TERKINI

Pembangunan Projek PSI Dari Perspektif Sejarah Oleh Professor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican

Wawancara bersama Professor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican, Profesor sejarah sosial dan intelektual bertempat di Lembah Kelang.  

Malayadaily.com telah berkesempatan menemubual secara ringkas, bagi mendapatkan pandangan beliau sebagai pakar dalam sejarah sosial mengenai projek kontroversi Penang South Island (PSI).

Ahmad Murad Merican – Foto malayadaily.com

MD.com : Bagaimana Prof. melihat projek pembangunan Penang South Island (PSI) dalam konteks pembangunan sosial di Pulau Pinang.

Prof. Ahmad Murad : Saya lihat perkembangan ini sebagai ‘fasa kedua’ dalam sejarah Pulau Pinang moden dalam usaha peminggiran dan menghalau penduduk Melayu dari Pulau. Hakikatnya tindakan dan projek (PSI) ini, akan dan telah mengubah demografi penduduk di Pulau, terutama sekali penduduk Melayu. Yang pertama berlaku (dalam sejarah Pulau Pinang sejak 1957)  bermula pada zaman Gerakan (Parti) Lim Chong Eu.

Politik Chong Eu ialah politik ‘perumahan’. Nampaknya seperti memberi ruang dan peluang rakyat memilik rumah. Namun disebalik ‘pendemokrasian’ rumah itu, wujud perubahan demografi yang ketara.

Bila Chong Eu jadi Ketua Menteri, wujud  perancangan tersusun yang melibatkan kawasan Timur Laut Pulau Pinang,  sehingga  ke Bayan Lepas. Ia menjadikan kawasan itu sebagai Penang Free Trade Zone dengan bina kilang-kilang elektronik.

Pada tahun-tahun sebelum 1970an kawasan Selatan Gelugor hingga ke Bayan Lepas ialah kawasan sawah padi, kawasan penduduk  Melayu. Bila dijadikan zon bebas cukai, sebahagian kawasan perumahan Melayu hilang. Perlu diingatkan pada masa itu terdapat beribu hektar tanah yang belum dibangunkan di Seberang Perai.

Pertama ia telah mengusir orang Melayu daripada Tanjung ke Bayan Baru (Tanjung dan Kawasan sekitarnhya seperti Air Itam, Tanjong Tokong). Ramai yang beli rumah di Bayan baru. Jadi kawasan utara Tanjong, dan Air Itam terus menghalami hakisan penduduk Melayu.

MD.com : Bagaimana PSI boleh mendatangkan kesan ke atas orang Melayu Pulau Pinang?

Prof. Ahmad Murad : Gelombang perpindahan Melayu keluar daripada Pulau Pinang bermula sekitar tahun 80an, pergi ke Kulim dan Sungai Petani, Kedah. Ini fasa pertama, yang mana ia mengurangkan penduduk Melayu di bahagian Pulau. Fasa pertama tahun 70an, kita dah nampak kesannya (dasar Chong Eu) selepas 40 tahun.

Ini (PSI) saya sebut sebagai  fasa kedua, ini mungkin fasa terakhir. Kita akan nampak kesannya dalam satu generasi akan datang, mungkin 25-30 tahun dari sekarang.

Walaupun ia (PSI) di selatan Pulau Pinang, ia akan memberi anjakan dan demografi, ekonomi dan politik yang kuat. Melayu di Pulau Pinang sedang menghadapi satu ‘gempa bumi’ yang senyap, yang akan menjurus kepada kehilangan penduduk, orang dan wajah Melayu di bahagian Pulau.

Projek (PSI) ini akan melibatkan beribu pekerja asing dan ribuan orang (pekerja) untuk tinggal di situ. Orang-orang ini bukan orang Melayu. Ini dirancangkan begitu.

MD.com : Apakah orang Melayu tidak mampu bersaing dalam konteks kemajuan dan pembangunan PSI?

