TERKINI

ANALISIS SINAR – Proklamasi Orang Melayu Bukan Agenda Politik

foto Proklamasi Orang Melayu

SOSIAL media baru-baru ini banyak memaparkan atau menularkan gambar pemimpin-pemimpin parti pembangkang menyatakan sokongan terhadap Proklamasi Orang Melayu.

Boleh dikatakan majoriti respon netizen kebanyakannya adalah negatif dengan mengatakan bahawa pemimpin tersebut mempunyai agenda untuk menjatuhkan kerajaan.

Namun begitu, hakikatnya proklamasi yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu adalah sebagai usaha untuk memperjuang dan memikirkan masalah serta masa depan orang Melayu.

Antara yang menyatakan sokongan adalah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin Pas yang lain seperti Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selain Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula, kelihatan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Ketua Penerangan, Datuk Razali Idris dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid turut menyatakan sokongan.

Dikatakan, Dr Mahathir sebelum ini ingin menganjurkan himpunan Proklamasi Orang Melayu namun didakwa agenda itu disekat pihak kerajaan selepas empat kali pembatalan tempahan lokasi penganjurannya.

Kemudian, kempen Proklamasi Orang Melayu digerakkan bekas anggota Parlimen Langkawi itu hanya secara dalam talian.

Kempen dalam talian tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada orang Melayu tentang agenda pergerakan itu untuk bangsa dan negara.

Menurut Ahmad Faizal, proklamasi yang ditubuhkan itu adalah bukan sebarang agenda yang berkaitan dengan politik.

Tegasnya, ia bukanlah satu usaha untuk menjatuhkan kerajaan malahan ia adalah satu berita baik bagi Kerajaan Perpaduan.

“Ia juga baik untuk kerajaan sekarang. Apabila Melayu kaum majoriti bertindak untuk bersatu-padu, tentunya ia untuk keamanan, kebaikan kemakmuran negara,” jelasnya.

Tambah Ahmad Faizal lagi, tidak menjadi kesalahan bagi mana-mana pemimpin atau ahli dalam PN untuk turut sama dalam menyokong proklamasi itu.

Sekiranya memang benar proklamasi yang ditubuhkan itu berniat bagi membangunkan dan menyuarakan hak kaum Melayu, tidak menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak untuk menyatakan sokongan.

Tidak seharusnya rakyat membuat keputusan terburu-buru dengan melontarkan kata negatif, sebaliknya selidik terlebih dahulu realiti sebenar.

Facebook
Twitter
WhatsApp