Sistem Mikroelektronik dari University of Southampton pada tahun 2004 dan ijazah Ph.D dalam bidang elektrik dan elektronik dari University of Southampton, United Kingdom pada tahun tahun 2010. Hasil kerja beliau melibatkan beberapa bidang termasuk Internet of Things, Sistem Isyarat Analog dan Bercampur, Reka bentuk Sistem pada Cip, sistem boleh pakai dan sistem tertanam (Embedded syatem). Beliau kini merupakan Timbalan Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Facebook
Twitter
WhatsApp