Prof. Ahmad Murad : Ini bukan soal nak bercakap Melayu lemah ekonomi, ini bukan soal Melayu tidak boleh bersaing, ini soal strategi yang tersusun; pengusiran atau pembunuhan identiti (Melayu) dan budaya di Pulau Pinang. Maksud disini, segala sisa-sisa sejarah warisan Melayu Pulau Pinang, akan habis.   Apa yang sedang berlaku ialah ethnocide – pengusiran sejarah, budaya dan identiti.

Bagi saya, ini adalah ‘game’ yang dimainkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang. Mereka bagi data, bagi saya, mereka nak kita menganalisis data tu supaya kita lari daripada objektif dan hakikat projek tersebut.

Jadi data yang kita analisa tu, untuk mengalih perhatian kita daripada agenda pembunuhan identiti (Melayu Pulau Pinang).

Orang mungkin tak nampak, tapi saya perlu katakan ini. Dan saya bukan orang pertama yang cakap hal ini, yang pertama ialah sebuah think tank di Lembah Kelang, dalam buku yang bertajuk Pembandaran Kolonial dan Penghapusan Bangsa Melayu di Malaysia(2021) oleh IRIS Institute.

Tahun 2021 IRIS ada buat kajian tentang bagaimana perbandaran telah membunuh (mengusir) orang Melayu. Saya ingat lagi kerana saya yang menulis kata aluan pada buku (kajian) itu.

Ada empat wilayah yang disebut iaitu Melaka, Terengganu, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Mulanya saya persoalkan, adakah betul kajian ini? Tapi bila saya baca dan teliti kajian itu terutamanya Pulau Pinang, ia memang benar.

Saya masih ingat, Koh Tsu Koon tahun 90an kata dia mahu jadikan kawasan Timur Laut – Tanjong dan sepanjang kawasan pantai menjurus ke selatan – sebagai Manhattan. Itu yang beliau sebut. Sekarang sudah jadi kenyataan. Persoalannya, mengapa hendak menjadikan Pulau ini sebagai Manhataan. Apakah ini satu yang amat bahlul sekali.

MD.com : Prof. gambarkan seolah-olah PSI bukan pembangunan yang lestari. Bagaimana tu?

Prof. Ahmad Murad : Kampung-kampung Melayu, saya bukan maksudkan kampung Melayu itu kolot dan mundur, maksud saya ia suatu penduduk, suasana, persekitaran yang perlu ada. Tetapi sepanjang pantai kawasan-kawasan itu, tiada lagi satu pun kampung Melayu.

Batu Uban yang saya perjuangkan itu telah masuk ke bahagian dalam kerana pantai telah ditambak. Rumah, masjid semua yang wujud sejak abad ke 18 dulu di tepi pantai, kini tiada lagi kelihatan.  

Ia kelihatan dan dianggap seperti setinggan oleh penggubal dasar dan pemimpin Pulau Pinang sejak dulu lagi. Ini berkait dengan sikap dan kedhaifan sejarah.

Saya masih ingat kerana tempat itu tidak asing bagi saya. Jadi, dalam 20 tahun akan datang, takkan ada lagi kampung Melayu di kawasan pulau.

Jika kita benar-benar perjuangkan pembangunan lestari, semua ini (PSI) tak perlu. Sama ada tiga, 30 puluh atau sebuah pulau!

Yang perlu ialah keselesaan orang pejalan kaki dari satu tempat ke satu tempat, keselesaan kehidupan yang tenang, tanpa hiruk pikuk keenderaan bermotor dan sebagainya.

Jika dilihat kembali, kebanyakan tempat/kawasan di Pulau Pinang boleh dipusatkan dalam radius 2 ke 3 kilometer. Tak perlu pencakar langit. Tak perlu lagi jalanraya.

Yang mesti diwujudkan ialah satu paradigma kelestarian yang baharu untuk Pulau, yang mesti menysusun semula insfrastruktur dan penempatan yang tersedia ada, bukan meranap dan merombak landskap dan memusnahkan masyarakat manusia.

PSI bukan projek pembangunan lestari. Ia projek kemusnahan yang sempurna.

SEKIAN

Facebook
Twitter
WhatsApp