TERKINI

Elon Musk Rancang Kenakan Bayaran Kepada Pengguna ‘X’

Elon Musk – fot Vanguard News

WASHINGTON, 21 Sept 2023 – Pemilik platform media sosial X yang dahulunya dikenali sebagai Twitter, Elon Musk mendedahkan sedang merancang untuk mengenakan bayaran kepada semua pengguna yang ingin mengakses platform media sosial X.

Musk berkata, langkah itu merupakan satu-satunya cara untuk melindungi laman itu daripada serangan bot atau akaun automatik yang menjadi pembawa pepijat.

Beliau mendedahkan rancangannya untuk mengenakan bayaran kepada pengguna semasa perbualan penstriman langsung dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Silicon Valley di California.

Musk juga berkata, pengguna hanya akan dikenakan bayaran bulanan yang kecil.

“Ia masih memerlukan perbincangan yang lebih panjang, tetapi pada pandangan saya mengenakan bayaran adalah satu-satunya sistem pertahanan untuk memerangi dan menyukarkan pencipta tentera bot yang besar.

“Ini memandangkan kecerdasan buatan (AI) kini sudah menjadi sangat baik malah lebih cekap untuk lulus ujian captcha berbanding manusia.

“Kami bercadang mengenakan langganan bulanan itu pada harga yang lebih rendah dengan mengutamakan siaran yang ditulis oleh pelanggan premium X,” katanya.

Bagaimanapun, ramai pakar dan warganet memberi amaran perubahan itu boleh menyebabkan pengguna memilih untuk memadam terus aplikasi tersebut.

“Bot sudah lama menjadi isu di platform itu tetapi apabila Musk memberhentikan ramai pekerja termasuk kakitangan keselamatan, isu itu meningkat kepada tahap yang tidak terkawal.

“Meminta bayaran daripada semua pengguna berpotensi menyebabkan pengguna ‘lari’ kepada banyak alternatif serupa yang disediakan syarikat lain seperti Threads dan Mastadon,” kata Pakar Keselamatan Siber, Jake Moore kepada Mail Online.Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp